Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

# Ramadhan Al-Mubarak


Sabdanya yang bermaksud, “Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri-memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan.” (Hadis riwayat Malik)

Bismillahir Rahmanir Raheem
Assalamu Alaikum wa Rahmatullahi wa Barkatuh!

Amalan-Amalan Di Bulan Ramadhan.

Rujukan:sedutan drp: http://www.abuanasmadani.com

Allah telah menjadikan bulan Ramadhan sebagai satu bulan yang mulia berbanding bulan-bulan yang lain dengan beberapa kelebihan dan keistimewaan, antaranya ialah:

  • Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi di sisi Allah.
  • Para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka.
  • Syurga dihias setiap hari pada bulan Ramadhan.
  • Syaitan-syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan.
  • Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup.
  • Terdapat pada bulan ini Lailatul Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak mengambil peluang untuk membuat kebaikan dan beramal padanya maka dia telah melepaskan semua peluang kebaikan.
  • Orang-orang yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan.
  • Pada setiap malam Ramadhan tersenarai di sisi Allah nama-nama hamba-Nya yang bebas daripada api neraka.

Di antara amalan yang wajib dan amalan sunat yang sangat digalakkan melakukannya pada bulan Ramadhan ialah;

1) Berpuasa :

Sabda Rasulullah, maksudnya: “Setiap amalan anak Adam itu digandakan pahalanya, satu kebaikan seumpama sepuluh, hingga 700 kali ganda. Allah berfirman (dalam hadis qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk Aku dan Akulah yang akan memberikan ganjarannya. Dia meninggalkan syahwatnya, makanannya kerana Aku. Bagi orang-orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah.” [HR: Muslim dari Abu Hurairah]

Sabda Rasulullah: Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

Berpuasa memberi banyak faedah kepada kehidupan jasmani dan rohani, seperti menjinakkan nafsu liar, melatih untuk bersabar, memahami erti kefakiran, kesusahan dan sebagainya.

2) Membaca al-Quran:

Nabi menceritakan bahawa Jibril membacakannya al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak 2 kali. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

Para ulama bersungguh-sungguh memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan. Sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh 3 malam, sebahagian setiap satu minggu dan sebahagian mereka dalam tempoh 10 hari sekali. Mereka membacanya ketika di dalam solat dan juga di luar solat.

Imam asy-Syafie mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan.

3) Qiyamullail:

Bagi seorang mukmin apabila berada pada bulan Ramadhan akan berhadapan dengan dua jihad dalam dirinya. Pertama jihad di siang hari dengan berpuasa dan kedua jihad pada malam hari dengan Qiyamullail. Sesiapa yang berjaya melakukan dua jihad ini dengan melaksanakan hak-haknya dengan sabar dan sempurna maka ganjarannya amat besar tidak terhingga. Sabda Rasulullah, maksudnya: “Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

Sebagai peringatan, setiap jemaah hendaklah menyempurnakan solat terawih bersama imam supaya namanya tertulis dikalangan orang-orang yang Qiyam (orang yang mendirikan solat).

Abi Zar meriwayatkan Nabi  bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda : “Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat”. Maka Nabi bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berdiri bersama imam sehingga dia (imam) beredar, dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman.” [HR: At-Tirmizi, sahih].

4) Bersedekah:

Ibnu Abbas berkata: “Rasulullah adalah manusia yang sangat pemurah dan Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan… dan Baginda  lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang kencang.” [HR: Al-Bukhari]

Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersedekah mengikut kemampuan masing-masing. Sabda Nabi maksudnya: “Takutilah api neraka walaupun dengan (bersedekah) sebelah tamar”. [HR: Al-Bukhari].

Imam asy-Syafie berkata: “Aku suka jika seseorang bertambah pemurah pada bulan Ramadhan kerana ia mengikuti jejak langkah Rasulullah.

Rasulullah telah ditanya, apakah sedekah yang paling afdhal?  Sabdanya maksudnya: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah dalam bulan Ramadhan”. [HR: At-Tirmizi, dhaif].

a. Memberi makan:

Para ulama salaf sangat menitikberatkan amalan memberi makan dan mendahulukannya daripada ibadat-ibadat lain. Ianya samada dengan memberi makan kawan-kawan yang soleh dan tidak disyaratkan hanya kepada orang faqir.

Rasulullah bersabda, maksudnya: “Di dalam syurga terdapat bilik-bilik, nampak dari dalam barang-barang di luarnya dan sebaliknya”.

Bangun seorang a’rabi (orang kampung) bertanya: Untuk siapakah bilik-bilik itu wahai Rasulullah? Sabda Nabi: “Bagi mereka yang baik percakapannya, memberi makan, sentiasa berpuasa dan bersolat kerana Allah pada waktu malam tatkala orang lain sedang tidur”. [HR: At-Tirmizi, hasan].

Al-Hasan al-Basri dan Ibnu al-Mubarak memberi makan para sahabatnya, sedangkan mereka sendiri berpuasa. Mereka duduk melayani dan berkhidmat kepada orang yang makan serta memenuhi keperluan mereka .

Ibadat memberi makan akan menjadi asas kepada banyak ibadat-ibadat lain, seperti rahmat dan kasih sayang terhadap sahabat yang diberi makan, dan ini akan menjadi salah satu sebab untuk masuk syurga, kerana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak masuk syurga seseorang itu sehingga ia beriman, dan tidak beriman sehingga ia saling mengasihi.” [HR: Al-Bukhari].

b. Memberi makan orang yang berpuasa:

Sabda Rasulullah, maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun.” [HR: At-Tirmizi, sahih].

Sabda Rasulullah maksudnya: “Wahai Manusia! Sebarkanlah salam, berilah orang makan dan solatlah malam ketika manusia tidur, pasti kamu akan masuk ke Syurga dengan sejahtera”. [HR: Ahmad, at-Tirmizi, sahih].

Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Ramadhan adalah perisai. Sedekah akan memadamkan kesalahan seperti air memadamkan api dan begitu juga seorang lelaki yang bangun di pertengahan malam.” [HR: Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah, sahih].

5) Menjaga lidah, mengurangkan kata-kata dan menjauhi sifat dusta.

Sabda Rasulullah, maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya (yakni berpuasa).” [HR Al-Bukhari].

Hadis tersebut menunjukkan bahawa berpuasa juga bermaksud menahan diri daripada pembohongan dan kata-kata yang sia-sia dan tidak berfaedah sebagaimana seseorang itu menahan diri daripada makan dan minum.

Sabda Rasulullah, maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa maka janganlah dia melakukan Rafath (melakukan perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh, sekiranya seseorang mencaci atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!” [HR: Muslim]

Ali bin Abi Thalib RA berkata: “Sesungguhnya ramadhan bukanlah hanya menahan diri daripada makanan dan minuman, tetapi juga dari penipuan, kebatiIan dan perkara yang sia-sia”.

Rahsia di sebalik larangan-Iarangan ini khususnya ketika sedang berpuasa ialah kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dengan meninggalkan perkara-perkara yang harus, tidak akan sempurna kecuali setelah meninggalkan perkara-perkara yang haram.

6) Doa, Zikir dan Istighfar.

Di hari-hari Ramadhan adalah waktu yang mulia, maka ambillah kesempatan ini dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti:

Ketika hampir waktu berbuka. Nabi saw menyebutkan tiga doa yang tidak ditolak antaranya ialah orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. [HR: At-Tirmizi, sahih]

Di sepertiga malam ketika Allah swt menyeru: “Adakah ada orang yang berdoa, maka aku perkenankan, adakah orang yang memohon keampunan, maka Aku mengampunkannya”. [HR: Al-Bukhari & Muslim].

Memohon keampunan Allah swt ketika waktu sahur. Firman Allah swt: Maksudnya: Dan ketika waktu sahur mereka memohon keampunan. [Az-Zariyat:18].

Jangan kita lupa juga terdapat ganjaran-ganjaran yang besar bagi orang yang berzikir.

7) Beriktikaf:

Antara kelebihan khusus sepuluh terakhir Ramadhan ini, ialah digalakkan beriktikaf padanya.

8) Lailatul Qadar.

Di dalam Ramadhan yang berkat ini Allah swt menghadiahkan kepada hamba-hambanya satu malam yang yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadr.

Sabda Rasulullah saw sewaktu menaiki mimbar di Madinah: Maksudnya: “Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya”. [HR: Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi]

Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seorang muslim yang berakal melepaskan peluang yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. Ia hanya datang sekali dalam setahun. Marilah kita bertekad dan berazam untuk memperuntukkan waktu dan masa kita dengan amal ibadat bagi merebut peluang ganjaran pahala yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah semoga Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada yang lepas, dituliskan nama kita di antara hamba-hamba-Nya yang mendapat keampunan Tuhan dan selamat dari azab Neraka. Aaamin.

Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian, Kelantan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim”  [Riwayat al-Bukhari]

Salah satu kebaikan yang dapat mempererat tali persaudaraan dalam Islam, dan membuka pintu kebaikan pada orang lain adalah silaturahim.

“Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Berhadiah-hadiahlah antara kamu kerana dengan itu dapat menambahkan kasih sayang antara kamu.”  (Riwayat Tabrani)

Amalan memberi hadiah menjadi sunnah hidup dan terjadi di mana-mana sejak zaman dahulu hingga sekarang.

Daripada Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah S.A.W bersabda: “Saling memberikan hadiah di antara kamu nescaya kamu akan berkasih sayang”.

Waallah waalam.

July 16, 2013 - Posted by | Amalan, pahala, Ramadhan

Sorry, the comment form is closed at this time.