Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

* Haram Bermain Mercun


Kesan Negatif Bermain Mercun

Mercun adalah bahan utama digunakan jika terdapat perayaan terutama perayaan Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Dan sering kali kita terdengar dan membaca kemalangan-kemalangan yang berlaku disebabkan mercun pada anak-anak Melayu kita. Baru sahaja seminggu berpuasa, mercun sudah berbunyi di merata tempat, di taman perumahan dan juga di sekitar masjid dan surau. Anak-anak merasakan masuk saja ramadhan, sudah layak bermain mercun, tidak perlu tunggu Hari Raya semacam kaum Cina yang hanya bermain di hari Tahun Baru mereka.

Amat kehadapan anak-anak Melayu kita rupanya dalam perkara yang negative, seperti juga perkara negatif yang lain. Di masjid mereka bermain kerana mungkin datang diatas alasan anak-anak pergi berteraweh konon untuk menjinakkan anak-anak dengan masjid. Tetapi sebaliknya berlaku, kerana kurang disiplin dan pengawasan, anak-anak ini menganggu ketenteraman awam dengan bunyi mercun yg diletupkan di kawasan masjid. Sudah sememangnya kurang ajar dan ianya berlaku di setiap tahun. Bukan pahala yang dicari, dosa pula yang mendatang kepada anak dan ibu-bapa yang tidak mengawasi anak-anak mereka.

Akta Bahan Letupan 1957. Seksyen 4 (2) memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki dan mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.Tetapi yang menjadi masalah tiada pengawasan, penguatkuasaan dan tindakan yang agresif.
Dari pandangan Islam pula hukumnya semua perkara yang membawa mudarat kepada diri dan orang lain adalah diharamkan di sisi Islam.

  • Oleh Nor Adila Ali KOTA BAHARU, 9 Sept (Bernama) — Bagi kebanyakan Muslim, kedatangan Ramadan begitu ditunggu-tunggu kerana inilah ketika buat mereka mempertingkat amal ibadat dengan tujuan mendapat pahala dan keberkatan berlipat ganda. Bagi peniaga pula, Ramadan bulan menambah rezeki kerana apa sahaja juadah yang disediakan untuk berbuka selalunya laris dijual. Namun, bagi kanak-kanak dan sesetengah remaja bulan ini ditunggu penuh keterujaan kerana inilah masa untuk berseronok bermain mercun dan bunga api. Bagi mereka, Ramadan lebih bermakna jika disambut dengan percikan bunga api, asap dan bunyi mercun setiap kali malam menjelma. Meskipun tersiar banyak berita mengenai kanak-kanak cedera teruk dalam kemalangan bermain mercun, namun golongan ini tidak pernah serik menyertai keseronokan itu. Jika bekalan mercun kehabisan, remaja dan kanak-kanak ini menjadi lebih kreatif dengan mencipta pelbagai jenis mercun buatan sendiri. Batang paip, batang buluh, tin dan botol minuman menjadi bahan utama untuk menghasilkan pelbagai jenis mercun. Malangnya, kekreatifan mereka ini sering berakhir dengan kejadian yang tidak diingini seperti putus jari, terbakar muka, bahkan ada antaranya menjadi buta dan kudung. Di Kelantan, belumpun dua minggu Ramadan berlalu, sudah lima orang kanak-kanak cedera akibat mercun. Mereka dalam lingkungan usia 6 hingga 11 tahun. Kes terbaru berlaku kelmarin apabila seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di Kampung Tok Kaya, Jalan Sabak dekat sini cedera di tangan kanan dan muka akibat mahu menunjukkan kehebatan bermain mercun. Mangsa, Mohd cedera apabila mercun yang dinyalakannya tidak sempat dibaling dan meletup di tangannya dan kini dimasukkan wad. Beliau adalah mangsa kelima mainan mercun dilaporkan di negeri ini. Kebanyakan kanak-kanak mangsa mercun ini mengalami kecederaan di tangan dan jari dan ada antaranya yang hancur ibu jari dan hampir kudung. Persoalannya siapa harus dipersalahkan dalam masalah permainan mercun oleh kanak-kanak dan remaja ini yang mengundang pelbagai bahaya? Pengarah Kastam Kelantan, Azis Yacub mahukan ibu bapa turut bertanggungjawab. Beliau berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang didapati terbabit dalam bermain dan memiliki mercun. Untuk itu, pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas bagi menangani sebarang kes membabitkan sama ada bermain, menyimpan atau memiliki mercun. Sekiranya yang ditahan itu remaja atau kanak-kanak, ibu bapa mereka yang terpaksa bertanggungjawab, katanya. Dalam hubungan ini, ibu dan bapa perlu memantau anak-anak sekerap mungkin kerana walau sebaik manapun didikan yang diberi, mereka tetap kanak-kanak yang sering mudah terlupa. Apa lagi ketika mereka didorong keseronokan bermain bersama rakan sebaya. – BERNAMA

Diantara sebab-sebab yang menjadikan bermain mercun dalam kategori haram adalah :-

1) Mudarat Kepada Diri
Ini tidak perlu lagi dihuraikan, cukup laporan akhbar sebagai fakta

2) Mudarat Orang Lain
Ia seringkali mengganggu masyarakat awam sekeliling dengan kebisingan bunyinya (pencemaran bunyi), gangguan kepada jiran tetangga, anak kecil yang hendak tidur, selain bahaya letupan dan kebakaran yang mungkin berlaku.

Ada kalanya masuk saja pukul 12 malam, di masa itulah mereka meletupkan mercun yang kuat. Jelas tujuannya untuk menganggu orang yang hendak atau yang sedang tidur. Maka jelaslah ia termasuk dalam perkara atau perbuatan yang diharamkan.

Tahap pengharamannya lebih dahsyat apabila ia diletupkan di tepi-tepi surau dan masjid tatkala ahli jemaah sedang menunaikan solat. Ketika ibu-bapa sedang sibuk mengerjakan sembahyang terawih di masjid/surau, ketika inilah anak-anak kecil/remaja bermain mercun diluar pengetahuan mereka.

Demikian juga apabila ia ditujukan ke arah rumah atau individu tertentu dengan niat ingin berseronok-seronok. Ini boleh dianggap persamaan dengan cubaan membunuh, kerana letupan api itu boleh menyebabkan sebuah rumah terbakar atau seseorang kanak-kanak atau bayi hilang nyawanya.

Nabi s.a.w bersabda :
Ertinya : Barangsiapa yang membawa mudarat, maka Allah akan memudaratkan dirinya sendiri, sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah akan menyusahkannya pula”
(Riwayat Abu Daud, no 3635, 3/315; Ahmad, 3/453 ; Tirmidzi : Hasan Gharib ; Syeikh Syuaib, Hasan Bi Syawahidi)

Terdapat kisah yang disiar oleh akbar tahun lepas, bagaimana mercun masuk ke dalam buaian seorang bayi. Juga kisah ini dimana “Ibu Syafiq, Saripah, 43, berkata, anaknya sedang mengangkat kain di kawasan jemuran asrama kira-kira pukul 6 petang apabila sebiji mercun bola dilemparkan ke arahnya yang terkena di bahagian bawah mata kiri menyebabkan matanya cedera”.

3) Pembaziran
Bermain mercun adalah satu pembaziran kerana wang yang digunakan dikira dibakar begitu sahaja untuk menikmati bunyi letupan yang tiada membawa satu faedahpun.

Allah s.w.t mengurniakan kita harta untuk dibelajakan sebaik mungkin dan bukan untuk mengikut hawa nafsu atas alasan kemeriahan lalu membeli pelbagai jenis mercun. Islam inginkan kita menjadi orang yang mampu mengurus kewangan dengan bijak di bulan Ramadhan. Malah inginkan kita memperbanyakkan sedekah terutama di akhir Ramadhan. Bukannya membeli mercun yang haram hukumnya.

Sebagai kesimpulan, ibu bapa yang membelikan mercun ini tidak terlepas dari dosa pada pandangan Islam. Mereka sepatutnya bersifat tegas dalam hal ini melarang sebarang penglibatan anak-anaknya terutamanya jika mereka terjebak dalam membuat mercun sendiri seperti mercun buluh dan lain-lain. Isu ini sangat jelas sekali.

Ertinya : Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkan untuknya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya.”
(Riwayat Ibn majah, 2/1122 ; Tirmidzi, Hadis Gharib ; Albani : Hasan Sohih)

Keterangan: Walaupun hadith ini menyebut bab arak, tetapi ia boleh merangkumi barang-barang haram yang lain berdasarkan kepada kaedah Qiyas dalam Islam.

Fakta-fakta lain:

  • Oleh itu, terdapat beberapa negara yang mengharamkan pembakaran mercun kerana beberapa sebab, antaranya pencemaran bunyi, risiko kecederaan serta risiko kebakaran.
  • Di Malaysia, pembakaran mercun kini diharamkan seperti yang termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991 akibat peningkatan kadar kecederaan di kalangan kanak-kanak semasa musim perayaan Hari Raya. Ironinya, kes kecederaan akibat bermain mercun terus meningkat saban tahun kerana kanak-kanak beralih kepada mercun buatan sendiri seperti meriam buluh sebagai alternatif kepada mercun komersial.
  • Di Singapura, larangan separa terhadap pembakaran mercun dikuatkuasakan pada Mac 1970 selepas satu kebakaran yang mengorbankan enam orang dan mencederakan 68 yang lain. Ini seterusnya membawa kepada pengharaman penuh pada Ogos 1972, selepas satu letupan yang membunuh dua orang serta serangan terhadap dua anggota polis yang cuba menghalang satu kumpulan orang ramai daripada membakar mercun pada Februari 1972. Walau bagaimanapun, pada tahun 2003, kerajaan membenarkan kembali mercun dibakar semasa musim perayaan. Pada tengah malam Tahun Baru Cina di Chinatown, mercun dibakar tetapi di bawah syarat-syarat kawalan yang dikenakan oleh Lembaga Pelancongan Singapura. Perayaan lain di mana mercun dibenarkan untuk dibakar ditentukan oleh Lembaga Pelancongan Singapura. Namun demikian, penjualan mercun secara komersial diharamkan sama sekali.
  • Sudah menjadi satu kemestian setiap kali ada sambutan perayaan di negara ini, ia akan disertai dengan aktiviti membakar mercun dan bunga api. Tidak kira sama ada perayaan menyambut tahun baru, Tahun Baru Cina, Deepavali mahupun Aidilfitri, budaya bermain mercun seakan-akan tidak boleh dilupakan setiap kali datangnya perayaan. Mungkin bagi ramai orang, aktiviti membakar mercun dapat menambahkan lagi kemeriahan suasana perayaan, terutama bagi masyarakat Cina yang sudah menjadikannya sebagai tradisi setiap kali menyambut tahun baru dalam kalendar Cina.
  • Fenomena itu sedikit sebanyak menular dalam masyarakat Melayu yang turut terbawa-bawa dengan kegiatan membakar mercun dan bunga api ketika menyambut Aidilfitri. Yang berlainannya, masyarakat Melayu, awal ramadhan lagi sudah mula bermain mercun, tidak kira di mana saja termasuk masjid dan surau.

Inilah kecelaruan budaya masyarakat Melayu yang mudah meniru budaya bangsa lain. Kemeriahan perayaan bukan terletak pada mercun dan bunga api. Kemeriahan terletak kepada jiwa dan amalan-amalan positif yang digalakkan agama sempena menyambut hari raya iaitu ziarah-menziarahi. Bukannya pada keriuhan mendengar letupan mercun seperti yang dianggap sesetengah orang. Tidak perlu melakukan perkara berbahaya seperti membakar mercun.

Inilah salah satu lagi nilai songsang masyarakat kita yang perlu diperbaiki. Disebabkan itu, setiap kali musim perayaan, riuh-rendahlah kawasan perumahan di bandar dan di kampung dengan dentuman mercun yang dimainkan anak-anak muda dan tidak ketinggalan orang dewasa, termasuk golongan bapa yang sepatutnya menasihatkan anak-anak mereka jangan membakar mercun kerana ia perbuatan membazir.

  • Nukilan dari bahan internet, zaharuddin.net dan selainnya. Mohon diizinkan demi kebaikan ummah.

Was’salam mualaikum wrt. Waallah A’lam.

August 21, 2010 - Posted by | Dosa

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: