Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

* Al-Quran dasar Hukum


Al-Quran dasar Hukum, Undang-Undang dan Peraturan Hidup

An Nisaa’:105. Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya Engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah Engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

Dalam menjalankan hukum sesama manusia hendaklah menghukum dengan adil, berlandaskan wahyu yg diturunkan Allah swt melalui Al-Quran. Apabila orang fasik memperdengarkan berbagai berita dan berbagai teori dalam kehidupan masyarakat (mu’amalat), maka siasatlah dahulu nilai berita yg dibawa supaya apabila engkau menghukum engkau akan berlaku adil, seperti ayat dibawah.

An Nisaa’: 58. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Ayat 58 juga menegaskan supaya sesiapa sahaja yg diberi amanah dalam tugas dan jawatan, untuk melakukannya dengan penuh tanggungjawab tanpa korupsi, kroni dan curi tulang. Mereka yg bukan ahli atau tiada kepakaran dalam jawatan itu, disamping tidak beramanah maka tidak berhak menjawat jawatan itu. Kalau berlaku disebaliknya, maka purak-purandalah sistem hidup masyarakat seperti yg kita dihadapi sekarang ini.

Jika engkau menghukum berlandaskan wahyu  yg diturunkan Allah swt melalui Al-Quran, Allah swt akan memperlihatkan jalan keluar dan memberi pertunjuk untuk ditempuhi. Pertunjuk ini diperolehi melalui engkau beriman dengan perintah-Nya.

Sebab turun ayat diatas ialah kerana berita fitnah oleh pihak munafik, maka tindakan yg perlu jangan terburu menerima berita itu, siasat dahulu sebelum menjatuhkan apa-apa hukuman.  Hendaklah ingat apa yg Hakim Islam telah putuskan dalam sesuatu perkara. Dasar utama disini ialah menegakkan keadilan dan membela mereka yg teraniaya dan jangan pula membela puak yg melakukan dosa dan durjana.

Al An’am:114. (Katakanlah Wahai Muhammad): “Patutkah Aku (terpedaya dengan kata-kata dusta syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu Kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?” dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu.

Al Maa-idah:49-50. dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, Hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan Sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.

An Nisaa’:60. tidakkah engkau (hairan) melihat (Wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.

Ayat ini mencela mereka-mereka yg beriman separuh-separuh. Mereka mengaku beriman dengan Allah swt tetapi dalam masa yg sama mengambil hukum-hukum dan peraturan yg lain selain daripada undang-undang Al-Quran. Mereka tinggalkan peraturan Allah swt, dan mereka pakai peraturan dan undang-undang ciptaan manusia. Padahal sudah amat nyata Allah swt memerintahkan, undang-undang taghut tidak boleh diikut. Pekerjaan syaitan ialah untuk memesongkan manusia supaya jangan sepenuhnya mentaati perintah Allah swt, supaya jangan yakin kepada peraturan Allah swt. Sedangkan peraturan manusia yg tidak bersumbarkan hukum Allah swt akan membawa kepada kesesatan kepada pengikutnya. Mengaku beriman dengan Allah swt, melakukan solat , berpuasa, berzakat, pergi haji, ibadat-ibadat yg lain tetapi dalam masa yg sama mengingkari hal-hal hukum-hakam-Nya, mu’amalat-Nya dan peraturan-Nya. Inilah perkerjaan syaitan yg menyesatkan, dan syaitan itu tidak saja mahluk halus tetapi ada juga dikalangan manusia Islam dan penjajah yg menjajah minda orang Islam supaya meninggalkan hukum-hakam Allah swt.

Waallah alam.

Rujukan Tafsir Al-Azhar. Prof.Dr.Hamka

June 29, 2010 - Posted by | Al-Quran, Politik, Tafsir

Sorry, the comment form is closed at this time.

%d bloggers like this: