Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

* Iman Dan Amar Makruf Nahi Mungkar


Iman Dan Amar Makruf Nahi Mungkar

Ali ‘Imran:110; “kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani)itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakkan mereka: orang-orang yang fasik”.

Marilah kita bertakwa kepada Allah swt dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan mematuhi perintah-Nya, dan mengeratkan hubungan kita sama ada hubungan dengan Allah swt ataupun dengan sesama manusia.

Ikhwan muslimin,

Masyarakat kita tidak akan menjadi baik dan dekat dengan Allah swt, selama kita tidak merasai adanya tanggungjawab terhadap Allah swt dan juga tanggungjawab sosial terhadap orang lain. Hidup dalam masyarakat perlu mengambil kira dan memelihara hak-hak orang lain, jangan pula kita hidup hanya mementingkan diri sendiri. Sikap sedemikian amat tidak sesuai bagi sebuah masyarakat yang bertamadun dan maju. Dalam masa yang sama, tanpa disedari kita telah menyusahkan hidup diri sendiri.

Islam telah meletakkan satu tanggungjawab yang besar dan terpenting keatas setiap peribadi Muslim dan Muslimat. Tanggungjawab ini ialah menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran berdasarkan kemampuan dan kedudukan masing-masing.

Ikhwan muslimin,

Masyarakat yang tidak melaksanakan tugas ini berdosa besar dan terdedah kepada laknat dan kemurkaan Allah swt, sebagaimana yang berlaku kepada kaum Yahudi Bani Israel, seperti firman Allah swt; surah Al Maa-idah 5:79-80. “mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) Iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab (neraka)”.

Islam telah meletakkan garis panduan yang lengkap bagi mereka yang hendak melakukan amar makruf nahi mungkar. Antaranya hendaklah ia seorang yang berilmu pengetahuan yang cukup, khususnya pada perkara-perkara makruf yang disuruh dan perkara-perkara mungkar yang dilarang, supaya ianya tidak melarang perkara-perkara yang menjadi perselisahan pada ulama (perkara khilaf). Jangan cepat menuduh orang lain dengan kata-kata mereka tidak benar, tidak betul, tidak sah, syirik, kafir, fasik, munafik dan sebagainya sedangkan belum jelas permasalahan yang dibicarakan.

Dalam menjatuhkan hukum pada masalah yang berlaku hendaklah berdasarkan dalil dan hukum yang sempurna. Dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar, hendaklah dengan bijaksana dan berkhikmah supaya cegahan nya itu tidak membawa kepada kemungkaran dan fitnah yang lebih besar.

Ikhwan muslimin,

Hari ini kemungkaran berlaku dimana-mana dalam berbagai bentuk dan rupa. Semuanya berlaku kerana kejatuhan nilai akhlak dan tidak mematuhi syariat Islam. Kemungkaran terjadi kerana meninggalkan amalan fardhu yang di wajibkan oleh Allah swt, samada dari segi ibadat yang khusus seperti sembahyang. Dari segi muamalat pula, seperti dalam hubungan jual-beli, gadaian, hubungan kekeluargaan, begitu juga kemungkaran terjadi kerana melakukan apa yang ditegah dan diharamkan oleh syarak seperti membunuh, membuang bayi, berzina, rogol, liwat, berkhalwat dengan perempuan, minum arak, judi, menagih dadah, meropak, mencuri, menipu dalam perniagaan, transaksi, makan riba, memberi dan menerima rasuah, makan harta anak yatim, makan harta orang secara batil, cara tidak benar, salah guna kuasa, wanita tidak menutup aurat dan sebagainya.

Kemungkaran boleh berlaku dimana-mana, kecil atau besar, di rumah, di pasar, di pejabat, di gedung perniagaan, di hotel, di kelab, di padang permainan, di jalan raya, di tepi pantai dan sebagainya.

Allah swt telah mewajibkan keatas kaum Muslimin melaksanakan amar makruf nahi mungkar dengan kewajipan fardhu kifayah dimana apabila sudah dilaksanakan oleh sebahagian orang dengan sempurna maka gugurlah kewajipan itu terhadap orang lain. Tetapi jika tiada seorangpun yang melaksanakan kewajipan itu, maka semua orang yang mempunyai kemampuan akan menanggung dosa kerana tidak melaksanakannya.

Sabda Rasulullah saw; “Barang siapa diantara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubahkan dengan tangannya.  Apabila ia tidak mempunyai kuasa atau tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya. Dan jika tidak juga mampu, maka ingkarkanlah dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” ~ H.R. Muslim.

Pada riwayat hadith yang lain; ’Rasulullah saw bersabda dengan maksud, “Selepas itu tidak ada lagi iman walaupun sebesar biji sawi,” – [Bukhari dan Muslim]. Hati yang tidak mengingkari dan membenci kemungkaran, boleh membawa kepada kebinasaan. Membenci harus pula disertai dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun dengan perbuatan apabila dia mampu nanti. Membenci maksiat dengan hati hukumnya ialah wajib ke atas setiap individu dan sesiapa yang menyetujui kemungkaran bererti dia bersekongkol dengannya.

Iman seseorang memerlukan bukti, dan salah satu di antara bukti-buktinya ialah membenci maksiat, tanpanya, iman terlerai daripada hati.

Melihat hadith ini, maka ternyata masyarakat kita hari ini dilanda oleh penyakit lemah iman, suatu penyakit yang amat bahaya kepada seseorang Islam dan besar akibatnya pada diri sendiri, agama, masyarakat dan negara. Banyak mungkar dan maksiat yang berlaku dalam masyarakat tetapi tidak diambil peduli, dipandang dengan sebelah mata sahaja, sudah mati rasa, kerana itu tidak diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak sehingga ada peribadi yang sudah dayus dengan mengizinkan keluarganya melakukan maksiat dan kemungkaran di hadapan halayak ramai. Disebut dalam hadith, ‘Orang dayus tidak boleh masuk syurga.’

Berdiam diri ketika melihat kemungkaran yang berlaku dimana-mana, walaupun mampu bertindak berdasarkan dengan kuasa yang ada, bererti suka dan redha dengan kemungkaran itu dilakukan. Redha bererti sama melakukan maksiat itu juga. Hadith amar makruf nahi mungkar, merupakan tuntutan fardhu kifayah keatas masyarakat Islam, kepada pemerintah ianya lebih merupakan fardhu ain, apabila melihat kepada kekuasaan dan keberkesanan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar itu.

Yang di maksudkan pemerintah, ialah semua orang yang memegang kekuasaan pemerintahan atau yang mempunyai kuasa dalam berbagai sektor pekerjaan termasuklah wakil rakyat, penguatkuasa yang ditugaskan dalam berbagai bidang, seperti polis, angkatan tentera, lembaga pengadilan dan sebagainya. Mereka semua memikul tanggungjawab menjaga kemaslahatan ummah berdasarkan kuasa yang diberi, tugas dan pengaruh yang mereka miliki. Sabda Rasulullah saw; “Masing-masing kamu adalah pemimpin, dan masing-masing kamu diminta bertanggungjawab tentang kepimpinan mu.”

Dalam Islam semua kekuasaan hendaklah ditujukan dan diguna-pakai untuk menyuruh membuat  makruf dan mencegah kemungkaran, samaada kekuasaan itu besar ataupun kecil. Mereka yang berkuasa memegang amanah tidak kira darjat dan tingkatannya, diamanahkan oleh Allah swt untuk menjaga kemaslahatan rakyat. Kemaslahatan rakyat tetap terjaga sekiranya dapat dilaksanakan amar makruf nahi mungkar. Dalam erti yang lain, yang luas tidak melaksanakan tugas ini atau merancang untuk melakukan kemungkaran adalah merupakan pengkhianatan terhadap amanah, pengkhianatan terhadap agama dan masyarakat. Setiap individu dalam masyarakat hendaklah sentiasa peka dengan tugas ini. Seorang bapa mempunyai cukup kuasa untuk merubah kemungkaran di rumahnya. Seorang ketua jabatan juga berkuasa serta boleh merubah kejahatan yang berlaku di jabatannya. Begitu juga apabila seseorang itu melihat orang minum arak atau main judi maka hendaklah dia melarangnya dengan syarat tidak membawa kepada berlakunya kemungkaran yang lebih besar seperti berlaku pergaduhan yang akan melibatkan senjata. Walau bagaimanapun dalam melakukan nahi mungkar,  menggunakan cara-cara yang lain, seperti menggunakan nasihat secara hikmah, atau dengan menghubungi pihak yang berkuasa dan bertauliah hendaklah didahulukan pada ketikanya.

Rakyat dan pemerintah hendaklah sentiasa bersama-sama berganding bahu, tolong menolong dalam menyelesaikan tugas ini, jangan ada pula yang menyalahkan pihak-pihak tertentu atau menunding jari sedangkan ia sendiri yang melihat perkara itu, tidak pula mengambil daya usaha. Pihak yang berkuasa hendaklah mengeluarkan perintah, undang-undang atau peraturan dimana tujuannya ialah untuk mengawal masyarakat daripada melakukan kemungkaran. Jangan pula ada masyarakat yang terkeliru, mana satu yang haram, mana pula yang halal.

Tindakan cepat hendaklah diambil keatas pelaku-pelaku kemungkaran, sebelum mungkar tersebar luas dan sukar untuk diatasi. Allah swt berfirman,  At Taubah:71; “dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, serta taat hanya kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Ikhwan muslimin,

Awas dan berjaga-jaga akan seksa dan bala Allah swt yang akan menimpa masyarakat dan kaumnya,  akibat kerana tidak melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Ingatlah seksa daripada Allah swt akan datang dalam berbagai bentuk dan keadaan. Apabila ia datang ia akan menimpa semua orang termasuk juga orang-orang yang baik, tidak bersalah, sebagaimana yang berlaku di negara jiran, seperti gempa bumi, tsunami, gunung berapi dan sebagainya.

Allah swt berfirman, Al Anfaal:25; “dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya”.

** Khutbah telah diolah semula oleh Biro Informasi dan ICT, tidak semestinya mengikut teks asal. Maaf jika tersasar daripada maksud asal.

 

 

November 11, 2010 - Posted by | Amalan, Dakwah, Khutbah, Tafsir

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: