Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

# Kuliah Ustaz Muhammad Mustafa – J1 S1 Nov 02 2008


Kuliah Ustaz Muhammad Mustafa – J1 S1 Nov 02 2008
Maksudnya tidak ada Tuhan melainkan Allah swt, yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Seluruh kerajaan adalah milik-Nya. Dialah yang menghidup dan mematikan. Segala puji adalah hak-Nya dan Ia Maha Berkuasa di atas segala sesuatu.
Doa ini dapat merapatkan dan berkenalan dengan Allah. Bacaan amalan Rasulullah 100x pagi dan petang.
Kita hidup memerlukan insuran, contohnya insuran harta atau perlindungan daripada makhluk perosak. Ianya merupakan keperluan dalam kehidupan. Bab Rohani pun ada insuran perlindungan tawaran oleh Allah swt, insuran perlindungan rohani daripada ganguan syaitan, mahluk pemusnah, pengkhianat seperti syaitan manusia yang merosakkan kerohanian. Insurannya bukan perlu bayaran duit tetapi membaca zikirullahullah seperti diatas.
Istilah ‘syaitan’ bermakna jauh dari Allah. Manusia atau Jin menjadi Syaitan bila mereka menjauhkan diri daripada mengingati Allah swt atau mereka membuat kerja yang menjauhkan manusia dari mendekati Allah swt.

Nabi saw bersabda: “Barangsiapa pada waktu pagi dan pada waktu petang mengucapkan: (Kami reda Allah sebagai Rabb kami, Islam sebagai agama kami dan Muhammad saw. sebagai Rasul kami). Maka wajiblah bagi Allah swt untuk meredainya. ” (HR. Abu Dawud)
*Sesiapa yang membacanya dengan mulut dan hati, wajib masuk syurga. Jika mendapat keredaan Allah SWT, maka ia memperolehi segala-galanya kerana Allah SWT itu adalah segala-galanya.
Empat perkara yang mengkhianati dan menjadi penghalang kita mengingati Allah: (kata-kata Imam Ghazali)
1. Syaitan
2. Manusia
3. Nafsu – boleh menjadi syaitan, apabila nafsu bertindak menjauhkan diri daripada Allah swt.
4. Dunia – boleh menjadi syaitan, apabila dunia yang kita kejar menjauhkan kita daripada Islam dan Allah swt.
Empat penghalang besar ini kita perlu lawan. Kalau tidak lawan sampai bila kita tidak menjadi orang yang berjaya dan selamat dunia dan akhirat. Zikirullahullah menolong untuk mengatasi atau melindungi dari ganguannya. Kita mesti menang diatas ganguan syaitan, manusia, nafsu dan dunia. Membaca zikirullahullah ini bukan hanya mendapat pahala tapi kesannya mendapat perlindungan daripada Allah swt. Bacaan ini adalah amalan Rasulullah. Dibaca 100 kali pagi akan melindungi dari syaitan pagi hingga petang, 100 kali petang akan melindungi dari petang sampai esok pagi.
Jika disebut Allah, kita tidak nampak kuasa Maha Agung, Maha Kuasa atau kerajaan mutlak yang mempunyai authoriti tinggi sekali yang memerintah alam ini. Manusia tidak merasa takut kepada Allah. Manusia nampak kekuasaan jika disebut kerajaan atau pemerintah sahaja. Ini kerana ramai orang masuk Islam tapi Islam tidak masuk dalam dirinya. Jika manusia nampak benda lain umpamanya makhluk itu lebih besar, lebih berkuasa daripada Allah atau sama besar daripada Allah, itikad ini boleh membawa kepada syirik.
Hakikatnya manusia ada roh. Malangnya manusia tidak berapa ambil berat hal ehwal roh. Roh dijaga macam anak tiri, tetapi jasadnya dilayan molek hinggakan gemok sihat. Ini menyebabkan roh kurus kering & papa ke dana. Semuanya kita tiada kuasa nak buat. Oleh itu perkuatkanlah dengan zikirullahullah. Sesungguhnya dengan zikirullahullah itu kita dapat keredaan Allah.
Zikirullahullah itu peranannya besar iaitu untuk mengingati Allah. Keperluan zikirullahullah ialah untuk roh. Keperluan zikirullah kepada roh macam ikan memerlukan air. Kalau tidak ada air, ikan akan tercunggap-cunggap dan mati.
Tujuan solat mengingati Allah. Puasa juga untuk mengingati Allah.
Matlamat solat dan puasa untuk mengingati Allah.
Ingat akan Allah bermaknanya bertakwa. Solat dan puasa itu cuma alat. Matlamatnya untuk mengingati Allah.
Lawan zikirullah ialah lalai atau tidak sedar. Zikirullah adalah kerja hati mengingati Allah. Amalan sunat membantu hati supaya jangan lalai. Zikirullah boleh dilakukan dengan doa. Lalai memberi ruang kepada syaitan untuk merasuk. Dengan kata lain zikirullah ialah apa saja yang membuat kita ingat kepada Allah, yang fardu – sembahyang, puasa, haji, zakat, mengaji semuanya mengingati Allah.
Majlis Ilmu juga majlis zikirullah kerana dengan menghadiri majlis ilmu, dari mula hingga akhir ingat pada Allah. Dalam Quran ada ayat yang bermaksud “kalau tidak tahu tanyalah ahli ilmu”. Boleh di simpulkan bahawa ahli ilmu ialah ahli zikirullah.
Perkara yang melalaikan dalam dunia ini banyak. Orang jahil adalah orang lalai, suka pada membazir umur dan masa. Umur itu mahal harganya dan tidak dapat menjana pahala. Jangan buang masa, gunakan untuk berzikirullah. Buang masa menyebabkan lalai.
Ahli tasawuf mengatakan bahawa lalai adalah satu kesalahan iaitu langgar rukun Allah. Kalau memandu kereta, lalai satu saat boleh mengakibatkan kemalangan. Inikan pula kita memandu satu kapal kehidupan, amat besar ertinya. Kalau ingat syariat atau rukun Tuhan iaitu harus, wajib, sunat, makruh, haram, sah dan batal, segala hidup kita mengingati Allah atau sentiasa berzikirullah kepada Allah. Apa tidaknya, segala gerak geri, perbuatan, percakapan, penglihatan dan pendengaran kita ingat pada Allah. Sebanyak mana kita ingat pada Allah sebanyak itulah kita sayang padaNya.
Fatwa ulama, Allah layan kita mengikut sejauh mana kita ingatkanNya. Allah jaga kita mengikut sejauh mana kita ingatkanNya. Kalau dalam solat pun tidak ingat Allah, ini dikatakan kurang adab dengan Allah kerana solat itu hak Allah. Adalah satu krisis besar jika mulut sebut Allah tapi tidak sampai ke hati atau tidak berasa. Kita nak berbicara dengan Allah, berbisik dengan Allah – bacalah Al-Quran. Allah akan jaga Al-Quran, Allah jaga orang yang baca Al-Quran. Keselamatan kita ditangan Allah.
Zikirullah yang paling besar ialah membaca Al-Quran. Kita boleh menjadi ahli kelab Al-Quran untuk melayakkan kita menjadi ahli Kelab Allah Taala.
Ada diriwayatkan dalam hadith. Ketika anak adam dimasukkan kedalam kubur, datanglah seorang yang cantik lagi wangi. Maka bertanyalah simati, “engkau siapa?” jawab orang itu “saya ialah Quran bacaan tuan di dunia dulu, shafik- pembantu tuan”. Simati ini tergulung kepada umat Kelas pertama.
Dua jenis umat Kelas Pertama:
1. Pendokong Al-Quran dengan membaca, ajar, perjuangkan dan mengamalkannya.
2. Umat yang beribadat waktu malam. Saat yang paling dekat dengan Allah ialah ketika sujud dan waktu tengah malam. ***
wallah waalam.

Sedutan daripada kelas Tafsir Ustaz YB Mohammad Mustafa di komplek Tanjung Mas Jumaat, 8.30 pg dan rujukan oleh penyunting: (Tafsir Al-Azhar – Prof. Dr. Hamka)
33:11. Disitulah diuji orang-orang beriman dan akan digoncangkan (hatinya) dengan goncangan yang sangat.
Peperangan Al Ahzab, yang dilancarkan oleh Yahudi, kaum munafik dan orang musyrikin Quraisy terhadap orang mukmin di Medinah. Mereka telah mengepung orang mukmin sehingga sebahagian dari mereka telah berputus-asa dan menyangka mereka akan dihancurkan oleh musuh. Ini adalah suatu ujian yang berat daripada Allah untuk menguji keteguhan keimanan mereka. Akhirnya Allah mengirimkan bantuan berupa tentara yang tidak kelihatan dan angin taufan, sehingga musuh-musuh itu menjadi kacau bilau dan melarikan diri.
Ayat ini mengajar Keimanan dan percaya dengan janji-janji Allah: Cukuplah Allah sahaja sebagai Pelindung; takdir Allah tidak dapat ditolak.
33:12. Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata: “Tidaklah dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya itu selain dari penipuan”.
Maksud ayat ini, ketika Rasulullah memecahkan batu keras besar dan putih, terpancarlah api bila diketuk dan tiga kali Rasulullah mengucapkan “Allahu Akbar!” Seluruh Muslimin pun mengucapkan takbir juga. Batupun pecah dan wajah muka beliau berseri-seri. Lalu beliaupun berkata: “ .. terbayang dalam cahaya lintasan api itu istana Persia, dan bisikan Jibril semuanya itu akan ditakluki oleh ummatku. Ketukan kali keduanya terbayang istana Rum, dan ketiganya istana di negera Arabia Selatan. Juga dibisikan oleh Jibril negara itu akan dikuasai oleh ummatku. Oleh itu berapa berat ujian dihadapi sekarang, gembiralah kamu. ”Kaum mukmin mengucapkan: “Alhamdullilah! Segala puji bagi Allah dan segala apa yang dijanji oleh Allah pasti dan benar.”
Tetapi bagi orang munafik, mereka tidak beriman dan tidak yakin dengan janji Allah. Mereka hanya mengharapkan keuntungan kebendaan dunia dan harta rampasan.
Mereka tidak bertanggungjawab dan apabila melihat musuh banyak bilangannya; 10-15 ribu melawan mereka hanya berhumlah 3 ribu orang, ini membimbangkan mereka, mana boleh menang. Inikan pula untuk menakluki tiga negara yang besar. Mereka tidak yakin dengan janji Allah.
Belajarlah perkara yang membatalkan Islam, jangan pandai perkara yang membatalkan wuduk sahaja. Mereka yang munafik berkata, “wahai orang Yathrib, tempat ini bukan tempat kamu.” Disini (di medan perang) kamu akan mati. “Oleh itu baliklah kerumah masing masing”. Beginilah perangai orang munafik, sentiasa mengikut nafsu. Sampai ada yang meminta izin, mencari helah untuk balik kerana rumah, anak isteri tiada siapa yang mengawal.
Manusia dibahagikan kepada 3 golongan. Kita tidak akan kenal 3 golongan ini melainkan kita memahami Al-Quran.
1. Golongan mukmin.
2. Golongan munafik. Mereka ini hipokrit. Buat amalan Islam ala kadar. Dalaman atau rohaninya dia tidak Islam, di luar sahaja nampak Islam.
3. Golongan kafir.

Kita yang mukmin jangan mengaku termasuk dalam golongan pertama kerana kita tidak mengetahui sebelum di uji oleh Allah. Ujian dengan bermacam-macam contoh mati anak, bertembung dengan kepentingan dunia dan Islam. Ujian berat atau ringan bergantung kepada tahap keimanan. Kalau iman ditahap tinggi, berat lagi ujiannya. Dengan lain perkataan, bila ujian besar, tinggi imannya.
Ujian yang paling besar ialah perang, seperti yang berlaku di zaman nabi. Contoh perang Ahzab, Khandak. Perang Ahzab berlaku di tahun ke 5 Hijrah. Tentera kafir 10-15 ribu orang. Niat mereka untuk menghapuskan Nabi supaya Islampun hapus. Tentera Islam hanya 3 ribu sahaja. Oleh kerana tak ada lain kawasan sebagai strategi, tentera Islam perlu gali parit untuk mempertahankan Madinah. Tentera yang beriman tetap terus berjuang, tak mahu balik. Sama juga zaman sekarang, ada yang ikut nafsu. Contoh kalau buat program ada yang tak mahu ikut bersama. Zaman sekarang, mereka bolehlah beri alasan dengan bermacam macam alasan. Perlu duduk bersama dalam jemaah Islam untuk mencari kekuatan.

Kesihatan dalam Islam
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Qur’an ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan Rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya;” Surah Al-Israa’: 82.
Definasi: Kesihatan seseorang tidak hanya bermaksud tidak mengidapi apa-apa penyakit di tubuhnya tetapi termasuk bebas secara keseluruhannya (holistic) daripada kesakitan jasad, emosi & pemikiran yang tidak waras, sosial dan rohaninya yang tidak mentauhidkan Allah swt dan hukum-Nya. Jika ia syirik dan melanggar hukum Allah swt. rohnya dalam kesakitan, ia tidak akan selamat di dunia & di akhirat. Jika ia berfikiran songsang atau mempunyai sistem nilai yang salah, hidupnya tidak mendapat keredaan Allah swt. Umpamanya, kalau dia pemabok, kaki dadah, Mat rempit; dia akan menghadapi risiko kemalangan jalan raya dan penyakit AIDS dan sebagainya. Jasadnya juga akan menjadi sakit.
Rasulullah SAW ada bersabda maksudnya: “Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang.” (Hadith riwayat Bukhari).
Mereka hanya akan menyedari mahalnya nilai kesihatan dalam kehidupan apabila mereka mengalami kesakitan atau berpenyakit. **
Tamat

April 2, 2015 - Posted by | Al-Quran, Amalan, Doa, Muhammad Mustafa, Tafsir |

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: