Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

# Cara Hendak Kenal Allah swt


Majlis dimulakan dengan puji-pujian untuk Allah swt, Selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga serta sahabat-sahabatnya. Juga diteruskan dengan membaca surah Al-Fatihah. Pertama kita mengucap syukur ke hadrat Illahi swt subhanahu wata’ala dengan kesyukuran yang tidak terhingga banyaknya diatas limpahan nikmat-Nya dan rahmat-Nya khususnya nikmat Islam yang kita miliki.
Dalam kehidupan kita umat Islam ada 2 perkara yang kita mesti ambil kira.
1. Allah swt – dengan segala apa yang ada pada Allah swt.
2. Makhluk Allah swt – iaitu semua benda yang dicipta oleh Allah swt. Makhluk Allah swt ini ada berbagai jenis. Ada jenis yang kita nampak, ada yang tidak nampak, yang boleh kita faham atau tidak faham, yang kita suka atau tidak suka, bentuk nikmat atau juga yang menyusahkan kita.
Paling besar ialah Allah swt. Dalam Quran ada disebut perkataan AKBAR di tiga tempat.
1. “Walazikrullah hi’akbar “ sesungguhnya mengingati Allah swt itulah yang paling besar sekali.
2. “Warid’duan nu minallah hi’akbar”, keredaan Allah swt lah yang besar sekali yang menentukan masa depan manusia di dunia dan di akhirat nanti. Keredaan ini ada dalam berbagai rupa & perkara.
Ada keredaan dari manusia, dari malaikat, dari syaitan dan makhluk lain yang dia setuju, suka dan puashati. Adakalanya kita nak cari keredaan dari manusia, supaya orang suka kita. Itu tidak menjadi masaalah kalau perkara itu tidak bercanggah dengan keredaan Allah swt. Walau bagaimana pun keredaan Allah swt lah yang amat besar dan PRIORITI. Dalam hal ini kita wajib berpusat kepada Allah swt kerana keredaan Allah swt merupakan neraca timbangan.

Apa-apa yang kita nak buat kena tanya Allah swt, apa kata Allah swt, Allah reda ke tidak? Malangnya kita selalu tanya apa kata manusia – ‘demo tu kata guano’. Oleh itu kita kena bersifat cakna benar pada Allah swt kerana Allah swt itulah segala-galanya.
Allahu Akbar. Itulah tiga perkataan dimana AKBAR digunakan di dalam Quran. Sesungguhnya mengingati Allah swt itulah yang paling besar dan utama sekali. Keredaan Allah swt itulah yang amat besar sekali, dan Allahu Akbar –lah yang amat penting sekali dan yang mustahak sekali sebab Dia-lah segala-galanya. Oleh itu bab Allah swt ini perlu satu pemusatan supaya hidup kita ini semuanya berpusat kepada Allah swt.

Semua keputusan yang kita nak buat, sembahyang istiqarah dulu. Malangnya solat istiqarah ramai yang tidak berminat, sepatutnya tanya Allah swt dulu adakah yang kita nak buat tu elok atau tidak. Istiqarah ertinya kita minta pilihan dari Allah swt kerana Allah swt Pencipta, yang tahu segala-galanya.
Sembahyang sunat Istiqarah boleh dibuat dimalam atau disiang hari. Niatnya aku nak sembahyang sunat istiqarah 2 rokaat kerana Allah Taala. Lepas baca Fatihah bacalah surah apa pun. Lepas sembahyang tu doalah mengikut pilihan sendiri. Allah swt faham semua bahasa. Sebelum doa, wajib selawat pada Nabi saw, “Alhamdullah hirabbial alamin.. . .. ” Barulah doa diangkat kepada Allah swt. Tanpa selawat doa tidak akan dilayan. Contoh doa, ‘Ya Allah ya Tuhan ku aku mintalah jika perbuatan ini baik tunjukkan aku supaya meneruskannya, kalau tidak baik minta jauhilah aku darinya’. Yang jadi masalah sekarang ini Allah swt yang Maha Besar itu, kita tidak berapa ambil berat. Walaupun Dialah Tuan kepada makhluk ini. Dia yang Maha Raja, Maha Berkuasa dan Maha Memerintah tapi manusia tidak hairan, tidak cakna kerana dia tidak kenal siapa itu Allah swt. Oleh itu kita pelajarilah ilmu Fardhu Ain yang paling besar, iaitu Mengenal Allah swt.

Cara hendak kenal Allah swt.

Usaha kita hendak berkenalan dengan Allah swt di buat setiap hari:
1. Kenal diri kita sendiri.

Kita datang dari mana (asal usul), siapa yang buat kita, tujuan apa, apa matlamatnya? Sekarang ini kita di mana, apa pekerjaan kita di dunia ini, nak kemana dan lepas ini jadi apa? Jadi kalau manusia itu kenal dengan diri dia sudah pastilah dia akan merujuk kepada Allah swt. Untuk menjawab persoalan diatas dia kena rujuk kepada Allah swt dan mengenali-Nya. Barulah dia sedar yang dia dicipta oleh Allah swt. Semua ini kena ada kesedaran. Maka timbullah apa yang ulama ajar “Sesiapa yang kenal diri dia, maka ia akan kenal Allah swt”. Allah swt tanya kita: “Apakah dalam diri kamu, kamu tidak perhati ke ?”. Manusia selalunya dalam keadaan lalai, tidak mengenali dirinya, tentulah dia tidak berkesempatan mengenali Allah swt. Manusia cuma memberi tumpuan kepada kehendak jasadnya sahaja, contohya pagi-pagi lagi dah cari nasi dan makanan kerana nanti takut lapar. Manusia lupa bahawa dia ada dua diri – zahir dan batin atau rohani. Ia sibuk dengan diri zahirnya sahaja tapi lupa ada satu lagi iaitu kehendak makanan ROHANI.
2. Kenal Allah swt .
Sahabat pernah bertanya Abu Bakar Ar-Siddiq RA, bagaimana ia kenal Allah swt. Abu Bakar RA ialah diantara orang yang kedua paling kenal Allah swt selepas Nabi saw. Nabi saw adalah orang yang paling kenal Allah swt kerana beliau telah mengadap Allah swt pada malam Israk dan Mikraj. Abu Bakar Ar-Siddiq RA menjawab, “aku kenal Tuhanku melalui Tuhanku juga”.
Maksudnya apa yang Allah beritahu kepada manusia melalui Nabi-Nya. Kita mengetahui melalui WAHYU Allah. Kita juga mengenali Allah swt melalui nama-nama-Nya. Allah swt telah memperkenalkan diri-Nya dalam Al-Quran. Mengapa Allah swt letak nama-Nya dalam Quran? Ialah supaya kita kenal dengan-Nya. Allah swt meletakkan nama-Nya dengan pengertian hakikat Allah swt Taala tu sendiri. Allah swt mempunyai 99 Nama dalam Al-Quran. Hadith mengatakan, sesiapa hafal, faham dan hidup berdasarkan nama ini, wajib syurga.
Nama-nama Allah swt dalam sembahyang yang diulang-ulang ketika membaca Fatihah ialah Allah swt, Al-Rahman, Al-Rahim, Malik kiaumiddin. Semua ini adalah nama-nama Allah SWT.
Huraian Nama Allah SWT dalam Fatihah seperti berikut:
1. Allah swt – Nama Allah swt yang paling Agung. Allah swt ertinya satu yang disembah, disanjung, dihormati, ditakuti, diharap dan dijunjung tinggi. Allah swt ialah nama yang paling besar.
Kalau laungan Allahu’akbar, tidak memberi kesan apa-apa dalam jiwa, maka orang itu sudah jadi mayat hidup. Nama Allah swt diulang-ulang dalam Fatihah bertujuan merasai dan mengenali Allah swt. Salah satu tujuan sembahyang ialah untuk merapatkan diri dan mengenali Allah swt. Lagi banyak sembahyang makin rapat dengan Allah, koho /makin sensitif dengan Allah, lagi cakna dan lagi kenal dengan Allah swt, akhirnya kita akan ambil berat dengan Allah. Apabila bersolat hendaklah mulut membaca, telinga mendengar dan akal memahami, hati merasa dan diri bersedia untuk melaksanakan apa yang dididik oleh Allah swt melalui sembahyang. Salah satu didikan dalam sembahyang ialah untuk kenal Allah.
Cara mengenali Allah ialah melalui mengenali nama-nama-Nya. Nama yang paling tinggi dan besar ialah nama yang ada dalam Fatihah.
Al-Rahman – Allah swt Maha Pemurah.
Al- Rahim – Allah swt Maha Pengasih dan Penyayang.
Malik’kiaumiddin – Maha Berkuasa pada hari pembalasan. Yang memiliki segala kuasa, harta benda, ilmu dan lain-lain kuasa. Pada hari pembalasan Allah swt akan tanya semua raja, pemerintah yang hadir. “Hari ini siapa yang memerintah?”. Mana dia raja raja, president dan pemerintah di dunia dulu? Pada hari itu pemerintah yang mutlak ialah Allah swt yang akan membalas manusia sama ada syurga atau neraka.
Mengapa Nama Allah diulang-ulang dalam Fatihah. Supaya kita faham makna Allah swt, Al-Rahman, Al-Rahim dan Malik’kiaumiddin.
Sesiapa yang terlepas kes mahkamah dunia, jangan berasa suka hati kerana ada satu lagi mahkamah yang agung dihakimi oleh Allah swt Taala di akhirat nanti. Tidak kira siapa, pemerintah, raja, president, hakim, rakyat semua akan dibicara sekali lagi dan Allah swt yang akan memberi balasan-Nya nanti di hari pembalasan.
Kalau sekadar dengar Nama Nama Allah swt sahaja, tetapi tidak rasa atau turun sampai ke hati serupalah makan nasi tapi tidak jatuh ke perut. Kerana makanan tidak dihazam dengan baik, maka jadilah hidupnya tidak segar dan kurus kering.
Hubungan kita dengan nama-nama Allah swt paling penting ialah tahu maknanya dan tahu apa yang tersirat dan tersurat dalam nama itu.
Berakhlaklah kamu dengan akhlak Allah swt. Nama-nama Allah itu membayangkan akhlak Allah swt, perangai Allah swt. Contoh kalau Allah swt Maha Pemurah maka kita juga sebagai hamba Allah swt juga dituntut jadi pemurah. Tetapi pemurah Allah swt. tidak serupa dengan pemurah kita sebagai mahluk. Pemurah cara kita setakat yang kita mampu, contoh ada ilmu beri pada orang lain. Nabi saw kata sedekah yang paling afdal ialah sedekah ilmu. Kalau sedekah duit, sebentar dah habis. Sedekah ilmu boleh diguna sampai bila-bila. Jumpa orang di manapun royak/beritahu dia. Sambil naik keldai Nabi saw masih boleh beri ilmu pada sahabatnya Muaz. Ramai orang yang kebuluran ilmu tapi tidak khabar, tidak sedar bahawa dia kebuluran ilmu. Kita pun kena sedekah ilmu tanda pemurahnya kita.
Pemurah juga dari segi harta benda, walaupun RM1 sehari. Belajarlah jadi pemurah, ada sikit buat cara sikit. Oleh kerana Allah swt pemurah kitapun kena pemurah juga. Pemurah juga boleh dengan bentuk tenaga, tolong menolong dan senyum. Senyum itu pun sedekah. Kalau kita senyum orang rasa senang, itu di kira sedekah.
Kalau kita pemurah, Allah swt pun pemurah juga dengan kita. Semua ini kita boleh amalkan terus. Allah swt itu ar-Rahman, Pemurah, kita juga kena pemurah, jangan kedekut. Allah swt benci dengan orang kedekut. Nabi saw berkata, “iman dan kedekut tidak akan boleh berada dalam satu hati”. Kalau ada iman, kedekut akan lari tapi kalau kedekut yang dominan, iman akan lari.
Al-Rahim, Pengasih dan Penyayang. Kita perlu ada sifat pengasih dan penyayang cara kita. Oleh kerana Allah swt pengasih penyayang kita juga perlu kesian belas pada diri sendiri. Kesianlah pada diri sendiri – ‘kesian aku ni dah tua dah, dekat nak mati, tapi masih lagi dok lalai tiada persiapan lagi, tidak tahu syurga neraka, sepatutnya aku ini kena mengaji, kuat beramal soleh, jaga hukum Allah SWT dan berjuang menegakkan agama Allah SWT’.
Kalau tidak kesian diri sendiri, mana mungkin dia kesian belas pada orang lain.
Kedua, kasihan belas pada anak-anak dan keluarga kita. ‘Wahai orang beriman jaga diri kamu dan juga keluarga kamu dari api neraka’.
Ini adalah maklumat awal Allah swt dok beritahu kita, sebab Allah swt belas-kasihan dengan kita. Allah swt ingatkan kita supaya jangan terjun dalam api neraka. Allah swt pesan tapi Allah swt pun hairan mengapa manusia sabar sangat nak pergi neraka juga, walaupun syurga Allah swt sudah hendak beri. Ada orang tanya sampai bila nak jaga keluarga dari api neraka. Jawabnya sampai mati kena jaga kerana dalam surah 66:6, tiada tempoh ditetapkan. Ajaklah anak-anak mengaji untuk kenal Allah swt. Orang yang paling sombong dalam dunia ialah orang yang tidak kenal Allah swt. Tiada guna belajar tinggi-tinggi kalau tidak kenal Allah swt, tidak kenal Nabi saw dan Islam entah ke mana. Tidak padan dan tidak guna hidup di atas dunia.
Cara 2-kedua nak kenal Allah swt ialah melalui sifat Allah swt:
1. SubhanAllah – Maha Suci Allah swt dari sifat kelemahan dan kekurangan.
2. Alhamdulillah – sifat yang sangat sempurna dan berkualiti. Segala kerja-Nya semuanya sempurna, comel dan molek.
3. AllahuAkbar – Sifat yang besar sekali, sifat yang Agung.
Zikir SubhanAllah, walhamdulillah, walailla…. ialah bacaan kedua besar selepas membaca Quran. Oleh itu bacalah Al-Quran dan subhanAllah, walhamdullilah, Allahuakbar supaya jadi jutawan. Paling utama bacalah Al-Quran, paling kurang bacalah Kulhuwallah huahhad, jadilah jutawan Kulhuwallah. Adakan buka catitan, supaya boleh di audit, semacam buku akaun bank melihat pendapatan kita dari masa kemasa.
Cara Ke 3-tiga kenal Allah swt melalui Hasil kerja-Nya: Alam, manusia, dunia dan akhirat.
Cara Ke 4-Empat – kenal Allah swt melalui doa-doa. Contoh, “Ya Allah ya Tuhan ku, sebagaimana engkau kenal aku, biarkan aku juga boleh kenal Mu. Sebagaimana Engkau sayang pada ku jadilah aku sayang kepada Mu. Ya Allah ya Tuhan ku sebagaimana engkau tidak lupa pada aku buatkanlah aku tidak lupa pada Mu”. Perkara ini hendaklah dibuat hari-hari, catna kepada Allah hari-hari dibuat. Sehingga kita nampak Allah SWT, tiada pihak yang boleh melakukan apa yang Allah SWT lakukan.
Doa ialah satu amalan yang merapatkan kita dengan Allah swt, koho banyak kita bercakap dengan Allah, koho rapat kita dengan-Nya. Doa ini ibadat bertaraf otak dalam tubuh manusia. Tinggi kedudukannya. Kalau orang ada tangan, ada kaki, ada mata tetapi tidak ada otak tidak guna, tidak jadi apapun.
Kita ni sedang bergerak menurut aturcara yang ditetapkan oleh Allah Taala, lazimnya manusia nak senang tidak mahu susah, termasuk anak-cucu dan keluarganya. Senang-susah ini bergantung kepada keredaan Allah swt. Kalau Allah Taala reda dengan kita, senanglah kita lepas ni. Kena selalu disebut perkara yang besar ni, baru dia jelera molek. Kena dibuat iklan seomor supaya orang termakan dengannya.
Iman ini ada 77 cabang. Kalau di kumpul dan diberkas, ada 2 sahaja.

Beriman dengan :
1. Allah swt.
2. Hari akhirat.
Kita kena fokus molek-molek untuk memberikan kesedaran kepada jiwa kita. Cuba kita fokus kepada pergerakkan hidup kita. Kita ini makluk yang sudah di jadualkan, diprogramkan oleh Allah, pergerakkan kita dari mana, duduk dimana, nak buat apa, apa tujuan, lepas ni kemana, nak jadi lagu mana? Semua ini siap di programkan.
Kita telah di jadual oleh Allah swt dalam susunan berikut:
1. Dijadikan oleh Allah swt – Kita duhulunya tiada apapun, tidak wujud. Kemudian Allah SWT pilih dari tiada jadi ada, kalau tidak pilihpun tidak apa. Dulu tidak ada di dunia nyata, hanya dalam bentuk roh.
2. Kita di pelihara oleh Allah swt dalam kandungan ibu. Ketika itu kita tidak buat apa pun tapi boleh makan. Allah SWT yang pelihara kita 100%. Semasa dalam rahim tidak buat kerja apa pun. Jangan mulut celupa bercakap, tidak kerja tidak makan. Hidup di alam nyata pun rezeki di tentukan oleh Allah swt. Masa dalam kandungan ibu dulu, dunia ini ialah alam ghaib, ketika itu tidak tahu apa-apapun. Kalau ada orang beritahu pasal duniapun kita tertanya-tanya, betul ke begitu, samalah seperti Nabi saw beritahu pasal akhirat, betul ke begitu, masih ragu-ragu lagi.
3. Kita di lahirkan dan hidup di alam nyata.
4. Akan mati.
5. Hidup di alam kubur. Kita terima maklumat awal yang kubur ialah salah satu dari taman-taman dalam syurga atau salah satu dari lubang-lubang neraka. Syurga-neraka telah bermula dalam kubur. Nabi saw berkata kalau senang dalam kubur maka akan senang di akhirat. Kalau susah dalam kubur maka akan lebih susah di akhirat nanti.
6. Allah swt akan kiamatkan dunia, hancur-lebur alam ini dengan gempa bumi yang besar.
7. Manusia di bangkitkan dari kubur pergi kepadang mashyar dengan segala masalahnya, makan-minum layan-diri. Ini juga berita awal, TV dan radio kita tidak mengiklankan perkara ini, kita kena cari sendiri dengan mengaji.
8. Di bicarakan di mahkamah Allah swt. Di mahkamah ini ketar dagu dan kecut-perutlah kita, dimana seluruh amalan kita, zahir dan batin akan diaudit, dihisab bermula dari akhir-baliq sampai mati. Maklumat awal kita terima, laporan amalan yang diserah oleh malaikat berpuluh batu panjangnya kertas laporan tersebut. Kemudian Allah swt suruh kita baca sendiri laporan hidup kita dan mengauditnya sendiri untuk menentukan syurga-neraka. Kita akan mengeluh melihat apa yang ditulis oleh malaikat, yang selama ini kita tidak ambil hirau, cara dan kisahpun. Bicara di mahkamah Allah swt mengambil masa yang lama, bergantung kepada banyak kes-kes yang perlu dibicarakan.
9. Keputusan mahkamah sama ada syurga atau neraka akan diumumkan.
10. Orang dapat keputusan dengan tangan kanan jika keputusan baik. Orang ini akan di beri minum di kolam Nabi saw, Al-Kausar. Ada diantara mereka yang mendapat keputusan pergi neraka serbu juga kolam Nabi saw hendak minum tapi di halau direjam oleh Malaikat. Nabi saw tanya malaikat kenapa halau mereka sedangkan mereka juga umat ku. Malaikat jawab, betul dia ni umat kamu tapi setelah kamu tiada di dunia, mereka berpaling dari Islam dan Sunnah mu, mereka ikut moga lain, ikut Ingeris, ikut pegangan lain daripada mu. Walaupun mereka nama Islam tetapi hati mereka tidak lagi Islam.
11. Bergerak ke Titian Sirat. Sirat di atas mulut neraka. Siapa yang lepas titian sirat, tamatlah dia kalau tidak maka jatuhlah ke neraka.
12. Masuk neraka untuk calon neraka. Neraka ialah pusat penyeksaan manusia. Kesusahan dalam dunia, sakitnya, panasnya, bisanya dari awal dunia hingga akhir dunia, hanya 1 % . Di dalam neraka ada 99 % siksaan azab lagi. Oleh itu siksaan di neraka amat dasyhat. Hadith- siapa yang baca ‘Allah humma ajirna minan nar” baca 7 kali. Ya Allah selamatkan kami dari neraka. Neraka pula doakan kita supaya dijauhi darinya.
13. Masuk syurga oleh calon syurga. Dalam syurga rezeki cari kita, nak makan gapo, nak mewah setara mana, nak gapo, Allah swt tanggung semua. Di sana Allah swt lantik menjadi raja besar semua. Ott! senafas biar kita lelah sikit di atas dunia ni, tetapi yakin dengan masa depan yang menunggu ni, lepas ni senanglah kita. Maklumat awal, kalau dikumpul semua kemewahan, kehebatan yang ada di dalam dunia, dari awal hingga kiamat, ianya baru 1 % sahaja. Lagi 99 % kemewahan ada di dalam syurga. Tetapi kena ingat di dunia inilah menentukan semua itu, kalau jadi, tidak menjadipun sekali sahaja peluang diberi. Oleh itu sabarlah dan buatlah suruhan Allah swt di dunia ini walaupun ada-kalanya susah.
14. Matikan malaikal maut.
Kemudian Allah SWT istihar penduduk syurga supaya hidup semewah-mewahnya, makanlah apapun, tidak akan kena apa-apa penyakit seperti di dunia, hospital dan doktorpun tidak ada, buatlah apa saja, bebas tidak ada haram-halal dalam syurga dan tidak akan mati lagi. Manusia hidup selama lamanya. Penduduk neraka pula mereka berdoa hendakkan mati, disebabkan azab yang mereka lalui. Sedangkan mati itu dah mati, buat macam manapun, bunuh diri ke, kau tidak akan mati lagi. Ada juga yang meminta jadi tanah seperti asal, supaya tidak kena azab yang tidak tertanggung.
Istigfarlah banyak banyak supaya selesai kes dalam dunia. Kalau tidak selesai kes di dunia akan dibicara di padang mashyar. Kita lagi banyak dosa patut istighfar lebih banyak lagi. Masuk neraka seorang perempuan kerana kes seekor kucing. Walaupun perempuan ini baik, solat, puasa, zakat, baik dengan orang, tetapi dia kurung kucing itu sampai mati, dan kes-nya dibicarakan, tidak dibuang kes, sebab tidak bertaubat dengan Allah swt maka masuk neraka dia. Kalau kurung kucingpun sudah begitu, macam mana pula kalau kurung dan aniaya manusia.
Kita kena usaha untuk selesai diluar mahkamah Allah swt. Kena bertaubat selalu, istighfar selalu, di setiap waktu pagi, petang dan malam. Istighfarlah dosa kita yang lepas, yang sedang berlaku dan dosa yang akan datang. Ampunkanlah dosa yang aku tahu dan aku tidak tahu. Nabi saw yang tiada dosapun istighfar 100x setiap hari.
Zikir ialah ingat ke Allah SWT, asalnya dengan hati dan dibantu dengan mulut. Apabila hati ingat dengan Allah SWT maka dia reti dan memahami apa yang dia ingat. Tetapi kalau berzikir dengan Al-Quran, samaada faham atau tidak, keduanya menjadi zikir juga. Wallah waalam.

April 6, 2015 - Posted by | Mengaji, Muhammad Mustafa

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: