Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

* At Takaatsur


At Takaatsur

Surah ini diturunkan di Mekah. Surah Mekah biasanya memberi penekanan dari segi pembangunan insan, iman, akidah dan pengurusan diri.

At Takaatsur bermaksud perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat sebanyak-banyaknya harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh. Manusia pakat-pakat berebut supaya  hartanya banyak melebihi daripada orang lain, anakpun lebih daripada orang lain, pangkat dan pengaruhpun lebih daripada orang lain. Kemudian bermegah dan berbangga dengannya. Sesiapa yang berani mengatasinya, melawannya, dia akan ditekan dan dicantas. Dia akan ditendang terajang sana-sini, en’ja sana-sini, lutut dan siku sana-sini kerana berebut pangkat dan pengaruh dan harta-benda.

Satu perkara yang merbahaya kepada manusia ialah lalai yang merupakan satu bala besar. Lalai ialah tidak sedar, tidak ingat, terlupa atau tidak khabar. Ramai orang yang tidak khabar hari ini, satu penyakit yang berat. Dia tidak khabar dengan Allah swt, tidak khabar dengan akhirat, tidak khabar syurga dan neraka yang menunggunya, tidak khabar dengan dosa-pahala, dia tidak khabar dengan tujuan hidup ini untuk apa, matlamat hidup ini untuk apa. Dia juga tidak khabar yang dia ini semakin dekat dengan kubur yang menunggunya untuk mati. Dia juga tidak khabar dengan akhirat yang menantinya yang kalau tidak kena cara, kehidupan akhiratnya amat menyusahkan dan pedih sekali.

Umpamanya kalau kita sedang memandu, seketika kita tidak khabar atau lalai, sudah tentulah kita masuk parit atau berlaku kemalangan yang menyakitkan atau membawa maut.

Mengapakah manusia tidak sedar atau tidak khabar :

1. kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh),

Kamu dilalaikan dan dimabukkan hingga tidak sedar seperti dirasuk hantu kerana At Takaatsur, perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan dengan sebanyak mungkin harta benda, dimabukkan dengan anak-pinak, ahli dan sahabat handai, pangkat, pengaruh dan politik yang kita panggil dunia yang semuanya menyebabkan mereka tidak khabar. Imam Ghazali berkata ada 4 perkara yang menjadikan manusia tidak khabar (tidak sedar):

1. nafsunya sendiri

2. syaitan

3. manusia

4. dunia

Hinggakan dia tidak sedar akan kehadiran dan kewujudan Allah swt, Allah swt yang menjadikannya, yang memeliharakannya, tidak ingat jasa-jasa Allah swt kepadanya, tawaran-tawaran Allah swt kepadanya, tidak ingat kepada syurga dan neraka. Sebaliknya dia mabuk dengan harta-benda, hendak menjadi kaya dan sebagainya, sehinggakan terlupa akan sembahyang-bang, mengaji ditinggalkan, Quran dan hadis dilupakan, masjid ditinggalkan dan hidupnya terus-menerus di dalam kesesatan dan kejahilan. Ramai orang yang hanyut dengan kehidupannya, tidak sedar dan tidak khabar. Dia akan terus hidup dari hari kehari dalam keadaan tidak khabar, dari bulan ke bulan, tahun ketahun dia tidak khabar. Bila masanya dia khabar, bila dia terantuk dengan mati. “Allah! Baru dia khabar, rupanya begini.

2. sehingga kamu masuk kubur.

Apabila dia masuk kubur, baru dia khabar. Ada satu kitab bertajuk; “Malam pertama dalam kubur”, mungkin akan membuat jiwa anda terasa. Setelah mayat ditanam dan ditinggalkan bersendirian dan roh kembali ke dalam kubur, barulah dia khabar yang kehidupannya terdahulu telah banyak silapnya. Dia sibuk mencari harta-benda hinggakan sembahyang-bang tidak tahu dimana, zakat tidak dibayar, mengaji tidak, tidak ambil berat dengan agama dan dengan Allah swt. Ketika itu baru dia khabar tetapi tidak bermakna lagi, sebab sudah terlambat dan tidak boleh menolongnya lagi.

3. jangan sekali-kali (bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!

Allah swt kata jangan begitu, jangan sekali-kali, jangan tertipu dengan manusia, jangan tertipu dengan dunia, jangan tertipu dengan syaitan, jangan tertipu dengan nafsu. Jangan kamu berperangai tidak molek, berlumba-lumba mencari dunia, tidak kira haram-halalnya dan melanggar hukum Allah swt. Carilah dunia dengan baik, mengikut syariat, dengan tidak menceroboh hak Allah dan hak orang lain. Jika dibuat dengan betul boleh menjadi ibadat pula.

Jangan kamu melayan dan terbawa-bawa dengan perkara yang boleh menyebabkan kamu tidak khabar, menyebabkan kamu mabuk dunia yang lebih memabukkan dari arak lagi. Akhirnya kamu tidak khabar dengan haram-halal, kamu tidak khabar kepada akhirat, tidak khabar dengan Allah dan Rasul.

Nabi saw berkata; ‘Diatas dunia ini ada dua sakkarah (benda yang memabukkan manusia). 1. sakkaratul maut – apabila dekat hendak mati, seseorang itu berasa tidak khabar. 2. sakkaratul jahli – iaitu mabuk dengan kejahilan. Mabuk kejahilan ini lebih berat dari sakkaratul maut lagi. Dia mabuk jahil hinggakan dia tidak sedar, tidak khabar dia jahil.

4. sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!

Jangan begitu, jangan kamu mabuk, jangan kamu tidak khabar, jangan sekali-kali kamu berlumba-lumba mencari pangkat, mencari pengaruh sehingga sampai melakukan sogokkan, rasuah, sogok sana-sini hinggakan tidak terasa lagi rasuah itu berdosa, tidak lagi terasa berdosa perbuatan-perbuatan haram yang kamu lakukan, asalkan memperolehi pangkat dan dunia, asalkan menang dalam pemilihan. Dalam semua hal kehidupan termasuk politik ada halal-haramnya. Pangkat, harta dan dunia tidak salah, yang salahnya kamu tidak bersyukur dan salah dalam mencari dan menggunakannya.

Kamu akan mengetahui kelak akibat buruknya pada hari hendak mati. Semasa hendak mati itupun kamu mengetahui sudah, masa depan yang menantimu di akhirat. Itu sebab ada kalanya kamu boleh melihat di wajah si mati keadaan yang tidak elok, terkejut melihat masa depan yang menunggunya.

Ini ialah maklumat-maklumat awal yang Allah swt terangkan kepada kita semua.

5. Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui – (Apa yang kamu akan hadapi) – Dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari Akhirat).

Mengetahui sahaja sebagai maklumat apa yang akan dihadapi setelah mati, tidak memadai, hanya setakat pengetahuan, setakat mengaji saja belum mencukupi. Kamu hendaklah menyakini pengetahuan itu, tentang Allah swt, tentang alam ghaib, tentang dosa-pahala, tentang masa hadapan yang menunggu, akhirat, syurga neraka. Kalaulah kamu mengetahui dengan yakin, tentulah kamu akan membuat perkara-perkara yang boleh menyelamatkan kamu. Sebab manusia ini dimana sahaja dia berada, dia hendakkan kepada kesenangan dan tidak mahukan kesusahan. Dia akan cari jalan supaya dia menjadi senang dan tidak menjadi susah. Kalau kamu penuh yakin sudah pasti kamu akan bergerak untuk mempastikan diri kamu tidak ditimpa kesusahan. Kamu akan mencari kesenangan yang abadi buat selama-lamanya.

Tetapi kalau kamu masih tidak bergerak mengambil tindakan, bermakna kamu hanya sekadar tahu sahaja. Ramai yang tahu pasal mati, Allah swt dia tahu, Rasulullah dia tahu, tetapi hanya sekadar tahu maklumat sahaja; tidak sampai peringkat ‘ilmulyakin’. Semenjak kecil lagi banyak sudah maklumat yang kita ketahui. Tetapi oleh kerana tidak dihazam atau diproses dengan molek, sampai peringkat ‘ilmulyakin’, jadi tidak boleh dimanfaatkan sebaik mungkin.

Minta tolonglah dengan Allah swt untuk memberikan kita semua maklumat dan perasaan ‘ilmulyakin’. Kalaulah kita mengetahui dengan ‘ilmulyakin’, kita tidak akan berani menentang Allah swt. Oleh kerana tiadanya ‘ilmulyakin’, maka kewujudan ada dan tiadanya Allah swt, sama saja kepadanya.

6. (ingatlah) Demi sesungguhnya! – kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.

Sekarang ini kamu hanya mendengar sahaja dari berita wahyu mengenai dosa pahala, malaikat, syurga neraka, hal-hal akhirat tetapi kamu tidak melihatnya lagi.

Akidah ini ada empat perkara:

1. Illah’hiyat – hal-hal ketuhanan.

2. Nubu’wat – hal-hal ke nabian

3. Ghaib’biyat – perkara-perkara yang ghaib

4. Sam’iyat – perkara-perkara yang kita dengar beritanya daripada Nabi saw.

Ketika itu, kamu akan melihatnya dengan sendiri realiti neraka yang marak menjulang. Sebelum ini hanya disebut di mulut mengenai neraka tetapi tidak menimbulkan kegerunanpun di hatimu.

7. selepas itu – Demi sesungguhnya! – kamu (Wahai manusai-manusia yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!

Wahai manusia-manusia yang derhaka dan lalai, akan kamu lihatnya dengan penglihatan yang yakin semasa kamu dilemparkan ke dalamnya.

Ilmulyakin, bermakna kita hanya mempunyai maklumat mengenai akhirat dan berkeyakinan dengan kebenaran ilmu itu. Apabila bermulanya akhirat dalam alam kubur kita akan didedahkan dengan penglihatan yang yakin, iaitu ainulyakin, melihatnya sendiri dengan matakepala dan dengan penuh yakin.

Apabila Rasulullah menceritakan hal kubur, padang mashar, hal mahkamah Allah swt, hal sirat, hal syurga dan neraka; kita menerima maklumat itu dengan yakin, sebabnya ia datang dari orang yang tidak pernah berbohong iaitu Nabi Mohammad saw, yang baginda sendiri terima dari wahyu Allah swt. Dengan itu kita mestilah yakin sepenuhnya dengan apa yang diberitahu oleh Al-Quran dan hadith.  Kemudian setelah mati dan melihatnya dengan matakepala di alam kubur dan apa yang diceritakan oleh Nabi Mohammad saw itu rupanya betul, barulah sesal kerana selama ini derhaka kepada Allah swt. Apabila melihat neraka yang menjulang, barulah terasa takut dan kesal dengan kelalaian di atas dunia dahulu, banyak masa umur yang disalah gunakan, akibat kerana tidak khabar dengan kehidupan beragama. Selama ini merasakan dunialah segala-galanya, pangkat dan jawatanlah segala-galanya, hartalah segala-galanya, agama diketepikan dan dipinggirkan.

8. selain dari itu, Sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

Kemudianya kamu akan disoal-siasat dalam mahkamah khas yang disediakan oleh Allah swt; mengenai umur kamu, dimana digunakan, nikmat-nikmat yang Allah swt berikan selama ini, apa yang kamu buat dengannya; apa pekerjaan kamu bermula diakhir baligh sampai kamu mati. Kamu akan ditanya tentang segala nikmat dan kemudahan yang Allah swt beri di atas dunia ini. Nikmat peribadi, nikmat penghidupan, nyawa, mata, telinga dan segalanya.

Nikmat harta benda, anak, rumah, kereta, dan semuanya yang Allah swt berikan sebagai amanah untuk digunakan, semuanya akan ditanya, apa yang kamu lakukan.

Kalau ditanya oleh polis, Bukit Aman atau SPRMpun sudah merasa resah, gelisah dan berat, inikan pula oleh Allah swt. Tetapi Bukit Aman atau SPRM pun juga akan ditanya oleh Allah swt, dari berbagai segi umpamanya betul ke tidak dari penggunaan kuasa, betul ke tidak dari segi peraturan Islam. Semua akan ditanya, dari Raja, PM, President, menteri dan sebagainya, tidak akan terlepas, maka bersedialah untuk menjawab pertanyaan Allah swt. Kamu ditanya pula dalam keadaan Allah swt tahu semua perkara, kamu tidak boleh berlawak, berkata tidak benar, semua ada saksi.

Dengan yang demikian kita carilah jalan supaya tidak banyak di soal-jawab oleh Allah swt.

1. Bermula dengan bertaubat cepat-cepat untuk diselesaikan kes kita di luar mahkamah Allah.

2. Segala nikmat Allah swt perlu disyukuri semua.

3. Jangan buat masalah dengan Allah swt. Buat suruhan Allah swt dengan jujur, tinggalkan larangan-Nya dengan jujur.

Kalau ditanyapun tidaklah banyak kerana akaun hidup kita sentiasa di audit. Sebab itulah akaun hidup kita perlu sentiasa diaudit mengikut harian, mingguan, bulanan, tahunan, kena diperiksa sentiasa.

Mana yang silap, minta maaf segera dengan Allah swt. Mana-mana yang tersangkut dengan manusia, selesaikan segera. Kalau mendapat nikmat Allah swt, syukur dengan segera, sujud syukur dan tunaikan nikmat dan amanahnya itu.

Wallah wu’alam.

May 27, 2010 - Posted by | Al-Quran

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: