Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

# Tafsir Surah 103. Al ‘Ashr & 102. At Takaatsur


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Bismillah hirrahman nirohim adalah satu bacaan yang besar, di mana ianya dibaca apabila memulakan setiap pekerjaan dan perkerjaan yang mengikuti syariat. Setiap perkerjaan hendaklah di peringkat harus, sunat dan wajib. Peringkat makruh dan haram, di tinggalkan.
Dengan membaca Bismillah hirrahman . . . kita akan mengenali siapa Dia Allah swt itu. Allah Yang Amat Pemurah, lagi Amat Mengasihani. Kita lihatlah realitinya Allah swt dalam penghidupan kita, Pengasihnya Allah swt, di sediakan-Nya semua keperluan, diberi-Nya dengan percuma, seperti matahari, oksigen, makanan, air, tubuhan, kesihatan dan sebagainya.
Kalau dikira perbelanjaan setiap seorang kita, nyawa dan penghidupan maka terlalu amat besar sekali kosnya. Kalau Allah swt ini tidak Maha Kaya dan Pemurah sudah tentu Allah swt tidak dapat untuk menguruskan ini semua. Dengan itu amat tepat sekalilah kita bersyukur tidak terhingga kepada-Nya. Kita hendaklah dapat merasakan yang Allah swt ini wujud dengan dibuktikan dengan hasil kerja-kerja-Nya di mana saja, di sekeliling kita. Kita hendaklah dapat merasakan kehadiran Allah swt dalam penghidupan kita.
Oleh kerana Allah swt ini Maha Pemurah dan Maha Penyayang, kita ini sebagai hamba-Nya, perlu juga kita menjadi hamba yang pemurah dan penyayang setaraf dengan kita, supaya kita sealiran dengan kehendak Allah swt. Hendaklah kita mendasarkan hidup kita mengikut sifat Allah swt, Ar-Rahman dan Ar-Rahim dalam bab peribadi, rumahtangga, masyarakat dan negara.
Bacalah Bismillah hirrahman nirohim ini dengan penuh perasaan dan bermakna di hati, jangan dibaca di lidah sahaja, buat komo-komo mulut sahaja. Bacalah banyak-banyak Bismillah ini untuk dijadikan air tawar untuk anak-anak yang payah mengaji, dibaca sebanyak 765 kali selepas subuh, semasa matahari sedang terbit. Itu mengikut petua, tapi kalau dibaca beribu kalipun tiada salahnya. Kemudian berdoalah memohon kepada Allah swt dengan berkat dan keramat Bismillah hirrahman nirohim (bertawasul), menjadi penawar merawat penyakit dan sebagainya.

103. Al ‘Ashr
Mengikut kata Imam asy-Syafi’i: ’Surah Al ‘Ashr adalah satu surah yang besar, merenungkannya sudah cukup baginya’.
1. Demi Masa!
2. Sesungguhnya manusia itu berada dalam Kerugian.
3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan Kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Jika dikira kerugian manusia dari umur akhir baliq hingga umurnya sekarang ini, amat banyak sekali kerana meninggalkan tawaran-tawaran besar Allah swt, yang ditinggalkan begitu sahaja. Mereka yang tidak rugi ialah orang-orang yang beriman sebab mereka beriman di setiap saat dan di setiap masa.
Mereka juga beramal soleh, membuat kerja-kerja yang baik mengikut syariat Islam sama ada menggunakan anggota, hati, pemikiran, kepakaran dan sebagainya di dalam semua bidang kehidupan, mereka ini tidak akan rugi. Mereka juga berpesan-pesan dengan kebenaran daripada Allah swt serta berpesan-pesan dengan kesabaran. Kita telah banyak sekali mendengar surah ini dibaca tetapi tindakan kita masih kurang dan boleh diperbaiki lagi.
Tindakan yang perlu kita ambil supaya menguntungkan dan tidak rugi :
1. Perlu menjaga masa, pengurusan masa bermula dari bangun tidur hingga tidur kembali. Jangan ada masa kita bazirkan. Masa ini adalah umur kita yang tidak boleh dijual-beli. Kalau habis tidak boleh ditambah lagi.
2. Pastikan diri kita tidak termasuk dalam kumpulan orang yang rugi. Kalau berniagapun tiada siapa yang berkehendakkan rugi dan kita sekarang ini sedang dalam perniagaan yang sangat besar, iaitu perniagaan dengan Allah subhanahu wataala.
Kalau kita rugi dalam perniagaan ini, maka amat malang sekalilah, kerana hidup ini diberi SEKALI SEORANG sahaja. Pastikan supaya jangan rugi dan kita uruskanlah melalui muhasabah diri, dengan membuat AKAUN MASA, akaun untung-rugi, senarai semak masa yang digunakan dalam sehari yang dibuat disetiap hari. Lihat di mana yang merugikan dan dimana pula yang menguntungkan. Kita juga perlu merancang untuk beriman dengan baik dan membuat banyak amal soleh dan mendapat pahala-pahala yang besar.
3. Jangan lupa untuk berpesan dengan KEBENARAN, umpamanya untuk berpesan datang mengaji di sebabkan mengaji ini adalah kunci kepada segala kebaikan. Kalau terus dengan kejahilan sejak muda hingga ke tua, hendak jadi apa kita akhirnya! Mari mengaji sampai mati sebab mengaji ini ibadat yang besar yang dibayar pahala seperti mengerjakan haji dan sempurna hajinya. Berpesanlah dengan mengajak sekali anak-anak dan isteri datang mengaji bersama, supaya tidak jahil nanti dalam bab agama.
Punahnya dunia dan kehidupan ini ialah disebabkan kes kejahilan. Punah politik, punah ekonomi, punah negara semuanya disebabkan kejahilan. Jahil di sebabkan tidak berpesan dengan yang hak dan yang sebenar. Berlakunya perkara karutpun dan maksiat, orang tidak tegur, akhirnya tidak dapat dibezakan mana yang benar dan mana perkara yang salah. Dengan adanya pesan-memesan masyarakat dapat membezakan mana yang betul, mana yang salah, mana yang Allah swt suruh, mana yang Allah swt larang. Anak dan isteri juga hendak masuk syurga, dan kita semua lepas ini senanglah kehidupan kita di akhirat nanti.
4. Kita juga perlu memesan supaya pakat-pakat bersabar. Pesanlah supaya bersabar dalam bab mengaji, sabar dalam solat, sabar dalam bab Allah swt suruh, sabar dalam bab Allah swt larang, sabar dalam berdakwah, sabar dalam menghadapi kepayahan dan sebagainya. Mengaji ini mesti sebab mengaji ini adalah kuncinya kepada kebaikan, kalau tidak akhirnya tua dan mati dalam kejahilan.
Disunting dari Tafsir Al-Azhar; Prof.Dr.Hamka. (penyunting)
Allah swt mengambil MASA menjadikannya sumpah, masa dijadikan sesuatu yang mesti diingat-ingatkan, masa jangan disia-siakan dan jangan diabaikan. Sejarah manusia ditentukan oleh peredaran masa dan hanya menjadi pinjaman seketika, sebelum mati dan tidak boleh ditokok-tambah.
Di dalam masa yang dilalui, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman yang insaf dari mana dia di datangkan dan memahami tujuan hidupnya hanya sementara waktu, dalam masa yang dipinjamkan, untuk berbakti kepada Penciptanya dan kepada sesama manusia. Dan beramal soleh, bekerja untuk kebaikan dan berfaedah, didorong oleh iman kerana jika sebaliknya akan merugikan diri sendiri dan juga orang lain.
Dan mereka pula berpesan-pesan dengan KEBENARAN. Hidup yang bahagia ialah hidup bermasyarakat dan sebaliknya hidup nafsi-nafsi, hidup sendiri-sendiri, amat merugikan. Dengan itu hubungkanlah silatulrahim, kasih sayang sesama manusia dengan memberi ingatan kepada perkara yang benar. Supaya apa yang benar itu sama-sama disanjung dan yang salah itu sama-sama dijauhi. Bukankah ini satu perkara yang indah dan menguntungkan masa kehidupannya? Dan rugilah orang yang menyendiri yang menganggap kebenaran hanya untuk dirinya seorang.
Dan serta berpesan-pesan dengan KESABARAN. Tidak memadai hanya dengan pesan-memesan dengan nilai-nilai kebenaran semata-mata, kerana perjalanan hidup ini menempuh kesukaran dan halangan yang perlu dihadapi. Tanpa kesabaran, hidup akan rugi. Mereka yang berjaya melalui ujian ini ialah mereka yang mempunyai jiwa yang besar dan kuat, mereka yang lemah akan rugi.
Kesimpulannya, untuk mengelakkan ancaman masa depan yang merugikan, untuk selamat dalam hidup maka hendaklah :
Beriman
Beramal soleh
Ingat-mengingati dengan kebenaran
Ingat-mengingati dengan kesabaran
Dapat juga disimpulkan, mencari keselamatan dan kebahagiaan dalam hidup bukan hanya untuk diri sendiri sahaja tetapi disuruh juga sampai-menyampai kepada orang lain. Menyeru manusia kepada agama, menasihat diatas kebenaran dan kesabaran, bersabar dalam perkara yang menimpa diri, membuat amar ma’aruf nahi mungkar dan cinta mencintai saudaranya seperti apa yang dicintai untuk dirinya, merupakan satu pakej yang tidak boleh dipisahkan.
Ibnu Qayyim menerangkan dalam kitabnya; “Kalau empat martabat telah tercapai oleh manusia, berhasillah tujuan hidupnya untuk mencapai kesempurnaan.
1. Mengetahui kebenaran.
2. Mengamal kebenaran.
3. Mengajar kepada orang.
4. Sabar dalam menyesuaikan diri dengan kebenaran, mengamalkannya dan mengajarkannya.
Kesempurnaan diperolehi menerusi kekuatan ilmu dan kekuatan amal yang dilakukan kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Untuk mendapat kekuatan ilmu pula ialah dengan beriman, untuk meneguhkan kekuatan amaliah pula ialah dengan membuat amal yang soleh. Dan juga untuk mencapai kesempurnaan, diajak dan diajar mereka untuk bersabar dalam berilmu dan dalam beramal.
Surah ini walaupun pendik, namun isinya mengumpulkan segala jenis kebajikan, menjadikan Kitab’bullah ini lengkap, menjadi pengubat bagi segala penyakit dan penunjuk bagi segala jalan kebenaran.” (Ibnu Qayyim).
Al-Quran secara Am
Surah-surah Al-Quran ini perlu sentiasa dibaca, difahami dan diambil tindakan untuk memajukan diri dan masyarakat. Quran ini merupakan surat kiriman daripada Allah swt kepada Nabi saw dan masyarakat di zamannya. Di zaman tiada Nabi dan Rasul ini, maka surat ini ditujukan kepada kita untuk difahami dan diambil tindakan. Kita hendaklah sealiran dengan kehendak Allah swt dan tidak melawan arus, maka jadilah kita ini orang yang mendengar kata-kata Allah swt dan tidak mendengar kata nafsu.
Tindakan yang perlu diambil sekarang ini :
1. Mengekalkan kebaikan yang sedia ada.
2. Mengembang, meningkatkan dan memajukan kebaikan yang sedang berlaku.
3. Membuang kelemahan yang berlaku dalam diri kita.
4. Mencari perkara yang baru dan memperkembangkan supaya ianya menjadi harta kita, dunia dan akhirat.
Dipertegaskan lagi di sini yang ayat-ayat Al-Quran ini perlu dibaca setiap hari. Sebelum kita meninggalkan dunia ini, perlu kita ada akaun yang kita telah membaca beribu-ribu kali Al-Quran atau surah-surah tertentu. Kita lakukan dengan banyak untuk dijadikan ianya harta kita dan dimasa yang sama kita hendak mendapat manfaatnya di dunia dan di akhirat. Kalaulah kita perhatikan orang-orang yang berebut mengumpulkan harta dunia supaya banyak dan tidak puas dengannya, maka HARTA ROHANI yang kekal ini perlulah kita bekerja keras, lebih hebat dan bersungguh lagi untuk mendapatkannya.
Dengan itu hendaklah kita membaca Al-Quran sebanyak mungkin.
Bacalah Al-Quran hingga BETUL.
Bacalah Al-Quran hingga diFAHAMI, selagi tidak faham baca lagi.
Bacalah Al-Quran hingga boleh diAMAL.
Bacalah Al-Quran hingga kita boleh AJAR kepada orang lain.
Bacalah Al-Quran hingga boleh diHAFAL.
Bacalah Al-Quran hingga boleh di MASYARAKATkan; hingga orang berminat membaca Al-Quran. Hingga kita lihat orang membaca Al-Quran dimana-mana, di kedai, di bawah pohon kayu, sedang menunggu bas, di atas bas, dalam kereta menunggu dan sebagainya. Sekarang ini kita tidak melihat sedemikian rupa orang membaca Al-Quran, tetapi orang membaca surat khabar atau majalah, khusyuk sekali ada.
Di sesetengah negara Arab, Sudan, Mekah, Madinah umpamanya kita akan dapati orang membaca Al-Quran dimana-mana, di atas bas, menunggu kapal terbang, kereta dan sebagainya. Tuan kedai menunggu pelangan, membaca Al-Quran, sekurang-kurangnya kaset bacaan Al-Quran didengarkan.
Di tempat kita masih tidak di masyarakatkan lagi, masih di tahap lama, masyarakat kita tidak dapat merasakan Al-Quran ini perkara besar dan boleh menjadi hartanya. Kita dapati bersungguhnya orang membaca surat khabar tetapi Al-Quran jarang sekali dijadikan bacaan hariannya. Mereka tidak menyedari Al-Quran itu berharga.
Akhir sekali bacalah Al-Quran ini sehingga ia boleh di DAULATKAN di dalam sebuah negara, supaya Al-Quran ini menjadi undang-undang yang tertinggi dalam sebuah negara. Sekarang ini undang-undang Al-Quran berada di bawah undang-undang perlembagaan Malaysia. Mana-mana undang Al-Quran yang bercanggah dengan perlembagaan Malaysia, maka perlembagaan Malaysia mengatasi undang-undang Al-Quran. Perlembagaan Malaysia asalnya di draf oleh orang putih, Melayu dan orang India dimasa dahulu, oleh jawatankuasa Lord Reid. Dari segi pemerintahan, perlembagaan Malaysialah yang paling tinggi.
Ini bermakna di Malaysia, undang-undang Allah swt tidak ‘AKHBAR’, tidak diterima paling besar tetapi orang lain yang paling ‘akhbar’, sebab Allah swt kena mengalah kepada perlembagaan Malaysia. Dengan itu kita semua kena cari jalanlah supaya Al-Quran menjadi paling tinggi sekali sebab Al-Quran di datangkan oleh Allah swt untuk kita.
Walau bagaimanapun sebelum sampai ke peringkat negara, ianya perlu di hayati di peringkat diri kita dahulu. Kalau di peringkat kita sendiri tidak dapat untuk membesarkan Al-Quran maka di peringkat negara mestilah bertambah susah. Kalau kita tidak ambil berat Al-Quran, mengajipun tidak, membacapun tidak, fahampun tidak; macam mana pula kita hendak mengharapkan pihak lain dan pihak pemimpin dapat membela Al-Quran. Dalam surat kiriman Allah swt seterusnya, kita akan fahami dan kemudiannya hendaklah diambil tindakan.

102. At Takaatsur
Surah ini diturunkan di Mekah. Surah Mekah biasanya memberi penekanan dari segi pembangunan insan, iman, akidah dan pengurusan diri.
Hari ini kita memberi tumpuan kepada surah At Takaatsur dan melihat apakah yang Allah swt hendak ajar kepada kita. Dengan kita membaca Al-Quran kita boleh memperolehi pahala yang banyak melalui melihat Al-Quran, kita membawa dan kita menyentuhnya, melalui kita membacanya dan melalui keramat Al-Quran yang mengalir ke dalam diri kita dan ke dalam penghidupan kita.
Walaupun ayat-ayat ini pendik tetapi surah ini mempunyai maksud dan pengertian yang mendalam dan meminta kepada kita untuk memahaminya. Maka terlalu amat malanglah nasib kita menjadi umat Islam yang tidak memahami perkara-perkara besar yang Allah swt ingin terangkan kepada kita dalam surah tersebut.
At Takaatsur bermaksud perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat sebanyak-banyaknya harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh. Manusia pakat-pakat berebut supaya hartanya banyak, melebihi daripada orang lain, anakpun lebih daripada orang lain, pangkat dan pengaruhpun lebih daripada orang lain. Kemudian mereka bermegah dan berbangga dengannya. Sesiapa yang berani mengatasinya, melawannya, dia akan ditekan dan dicantas. Dia akan ditendang terajang sana-sini, en’jas (adjust) sana-sini, lutut dan siku sana-sini kerana berebut pangkat dan pengaruh dan harta-benda.
Satu perkara yang merbahaya kepada manusia ialah lalai yang merupakan satu bala besar. Lalai ialah tidak sedar, tidak ingat, terlupa atau tidak khabar. Ramai orang yang tidak khabar (sedar,waras) hari ini, satu penyakit yang berat. Dia tidak khabar dengan Allah swt, tidak khabar dengan akhirat, tidak khabar syurga dan neraka yang menunggunya, tidak khabar dengan dosa-pahala, dia tidak khabar dengan tujuan hidup ini untuk apa, matlamat hidup ini untuk apa. Dia juga tidak khabar yang dia ini semakin dekat dengan kubur yang menunggunya untuk mati. Dia juga tidak khabar dengan akhirat yang menantinya yang kalau tidak kena cara, kehidupan akhiratnya amat menyusahkan dan pedih sekali.
Umpamanya kalau kita sedang memandu, seketika kita tidak khabar atau lalai, sudah tentulah kita masuk parit atau berlaku kemalangan yang menyakitkan atau membawa maut.
Mengapakah manusia tidak sedar atau tidak khabar :
1. Kamu telah DILALAIKAN (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh).
Kamu dilalaikan dan dimabukkan hingga tidak sedar seperti dirasuk hantu kerana At Takaatsur, iaitu perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan dengan sebanyak mungkin harta benda, dimabukkan dengan anak-pinak, ahli dan sahabat handai, pangkat, pengaruh dan kedudukan politik yang kita panggil dunia yang semuanya menyebabkan mereka tidak khabar.
Imam Ghazali berkata ada 4 perkara yang menjadikan manusia tidak khabar (tidak sedar):
1. nafsunya sendiri
2. syaitan
3. manusia
4. dunia

Hinggakan dia tidak sedar akan kehadiran dan kewujudan Allah swt, Allah swt yang menjadikannya, yang memeliharakannya, tidak ingat jasa-jasa Allah swt kepadanya, tawaran-tawaran Allah swt kepadanya, tidak ingat kepada syurga dan neraka. Sebaliknya dia mabuk dengan harta-benda, hendak menjadi kaya dan sebagainya, sehinggakan terlupa akan sembahyang-bang, mengaji ditinggalkan, Quran dan hadis dilupakan, masjid ditinggalkan dan hidupnya terus-menerus di dalam kesesatan dan kejahilan. Ramai orang yang hanyut dengan kehidupannya, tidak sedar dan tidak khabar. Dia akan terus hidup dari hari kehari dalam keadaan tidak khabar, dari bulan ke bulan, tahun ketahun dia tidak khabar. Bila masanya dia khabar, bila dia terantuk dengan mati. “Allah! Baru dia khabar, rupanya begini yang sebetulnya”.
2. Sehingga kamu masuk kubur.
Apabila dia masuk kubur, baru dia khabar. Ada satu kitab bertajuk; “Malam pertama dalam kubur”; mungkin akan membuat jiwa anda terasa. Setelah mayat ditanam dan ditinggalkan bersendirian dan roh kembali ke dalam kubur, barulah dia khabar yang kehidupannya terdahulu telah banyak silapnya. Dia sibuk mencari harta-benda hinggakan sembahyang-bang tidak tahu dimana, zakat tidak dibayar, mengaji tidak, tidak ambil berat dengan agama dan dengan Allah swt. Ketika itu baru dia khabar tetapi tidak bermakna lagi, sebab sudah terlambat dan tidak boleh menolongnya lagi.
3. jangan sekali-kali (bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!
Allah swt kata jangan begitu, jangan sekali-kali, jangan tertipu dengan manusia, jangan tertipu dengan dunia, jangan tertipu dengan syaitan, jangan tertipu dengan nafsu. Jangan kamu berperangai tidak molek, berlumba-lumba mencari dunia, tidak kira haram-halalnya dan melanggar hukum Allah swt. Carilah dunia dengan baik, mengikut syariat, dengan tidak menceroboh hak Allah dan hak orang lain. Jika dibuat dengan betul boleh menjadi ibadat pula.
Jangan kamu melayan dan terbawa-bawa dengan perkara yang boleh menyebabkan kamu tidak khabar, menyebabkan kamu mabuk dunia yang lebih memabukkan dari arak lagi. Akhirnya kamu tidak khabar dengan haram-halal, kamu tidak khabar kepada akhirat, tidak khabar dengan Allah dan Rasul.
Nabi saw berkata; ‘Diatas dunia ini ada dua sakkarah (benda yang memabukkan manusia). 1. sakkaratul maut – apabila dekat hendak mati, seseorang itu berasa tidak khabar. 2. sakkaratul jahli – iaitu mabuk dengan kejahilan. Mabuk kejahilan ini lebih berat dari sakkaratul maut lagi. Dia mabuk jahil hinggakan dia tidak sedar, tidak khabar dia jahil.
4. sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!
Jangan begitu, jangan kamu mabuk, jangan kamu tidak khabar, jangan sekali-kali kamu berlumba-lumba mencari pangkat, mencari pengaruh sehingga sampai melakukan sogokkan, rasuah, sogok sana-sini hinggakan tidak terasa lagi rasuah itu berdosa, tidak lagi terasa berdosa perbuatan-perbuatan haram yang kamu lakukan, asalkan memperolehi pangkat dan dunia, asalkan menang dalam pemilihan. Dalam semua hal kehidupan termasuk politik ada halal-haramnya. Pangkat, harta dan dunia tidak salah, yang salahnya kamu tidak bersyukur dan salah dalam mencari dan menggunakannya.
Kamu akan mengetahui kelak akibat buruknya pada hari hendak mati. Semasa hendak mati itupun kamu mengetahui sudah, masa depan yang menantimu di akhirat. Itu sebab ada kalanya kamu boleh melihat di wajah si mati keadaan yang tidak elok, terkejut melihat masa depan yang menunggunya.
Ini ialah maklumat-maklumat awal yang Allah swt terangkan kepada kita semua.
5. Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui – (Apa yang kamu akan hadapi) – Dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari Akhirat).
Mengetahui sahaja sebagai maklumat apa yang akan dihadapi setelah mati, tidak memadai, hanya setakat pengetahuan, setakat mengaji sahaja belum mencukupi. Kamu hendaklah menyakini pengetahuan itu, tentang Allah swt, tentang alam ghaib, tentang dosa-pahala, tentang masa hadapan yang menunggu, akhirat, syurga neraka. Kalaulah kamu mengetahui dengan yakin, tentulah kamu akan membuat perkara-perkara yang boleh menyelamatkan kamu. Sebab manusia ini dimana sahaja dia berada, dia hendakkan kepada kesenangan dan tidak mahukan kesusahan. Dia akan cari jalan supaya dia menjadi senang dan tidak menjadi susah. Kalau kamu penuh yakin sudah pasti kamu akan bergerak untuk mempastikan diri kamu tidak ditimpa kesusahan. Kamu akan mencari kesenangan yang abadi buat selama-lamanya.
Tetapi kalau kamu masih tidak bergerak mengambil tindakan, bermakna kamu hanya sekadar tahu sahaja. Ramai yang tahu pasal mati, Allah swt dia tahu, Rasulullah dia tahu, tetapi hanya sekadar tahu maklumat sahaja; tidak sampai peringkat ‘ilmulyakin’.
Semenjak kecil lagi banyak sudah maklumat yang kita ketahui. Tetapi oleh kerana tidak dihazam atau diproses dengan molek, sampai peringkat ‘ilmulyakin’, jadi tidak boleh dimanfaatkan sebaik mungkin.
Minta tolonglah dengan Allah swt untuk memberikan kita semua maklumat dan perasaan ‘ilmulyakin’. Kalaulah kita mengetahui dengan ‘ilmulyakin’, kita tidak akan berani menentang Allah swt. Oleh kerana tiadanya ‘ilmulyakin’, maka kewujudan ada dan tiadanya Allah swt, sama sahaja kepadanya.
6. (ingatlah) Demi sesungguhnya! – kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.
Sekarang ini kamu hanya mendengar sahaja dari berita wahyu mengenai dosa pahala, malaikat, syurga neraka, hal-hal akhirat tetapi kamu tidak melihatnya lagi.
Akidah ini ada empat perkara:
1. Illah’hiyat – hal-hal Ketuhanan.
2. Nubu’wat – hal-hal ke Nabian
3. Ghaib’biyat – perkara-perkara yang ghaib
4. Sam’iyat – perkara-perkara yang kita dengar beritanya daripada Nabi saw.
Ketika itu, kamu akan melihatnya dengan sendiri realiti neraka yang marak menjulang. Sebelum ini hanya disebut di mulut mengenai neraka tetapi tidak menimbulkan kegerunanpun di hatimu.
7. selepas itu – Demi sesungguhnya! – kamu (Wahai manusai-manusia yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!
Wahai manusia-manusia yang derhaka dan lalai, akan kamu lihatnya dengan penglihatan yang yakin semasa kamu dilemparkan ke dalamnya.
Ilmulyakin, bermakna kita hanya mempunyai maklumat mengenai akhirat dan berkeyakinan dengan kebenaran ilmu itu. Apabila bermulanya akhirat dalam alam kubur kita akan didedahkan dengan penglihatan yang yakin, iaitu ainulyakin, melihatnya sendiri dengan matakepala dan dengan penuh yakin.
Apabila Rasulullah menceritakan hal kubur, padang mashar, hal mahkamah Allah swt, hal sirat, hal syurga dan neraka; kita menerima maklumat itu dengan yakin, sebabnya ia datang dari orang yang tidak pernah berbohong iaitu Nabi Mohammad saw, yang baginda sendiri terima dari wahyu Allah swt. Dengan itu kita mestilah yakin sepenuhnya dengan apa yang diberitahu oleh Al-Quran dan hadith. Kemudian setelah mati dan melihatnya dengan matakepala di alam kubur dan apa yang diceritakan oleh Nabi Mohammad saw itu rupanya betul, barulah sesal kerana selama ini derhaka kepada Allah swt. Apabila melihat api neraka yang menjulang, barulah terasa takut dan kesal dengan kelalaian di atas dunia dahulu, banyak masa umur yang disalah gunakan, akibat kerana tidak khabar dengan kehidupan beragama. Selama ini merasakan dunialah segala-galanya, pangkat dan jawatanlah segala-galanya, hartalah segala-galanya, agama diketepikan dan dipinggirkan.
8. selain dari itu, Sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!
Kemudianya kamu akan disoal-siasat dalam mahkamah khas yang disediakan oleh Allah swt; mengenai UMUR kamu, dimana digunakan, NIKMAT-NIKMAT yang Allah swt berikan selama ini, apa yang kamu buat dengannya; apa PEKERJAAN kamu bermula diakhir baligh sampai kamu mati. Kamu akan ditanya tentang segala nikmat dan kemudahan yang Allah swt beri di atas dunia ini. Nikmat peribadi, nikmat penghidupan, nyawa, mata, telinga dan segalanya.
Nikmat harta benda, anak, rumah, kereta, dan semuanya yang Allah swt berikan sebagai amanah untuk digunakan, semuanya akan ditanya, apa yang kamu lakukan.
Kalau ditanya oleh polis, Bukit Aman atau SPRMpun sudah merasa resah, gelisah dan berat, inikan pula oleh Allah swt. Tetapi Bukit Aman atau SPRM pun juga akan ditanya oleh Allah swt, dari berbagai segi umpamanya betul ke tidak dari penggunaan kuasa, betul ke tidak dari segi peraturan Islam. Semua akan ditanya, dari Raja, PM, President, menteri dan sebagainya, tidak akan terlepas, maka bersedialah untuk menjawab pertanyaan Allah swt. Kamu ditanya pula dalam keadaan Allah swt tahu semua perkara, kamu tidak boleh berlawak, berkata tidak benar, semuanya ada saksi.
Dengan yang demikian kita carilah jalan supaya tidak banyak di soal-jawab oleh Allah swt.
1. Bermula dengan BERTAUBAT cepat-cepat untuk diselesaikan kes kita di luar mahkamah Allah.
2. Segala NIKMAT ALLAH SWT PERLU DISYUKURI semua.
3. Jangan buat masalah dengan Allah swt. Buat SURUHAN Allah swt dengan jujur, TINGGALKAN LARANGAN-Nya dengan jujur.
Kalau ditanyapun tidaklah banyak kerana akaun hidup kita sentiasa di audit. Sebab itulah akaun hidup kita perlu sentiasa diaudit mengikut harian, mingguan, bulanan, tahunan, kena diperiksa sentiasa.
Mana yang silap, minta maaf segera dengan Allah swt. Mana-mana yang tersangkut dengan manusia, selesaikan segera. Kalau mendapat nikmat Allah swt, syukur dengan segera, sujud syukur dan tunaikan nikmat dan amanahnya itu.
Waalah waalam.

April 12, 2015 - Posted by | Al-Quran, Muhammad Mustafa |

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: