Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

# KERELEVANAN TIB NABAWI


KERELEVANAN TIB NABAWI — Oleh Dr Danial

Islam ialah agama yang komprehebsif. Kesihatan merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari Islam. Kaedah-kaedah perubatan yang diamalkan Nabi amat relevan dengan kehidupan kita pada hari ini.

 MASLAHAT KESIHATAN

DI DALAM MASLAHAT SYARIYYAH

 Secara dasarnya, syariat Islam dikurniakan Allah untuk kebaikan manusia. Allah berfirman: “Dan Allah menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk…”(Al-A’raf 7:157)

Islam datang untuk menjaga kemaslahatan manusia. Imam Al-Izz Abdul Salam telah berkata:  “Sesungguhnya syariat Islam keseluruhannya ialah untuk kemaslahatan: sama ada di dalam bentuk mencegah kerosakan atau mendatangkan kebaikan.”

Islam memelihara tiga maslahat di dalam hidup. Konsep perubtan Islam dinaungi oleh ketiga-tiga maslahat ini.

1-      Maslahat Daruriyyat – Asas

Ia merupakan maslahat utama dan tanpanya akan hancurlah kehidupan dan akan rosaklah segala maslahat yang lain. Ia mengandungi lima aspek penting: agama, jiwa, akal, kehormatan dan harta. Penjagaan jiwa, akal dan kehormatan ada perkaitan secara langsung dengan kesihatan.

2-      Maslahat Hajjiyyat – Keperluan

Ia merupakan keperluan untuk menghilangkan kesempitan dan kepayahan di dalam hidup. Tanpanya kesulitan akan menimpa manusia. Justeru, syariat memberikan hukum-hakam kelonggaran  kepada manusia pada saat kesempitan dan kesusahan. Hukum-hakam kelonggaran ini amat diperlukan di dalam bidang perubatan.

3-      Maslahat Tahsiniyyat – Penyempurnaan

Aspek ini mencantikkan dan mengelokkan kehidupan manusia, sebagai contoh, Islam menggalakkan umat menjaga kebersihan melalui hukum-hakam taharah serta menjaga adab-adab berpakaian dengan hukum-hakam auratnya. Banyak dari aspek penyempurnaan ini yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan.

 SISTEM PERUBATAN

BERASASKAN TIGA TONGGAK

 Seperti sistem-sistem Islam yang lain, sistem perubatan Islam wajid diasaskan kepada tiga tonggak:

  1. Aqidah
  2. Akhlak
  3. Syariat

Gabong jalin di antara ketiga-tiga tonggak ini akan melahirkan sebuah sistem perubatan Islam yang berpaksikan prinsip (Principle-centredness) di samping  mempunyai keanjalan (flexibility) selari dengan keanjalan syariat Islam dengan mengambil-kira perubahan zaman dan keperluan semasa.

  1. 1.      Aqidah

Allah berfirman: “Barangsiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah ia adalah berpunca dari hati yang bertaqwa.” (Al-Haj: 32

Aqidah bermaksud ikatan dan kepercayaan kepada Allah. Kepercayaan yang betul melahirkan sikap dan amalan yang betul, sebagai contoh:

·          Sabar yang tidak kenal putus asa di samping berusaha

·          Bersyukur tanpa takabbur ketika berjaya

·          Melahirkan peribadi yang sentiasa melaksanakan tuntutan-tuntutan agama,

seperti bersolat dan mengeluarkan zakat di dalam semua keadaan.

  • Menjauhi perkara-perkara yang diharamkan, seperti riba, menipu, berjudi dan yang seumpamanya.
  • Tinggi tawakkalnya kepada Allah dan tidak meletakkan pergantungan kepada tangkal-tangkal dan yang seumpamanya.
  • Akan memastikan konsep ibadah dihayati di dalam bidang perubatan
  1. 2.      Akhlak

Nabi telah bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Ahmad & Baihaqi)

Di antaranya hukum-hakam yang berkaitan dengan perubatan Islam ialah:

·          Amanah. Nabi bersabda: “Tanda munafik ada tiga: Jika berkata dusta, jika               berjanji tidak menepati dan jika memegang amanah dikhianati.” (Bukhari-              Muslim)

·          Tolong-menolong. Allah berfirman: ‘Bertolong-tolonglah kamu di dalam                 kebaikan dan ketakwaan,’ (Al-Maidah:2)

·          Sabar. Ujian berada di setiap liku hidup. Sakit ialah sebahagian daripada             ujian dan padanya ada pengajaran dan kebaikna. Allah berfirman: ‘Wahai mereka yang beriman, mintalah bantuan(kepada Allah) dengan solat dan sabar. Allah bersama-sama dengan mereka yang sabar.’’(Al-Baqarah:153)

  1. 3.      Syariat

Hukum-hakam Islam perlu dijaga pada setiap masa termasuk ketika sedang mengubati sesuatu penyakit. Nabi telah bersabda:  “Sesungguhnya Allah mendatangkan penyakit dan ubat, dan Dia menjadikan bagi setiap penyakit ubatnya. Maka berubatlah, tetapi janganlah berubat dengan benda yang haram.” (Abu Daud)

Di antaranya ialah:

·          Haram berubat dengan arak.

·          Haram melakukan ‘euthanasia’.

·          Haram melaksanakan konsep ‘test tube baby’ dari benih yang bukan suami        isteri.

·          Haram ‘plastic surgery’ jika semata-mata untuk kecantikkan zahir tanpa              keperluan yang mendesak.

MEMANFAATKAN

HUKUM-HAKAM RUKHSAH

Hukum-hakam kelonggaran (rukhsah) merupakan sebahagian daripada keperluan di dalam bidang perubatan. Ia merupakan sebahagian daripada maslahat hajjiyyat yang diperlukan. As-Syeikh Said Hawa telah berkata: “Terdapat ramai pekerja-pekerja untuk Islam yang bergerak seolah-olahnya keseluruhan syariat ialah ‘azimah (hukum asal)  tanpa sebarang rukhsah (kelonggaran). Sebahagian yang lain bergerak dengan menggunakan rukhsah pada tempat yang tidak diharuskan. Kesemua ini boleh meninggalkan kesan negatif kepada pemikiran dan perencanaan..”

Satu  di antara sebab Islam relevan bagi setiap zaman ialah, syariat Islam mempunyai kaedah-kaedah mantap yang boleh diapplikasikan pada semua ketika hinggalah ke hari kiamat. Kaedah-kaedah ini merupakan rumusan yang diambil dari Al-Quran dan As-Sunnah. Berpandukannya, hukum-hakam dan bentuk tindakan akan dapat ditentukan di dalam semua keadaan. Di antara kaedah-kaedah umum yang menaungi hukum-hakam perubatan Islam ialah:

  1. Kesukaran Mendatangkan Kesenangan / Kelonggaran

Dari kaedah umum ini lahirlah beberapa kaedah lain, sebagai contoh ‘kecemasan menghalalkan yang haram.’ Kaedah ini diambil dari beberapa nas: “Rasulullah telah memberikan kelonggaran kepada Abdul Rahman Ibn ‘Auf dan Zubair ibn ‘Awwam memakai sutera kerana penyakit gatal-gatal yang menimpa mereka.”(Bukhari)

“Beberapa orang telah datang ke Madinah. Oleh kerana tidak begitu sesuai dengan cuaca disitu, mereka telah diserangi penyakit. Ar-Rasul telah menghantar mereka ke tempat unta – unta sedekah dan bersabda: ‘Minumlah dari susunya dan dari air kencingnya.” (Bukhari)

Contoh: Harus meminum arak jika terlampau dahaga yang boleh menyebabkan maut.

2. Hukum Kecemasan Diambil Sekadarnya

Hukum pengecualian diizinkan oleh syariat mengikut batas-batas keperluannya. Bila keadaan berubah kepad sediakala, hukum kelonggaran tidak diperlukan lagi. Allah berfirman:  “Sesiapa yang terpaksa tanpa perasaan cenderung dan melampaui batas, tidak ada sebarang dosa ke atasnya.” (Al-Baqarah 2:173)

Contoh: Selepas meminum arak di saat kecemasan, kemudian bertemu air yang halal, hukum kelonggaran untuk meminum arak terbatal.

3. Harus Mengambil Yang Ringan Di Antara Dua Kemudaratan

Nabi telah bersabda: ‘ Tidak boleh mendatangkan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan.” (Malik, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan Ibn Majah)

Contoh: Melihat aurat adalah haram tetapi di saat kecemasan ia diizinkan kerana menyelamatkan nyawa adalah lebih utama.

 KERELEVANAN KONSEP PERUBATAN NABI

 Konsep perubatan Nabi akan terus relevan. Di dalam konteks ini =, perkara yang paling penting ialah mengeluarkan konsep umum dari pengalaman perubtan yang dilakukan di zaman Nabi. Konsep-konsep umum ini boleh dijadikan kaedah dan panduan pada hari ini.

1.      Allah Penentu Bagi Segala-galanya

Nabi bersabda: “ Allah yang menurunkan penyakit dan ubatnya.” (Imam Abu Daud)

2.      Kesihatan Mental / Jiwa Ialah Penting

Telah berkata Sahabat Abdullah ibn Masud: “Jika (penyakit keresahan hati dan kekusutan pemikiran) menimpamu, bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat: tempat orang membaca Al-Quran, majlis-majlis pengajian yang dapat mengingatkan hati kepada Allah atau ke tmepat yang sunyi yang dapat digunakan untuk bermunajat kepada Allah, umpamanya pada waktu malam.”

3.      Mendekatkan Diri Kepda Allah Ialan Penawar (Faith Healing)

Nabi bersabda: “Sesungguhnya hati-hati akan berkarat (dan cara membersihkannya) ialah dengan mengingati mati dan membaca Al-Quran.”(Al-Baihaqi)

Nabi juga berpandukan banyak riwayat-riwayat yang sahih, menyuruh kita agar banyak berdoa.

4.      Ikhtiar Dituntut Oleh Nabi

Nabi bersabda: “Wahai hamba-hamba Allah, berubatlah kerana sesungguhnya Allah tidak mendatangkan penyakit melainkan Allah mendatangkan ubat baginya melainkan satu sahaja, iaitu, penyakit tua.” (Bukhari)

  1. 5.      Ikhtiar Terikat Dengan Batas-Batas Syariat

Nabi bersabda:”Janganlah kamu berubat dengan benda yang haram.”(Imam Abu Daud)

  1. 6.      Pencegahan Diutamakan (Preventive Medicine)

Nabi telah bersabda” “Jauhilah kemudaratan dan jangan membalas dengan kemudaratan.”(Ahmad, Ibn Majah)

  • Menjaga Kebersihan Diri (Personal Cleanliness)

Nabi bersabda: “10 daripada fitrah: potong misai, memanjangkan janggut, sugi, masukkan air kehidung, memotong kuku, mencuci pelipat jari, memotong bulu ketiak, memotong bulu kemaluan, beristinja’ dan berkumur.”(Muslim)

Pembuangan Najis Yang Betul(Proper Sanitation)

Nabi bersabda:”Takutilah dua yang mendapat laknat: kada hajat dilorong yang digunakan manusia dan di bawah teduhan pohon-pohon.”(Muslim)

  • Bersugi Gigi (Dental Care)

Nabi bersabda: “ Menggosok gigi ialah pembersihan bagi mulut dan keredaan di sisi Allah.”(Tarmuzi, An-Nasai)

  • Penjagaan Makan Minum (Proper Dietary Measures)

“Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa melakukannya, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Tarmuzi, Ahmad)

  • Membanyakkan Buah-Buahan Dan Sayur-Sayuran

Abdullah Jaafar telah meriwayatkan:”Saya melihat Rasulullah memakan tamar basah dengan sayur-sayuran.”(Bukhari, Muslim)

  • Menjaga Tidur

Nabi bersabda: “Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur.”(Bukhari-Muslim)

Di dalam ‘Misykatul Masabih’ telah disebutkan: “ Tidur yang sedikit pada waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Nabi kadang-kadang melakukannya.”

  • Berdisplin Dalam Aspek Hubungan Kelamin

Allah berfirman:”Janganlah kamu menghampiri zina. Ia merupakan suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”(Al-Israk:32)

  • Bersenam

“Tiap-tiap perkara yang bukan zikrullah ialah kelalaian melainkan empat perkara: Berjalannya seseorang di antara dua sasaran untuk memanah, berusaha untuk mendidik kudanya (untuk berperang), bergurau senda dengan isteri dan belajar berenang.”(Tabrani)

  1. 7.      Rawatan

Nabi telah menggunakan beberapa kaedah rawatan yang masih relevan hingga ke hari ini.

  • Memastikan Rawatan Diberikan Oleh Mereka Yang Layak

Nabi telah bersanda:”Sesiapa yang memberikan rawatan dan dia tidak pernah diketahui sebelum ini sebagai seorang yang mengetahui ilmu perubatan, maka dia dipertanggungjawabkan.”(Abu Daud, An-Nasai dan Ibn Majah)

  • Pengasingan (quarantine / isolaton)

Nabi bersabda:”Andaikata kamu mendengar taun menyerang sesuatu tempat, jangan kamu masuki tempat itu dan sekiranya kamu berada di tempat itu jangan kamu keluar daripadanya.”(Bukhari)

  • Pastikan Punca Penyakit (Source of Infection/Disease)

Nabi bersabda berhubung dengan darah istihadah:”Ia berpunca dari saluran darah dan ia bukan darah haid.”(Bukhari-Muslim)

  • Menjauhi Khurafat Dan Tahayul

“Tidak ada sial majal (di dalam Islam).”(Bukhari-Muslim)

  • Berpantang

Nabi bersabda kepada Shuaib ar-Rumi: “Adakah kamu makan buah tamar sedangkan kamu sakit mata?”(Tarmizi, Al-Hakim)

  • Makan Ubat (Oral Medicaton)

Di dalam sebuah riwayat oleh Bukhari dan Muslim, Nabi pernah menyuruh seorang sahabat yang terkena cirit birit memakan madu lebah.

  • Rawatan Dengan Memasukkan Ubat Ke Dalam Rongga (Suppository, Pessary, Nasal Drops, Eye Drops, Ear Drops)

Nabi pernah mengubati sakit bernanah di antara hidung dan kerongkong dengan memasukkan ubat ke dalam rongga hidung. (Abu Daud)

Seorang wanita telah sakit mata, maka Abdullah ibn Masud telah menasihatinya:”Jika kamu melakukan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah, iaitu memasukkan air (tertentu) ke dalam mata kamu, ia lebih baik untukmu…”(Ahmad, Ibn Majah dan Al Hakim)

  • Menyapu Ubat Di Kulit (Topical Applications)

Di dalam sebuah hadis telah disebutkan:”Jika Rasulullah terkena luka ataupun duri, Baginda akan menyapu inai di atasnya.:”(Tarmizi)

  • Melakukan Pembedahan (Surgery)

Mengikut sebuah riwayat:”Nabi telah menghantar seorang tabib kepada Ubai bin Kaab yang sedang sakit dan tabib itu telah memotong saluran darahnya dan kemudian telah membakarnya dengan api.”(Muslim)

  1. 8.      Menggalakkan Kajian Dan Menerima Kajian Orang Lain

Nabi telah bersabda:”Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu.” (Imam Muslim). Nabi juga telah bersabda: “Kalimah yang bijaksana ialah barangan yang hilang dari orang yang bijaksana. Di mana saja dia mendapatinya, dia lebih berhak dengannya.”(Ibn Majah, Tarmizi)

Nukilan:

Dr. Danial bin Zainal Abidin. M.B.Ch.B.,University of Alexandria.

Pengurus Klinik Syifa, Pulau Pinang

Alamat Laman Web: http://www.drdanial.faithweb.com

May 8, 2013 - Posted by | Amalan, Jampi, Perubatan Islam

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: