Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

* Al ‘Ashr


Al ‘Ashr

Mengikut kata Imam asy-Syafi’i: ’Surah Al ‘Ashr adalah satu surah yang besar, merenungkannya sudah cukup baginya’.

1. Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu berada dalam Kerugian. 3. kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan Kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Jika dikira kerugian manusia dari umur akhir baliq hingga umurnya sekarang ini, amat banyak sekali kerana meninggalkan tawaran-tawaran besar Allah swt, yang ditinggal begitu sahaja. Mereka yang tidak rugi ialah orang-orang yang beriman sebab mereka beriman di setiap saat,  di setiap masa. Mereka juga beramal soleh, membuat kerja-kerja yang baik mengikut syariat Islam sama ada menggunakan anggota, hati, pemikiran, kepakaran dan sebagainya di dalam semua bidang kehidupan, mereka ini tidak akan rugi. Mereka juga berpesan-pesan dengan kebenaran daripada Allah swt serta berpesan-pesan dengan kesabaran. Kita telah banyak sekali mendengar surah ini dibaca tetapi tindakan kita masih kurang dan boleh diperbaiki lagi.

Tindakan yang perlu kita ambil supaya menguntungkan dan tidak rugi :

1.  Perlu menjaga masa, pengurusan masa bermula dari bangun tidur hingga tidur kembali. Jangan ada masa kita bazirkan. Masa ini adalah umur kita yang tidak boleh dijual-beli. Kalau habis tidak boleh ditambah lagi.

2.  Pastikan diri kita tidak termasuk dalam kumpulan orang yang rugi. Kalau berniagapun  tiada siapa yang berkehendakkan rugi dan kita sekarang ini sedang dalam perniagaan yang sangat besar, iaitu perniagaan dengan Allah subhanahu wataala.

Kalau kita rugi dalam perniagaan ini, maka amat malang sekalilah, kerana hidup ini diberi sekali seorang saja. Pastikan supaya jangan rugi dan kita uruskanlah melalui muhasabah diri, dengan membuat akaun masa, akaun untung-rugi, senarai semak masa yang digunakan dalam sehari yang dibuat disetiap hari. Lihat di mana yang merugikan dan dimana pula yang menguntungkan. Kita juga perlu merancang untuk beriman dengan baik dan membuat banyak amal soleh dan mencapai pahala-pahala yang besar.

3. Jangan lupa untuk berpesan dengan Kebenaran, umpamanya untuk berpesan datang mengaji di sebabkan mengaji ini adalah kunci kepada segala kebaikan. Kalau terus dengan kejahilan sejak muda hingga ke tua, hendak jadi apa kita akhirnya! Mari mengaji sampai mati sebab mengaji ini ibadat yang besar yang dibayar pahala seperti mengerjakan haji dan sempurna hajinya. Berpesanlah dengan mengajak sekali anak-anak dan isteri datang mengaji bersama, supaya tidak jahil nanti dalam bab agama.

Punahnya dunia dan kehidupan ini ialah disebabkan kes kejahilan. Punah politik, punah ekonomi, punah negara semuanya disebabkan kejahilan. Jahil di sebabkan tidak berpesan dengan yang hak, dan yang sebenar. Berlakunya perkara karutpun dan maksiat, orang tidak tegur, akhirnya tidak dapat dibezakan mana yang benar dan mana perkara yang salah. Dengan adanya pesan-memesan masyarakat dapat membezakan mana yang betul, mana yang salah, mana yang Allah swt suruh, mana yang Allah swt larang. Anak dan isteri juga hendak masuk syurga, dan kita semua lepas ini senanglah kehidupan kita di akhirat nanti.

4. Kita juga perlu memesan supaya pakat-pakat bersabar. Pesanlah supaya bersabar dalam bab mengaji, sabar dalam solat, sabar dalam bab Allah swt suruh, sabar dalam bab Allah swt larang, sabar dalam berdakwah, sabar dalam menghadapi kepayahan dan sebagainya. Mengaji ini mesti sebab mengaji ini adalah kuncinya kepada kebaikan, kalau tidak akhirnya tua dan mati dalam kejahilan.

Disunting dari Tafsir Al-Azhar; Prof.Dr.Hamka.  (penyunting)

Allah swt mengambil masa menjadikan sumpah, masa dijadikan sesuatu yang mesti diingat-ingatkan, masa jangan disia-siakan dan jangan diabaikan. Sejarah manusia ditentukan oleh peredaran masa dan hanya menjadi pinjaman seketika, sebelum mati dan tidak boleh ditokok-tambah.

Di dalam masa yang dilalui, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman yang insaf dari mana dia di datangkan dan memahami tujuan hidupnya hanya sementara waktu, dalam masa yang dipinjamkan, untuk berbakti kepada Penciptanya dan kepada sesama manusia. Dan beramal soleh, bekerja untuk kebaikan dan berfaedah, didorong oleh iman kerana jika sebaliknya akan merugikan diri sendiri dan juga orang lain.

Dan mereka pula berpesan-pesan dengan Kebenaran. Hidup yang bahagia ialah hidup bermasyarakat dan sebaliknya hidup nafsi-nafsi, hidup sendiri-sendiri, amat merugikan. Dengan itu hubungkanlah silatulrahim, kasih sayang sesama manusia dengan memberi ingatan kepada perkara yang benar. Supaya apa yang benar itu sama-sama disanjung dan yang salah itu sama-sama dijauhi. Bukankah ini satu perkara yang indah dan menguntungkan masa kehidupannya? Dan rugilah orang yang menyendiri yang menganggap kebenaran hanya untuk dirinya seorang.

Dan serta berpesan-pesan dengan Kesabaran. Tidak memadai hanya dengan pesan-memesan dengan nilai-nilai kebenaran semata-mata, kerana perjalanan hidup ini menempuh kesukaran dan halangan yang perlu dihadapi. Tanpa kesabaran, hidup akan rugi. Mereka yang berjaya melalui ujian ini ialah mereka yang mempunyai jiwa yang besar dan kuat, yang lemah akan rugi.

Kesimpulannya, untuk mengelakkan ancaman masa depan yang merugikan, untuk selamat dalam hidup maka hendaklah :

1. Beriman

2. Beramal soleh

3. Ingat-mengingati dengan kebenaran

4. Ingat-mengingati dengan kesabaran

Dapat juga disimpulkan, mencari keselamatan dan kebahagiaan dalam hidup bukan hanya untuk diri sendiri sahaja tetapi disuruh juga sampai-menyampai kepada orang lain. Menyeru manusia kepada agama, nasihat diatas kebenaran dan kesabaran, bersabar dalam perkara yang menimpa diri, membuat amar ma’aruf nahyi mungkar dan cinta mencintai saudaranya seperti apa yang dicintai untuk dirinya, merupa satu pakej yang tidak boleh dipisahkan.

Ibnu Qayyim menerangkan dalam kitabnya; “Kalau empat martabat telah tercapai oleh manusia, berhasillah tujuan hidupnya untuk mencapai kesempurnaan.

1. Mengetahui kebenaran.

2. Mengamal kebenaran.

3. Mengajar kepada orang.

4. Sabar dalam menyesuaikan diri dengan kebenaran, mengamalkannya dan mengajarkannya.

Kesempurnaan diperolehi menerusi kekuatan ilmu dan kekuatan amal yang dilakukan kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Untuk mendapat kekuatan ilmu pula ialah dengan beriman, untuk meneguhkan kekuatan amaliah pula ialah dengan membuat amal yang soleh. Dan juga untuk mencapai kesempurnaan, diajak dan diajar mereka untuk bersabar dalam berilmu dan dalam beramal.

Surah ini walaupun pendik, namun isinya mengumpulkan segala jenis kebajikan, menjadikan Kitab’bullah ini lengkap, menjadi pengubat bagi segala penyakit dan penunjuk bagi segala jalan kebenaran.” (Ibnu Qayyim).

May 27, 2010 - Posted by | Al-Quran

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: