Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

* Berkali-kali Membuat Haji & Umrah


Fatwa Qardawi: Berulang Kali Melakukan Haji Dan Umrah


FATWA QARDAWI: BERULANG KALI MELAKUKAN HAJI DAN UMRAH

Satu kefahaman yang salah telah menular di kalangan orang-orang Islam bahawa orang yang paling banyak mengerjakan kefardhuan haji adalah orang yang paling hampir dengan Allah SWT dunia dan akhirat. Mereka tidak menyedari bahawa terdapat beberapa keutamaan yang pahalanya sama sekali tidak kurang daripada pahala berulang kali mengerjakan ibadah haji dan umrah dan boleh jadi pelakunya memperolehi pahala kebajikan yang melimpah ruah di dunia dan akhirat.

Tahap-tahap amal kebajikan menurut Islam sudah jelas dan tidak perlu diterangkan lagi. Nabi s.a.w bersabda, “Iman itu ada tujuh puluh lebih cabang, yang paling tinggi sekali adalah kalimah لا إله إلا الله   , dan yang paling rendah adalah membuang benda yang berbahaya di jalanan.” Oleh itu, membataskan infaq harta pada sudut tertentu dengan mengabaikan sudut-sudut lain yang lebih utama untuk  diinfaqkan padanya dikira sebagai menyalahi Maqasid Shari’ah (objektif-objektif Shari’ah).

Fadhilah Syeikh Yusuf Qaradhawy, ketua Persatuan Ulama’ Islam Sedunia mengulas isu ini dengan katanya:

AlhamduliLlah, selawat dan salam ke atas RasuluLlah s.a.w, keluarga dan para sahabatnya serta orang-orang yang menolongnya.

Orang Islam wajar mengetahui bahawa mengerjakan kefardhuan-kefardhuan agama itu merupakan perkara pertama yang dituntut ke atas mukallaf terutamanya rukun-rukun agama sebagaimana melakukan ibadat sunat termasuk dalam perkara disukai oleh Allah SWT dan mendekatkan kepada keredhaan-Nya.

Dalam hadits qudsi yang diriwayatkan oleh al-Bukhary, “Tidak ada ibadat yang dapat mendekatkan hamba-Ku dengan diri-Ku seperti mana hamba-Ku melakukan apa yang Aku wajibkan ke atasnya dan hamba-Ku sentiasa mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan ibadat-ibadat sunat sehinggalah Aku menyukainya. Oleh itu, apabila Aku menyukainya Aku menjadi pendengarannya yang ia dengar dan menjadi penglihatannya yang dia melihat.”

Walau bagaimanapun sewajarnya kita memberi perhatian kepada kaedah-kaedah syariat berikut:

Pertama: Allah s.w.t. tidak akan menerima ibadah-ibadah sunat selagi tidak ditunaikan ibadah wajib. Berdasarkan kepada ini, kita lihat setiap orang yang mengerjakan haji atau umrah secara sunat, dalam keadaan begitu mereka agak bakhil mengeluarkan zakat yang difardhukan kesemuanya atau sebahagiannya. Dengan itu, haji dan umrah mereka tertolak dan tidak diterima.

Sedangkan yang patut diutamakan dahulu adalah membersihkan diri mereka terlebih dahulu dengan mengeluarkan zakat daripada membelanjakan harta untuk menunaikan haji dan umrah.

Begitu juga orang yang menanggung bebanan hutang dengan peniaga-peniaga dan berhutang dengan orang yang menjual kepadanya sesuatu barangan dengan bayaran bertangguh tetapi tidak membayar pada waktunya ataupun membuat pinjaman kewangan tetapi tidak melangsaikannya. Oleh itu dia tidak boleh menunaikan haji secara sunat ataupun umrah sebelum membayar hutang-hutangnya.

Kedua: Allah S.W.T. tidak menerima ibadat sunat yang boleh membawa kepada perbuatan haram kerana terselamat daripada dosa melakukan perkara haram didahulukan daripada mendapat pahala melaksanakan ibadat sunat.

Jadi, apabila kebanyakan para haji yang melaksanakannya secara sunat mengakibatkan sekian ramai orang Islam teraniaya akibat terlalu sesak sehingga berlaku banyak kesulitan, merebaknya penyakit dan sesetengah mereka ada yang tersungkur mati sehingga para jemaah haji terpijak mereka dalam keadaan tidak sedar ataupun mereka sedar tetapi tidak mampu untuk menginjak ke depan atau ke belakang. Adalah menjadi kewajipan mengurangkan kesesakan selagi ada jalan ke arah itu.

Langkah yang paling utama ke arah mengurangkan kesesakan tersebut dengan menghalang mereka yang sudah pun menunaikan haji beberapa kali supaya dapat memberi ruang kepada orang lain yang belum melaksanakannya.

Kita telah menyaksikan daripada ibadat haji yang dilakukan secara sunat ini apabila membawa kepada melakukan perkara haram atau hanya membantunya, kalaupun tidak secara langsung, itu bukanlah satu perkara yang terpuji dan tidak pula disyariatkan. Sebaliknya, meninggalkannya adalah lebih patut bagi orang Islam yang mencari keredhaan Allah SWT. Ini merupakan fiqh yang jelas.

Ketiga: Menolak kemudaratan itu lebih diutamakan daripada mencari kemaslahatan terutamanya apabila kemudaratan bersifat umum sedangkan kemaslahatan tersebut lebih bersifat khusus. Menjadi kewajipan untuk menghalang kemaslahatan sesetengah individu yang berulang kali melakukan haji yang menyebabkan berlakunya kemudaratan umum kepada puluhan ribu jemaah haji yang mengancam nyawa dan tubuh mereka dan juga membabitkan orang yang melakukan ibadah haji secara sunat. Oleh hal  demikian, adalah menjadi kewajipan menghindari kemudaratan ini dengan cara menghalang perkara-perkara yang boleh membawa kepadanya iaitu kesesakan yang teruk.

Keempat: Sesungguhnya perintah melakukan ibadat sunat yang berkait dengan kebajikan itu luas dan banyak. Allah SWT tidak menyempitkannya untuk hamba-hamba-Nya. Orang-orang mu’min yang melihat (dengan mata hati) itulah orang-orang yang memilih di antara pintu-pintu kebajikan mengikut keadaan yang sewajarnya dan lebih menepati masa dan keadaan dirinya.

Oleh itu, apabila menunaikan haji secara sunat mendatangkan penganiayaan atau mudharat melibatkan sesetengah manusia, maka Allah SWT memberi ruang lain kepada orang Islam agar dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT tanpa menganiaya sesiapa.

Di sana terdapat sedekah kepada yang memerlukan dan yang miskin terutamanya kaum kerabat dan yang mempunyai tali persaudaraan dengan kita. Di dalam hadits ada disebutkan: “Bersedeqah kepada orang miskin merupakan suatu sedeqah dan bersedeqah kepada orang yang mempunyai pertalian dengan kita itu dua sedeqah: iaitu sedeqah dan menghubungkan silaturrahim.” (Hadits diriwayatkan oleh Ahmad, Tirmidzy, Nasa’ie, Ibn Majah dan Hakim daripada Salman bin `Aamir as-Shaify dengan sanad yang shahih).

Kadang-kadang pemberian nafkah kepada mereka itu menjadi wajib apabila mereka dari kalangan orang-orang yang senang sedangkan saudara mereka dari kalangan orang-orang yang susah.

Demikian juga orang-orang fakir yang merupakan jiran kita sendiri kerana mereka mempunyai hak sebagai jiran selepas hak sebagai seorang Islam dan bantuan yang dituntut itu boleh mencapai tahap wajib kepada mereka dan adalah berdosa bagi orang yang mencuaikan perkara ini. Lantaran itu hadits lain menyebutkan, “Bukanlah orang yang beriman siapa yang tidur dalam kekenyangan sedangkan jiran sebelahnya kelaparan.” (Hadits diriwayatkan oleh Thabrani, Abu Ya’la daripada Ibn `Abbas, diriwayatkan juga oleh Hakim daripada ‘Aaisyah dan Thabrani dan Bazzar daripada Anas dengan ada perbezaan pada lafaz yang).

Di sana ada juga sedekah untuk pertubuhan agama, pusat-pusat Islam, sekolah-sekolah mengajar al-Qur’an, yayasan-yayasan kemasyarakatan dan pendidikan yang berasaskan kepada dasar Islam. Akan tetapi institut-institut ini kecundang dan dipijak-pijak kerana tidak ada orang yang menyalurkan dana dan menghulurkan bantuan sedangkan yayasan-yayasan missionari Kristian memperolehi pembiayaan beratus-ratus juta dolar dan menggunakan dana tersebut untuk menjayakan perancangan mengacaubilaukan agama Islam, memecahbelahkan kesatuan orang-orang Islam dan cuba memurtadkan orang Islam walaupun mereka tidak berjaya mengkristiankan orang Islam. Apa yang penting kepada mereka ialah dapat menggoyahkan iman dan akhirnya tidak beragama langsung.

Kegagalan projek-projek Islami bukanlah kerana harta orang Islam sedikit. Pada hari ini ada di antara negara Islam yang dianggap negara yang paling kaya di dunia. Bukan kerana ahli kebajikan dan orang yang membelanjakan harta itu sedikit. Di kalangan orang-orang Islam itu, sentiasa ada orang-orang yang baik dan melakukan kebajikan tetapi kebanyakan daripada perbelanjaan itu diletakkan bukan pada tempatnya.

Sekiranya beratus-ratus atau beribu ribu orang yang mengerjakan haji dan umrah setiap tahun secara sunat menghadkan harta yang dibelanjakannya untuk menunaikan haji dan umrah tersebut kepada tujuan perlaksanaan projek-projek Islami atau membantu ke arah jalan tersebut dan menyusun sebuah organisasi yang baik, pasti akan mengembalikan kebaikan dan kemajuan pada masa sekarang dan akan datang kepada seluruh umat Islam, dan membolehkan petugas-petugas yang ikhlas  berdakwah mendapatkan dana dan bantuan untuk menghadapi arus missionari Kristian, Komunisme,  Sekularisme dan aliran-aliran yang menjadi tali barut Barat dan Timur yang berbeza-beza tetapi sepakat dalam menentang halatuju Islam yang sebenar. Mereka menyekat jalan Islam dan memecahbelahkan umat Islam dengan pelbagai cara.

Inilah pesananku kepada saudara-saudara yang kuat beragama lagi ikhlas yang bersungguh-sungguh mahu mengerjakan haji dan umrah berulangkali bahawa memadailah mereka melakukannya sebelum ini. Seandainya sudah melakukannya dahulu dan mahu juga mengulanginya lagi bolehlah mengerjakannya lima tahun sekali. Dengan demikian, mereka memperoleh dua faedah besar dan mendapat pahala kerananya iaitu:

Pertama: menghalakan harta benda yang melimpah ruah untuk amalan-amalan kebajikan dan untuk berdakwah kepada Islam, membela orang-orang Islam di segenap tempat sama ada di negara Islam kita mahupun di luar dunia Islam di tempat-tempat minoriti.

Kedua: Memberi ruang kepada umat Islam lain yang datang dari pelusuk dunia yang belum menunaikan fardhu haji. Ini adalah lebih patut, memberi ruang dan kemudahan tidak syak lagi. Meninggalkan haji secara ibadah sunat dengan maksud memberi ruang kepada mereka dan secara umumnya dapat mengurangkan kesesakan para haji. Orang yang mengerti akan makna agama tidak meragui bahawa ia adalah amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana ia mendatangkan ganjaran pahala. Rasulullah s.a.w bersabda: “Dan setiap seseorang itu mendapat apa yang ia niatkan.”

Apa yang perlu disebutkan di sini adalah amalan yang berbentuk jihad adalah lebih afdhal berbanding amalan-amalan ibadat haji. Ini ditegaskan melalui nas al-Qur`an. Firman Allah Ta`ala: (Surah at-Taubah: 19-20).

Apakah orang-orang yang memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan menguruskan Masjidil Haram, kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. Orang-orang yang beriman dan  berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.

Wa Allahu A’lam..

Disediakan oleh Muhammad Haniff Awang Yahya   www.darulakutsar.net

October 8, 2010 - Posted by | Amalan, pahala

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: