Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

* RIBA


Masalah Makan Riba

Satu tajuk yang amat releven untuk dibincangkan dalam kehidupan kita. Saya akan membuat rujukan dalam beberapa kitab. Saya juga berharap sahabat2 lain juga sama2 membantu untuk memberi penjelasan dalam menghuraikan permaslahan yang kita hadapi dalam muamalat ini.

1. Asbabunnuzul: Surah Al-Baqarah (2: ayat 278,279)

(a). Ibnu Abbas meriwayatkan kedua ayat ini diturunkan berkenaan dengan Bani Umair bin Auf dan Bani Mughirah, dari Bakhzum. Mereka hendak membuat perjanjian dengan Amir Mekah dan memohon agar amalan riba di kalangan kedua kabilah diperbolehkan, sedangkan semenjak fathu Mekah segala amalan riba telah diharamkan. Amir Mekah meminta saranan kepada Nabi saw, lalu turunlah kedua ayat tersebut yang menegaskan ancaman jika melanggarnya.

(b). Ayat ini diturunkan kerana bapa saudara Nabi saw Abbas bin Abdul Mutalib, di zaman jahiliyahnya membuat satu perkongsian dengan seorang dari Bani al-Mughirah menjalankan usaha makan riba dengan meminjamkan wang.

2. Ayat tentang riba ini diturunkan paling akhir kepada Nabi saw. Dengan itu beliau tidak berkesempatan untuk menghuraikan lebih lanjut mengenai riba ini, beliau telah wafat. Riba yang beliau terangkan ialah Riba Nasi’ah dan kemudian Riba Fadhal. Menurut hadis Abdullah bin Mas’ud, riba itu amat banyak hingga sampai kepada 73 jenis riba. Hinggakan Umar bin Khattab ketika beliau menjadi Khalifah pernah berkata: “Sesungguhnya Al-Quran yang terakhir sekali turunnya ialah ayat riba. Dan Rasulullah saw telah wafat, padahal belum seluruhnya beliau terangkan kepada kita. Oleh itu tinggalkan mana yang menimbulkan keraguan di dalam hati kamu dan pilihlah apa-apa yang tidak menimbulkan keraguan”.

3. Dengan yang demikian kita dewasa ini menghadapi banyak masalah apabila bermuamalat dengan wang ringgit dalam berbagai urusan hidup kita, seperti dalam pinjaman membeli rumah dan kereta. Apabila kita mempunyai wang yang terlebih kita juga membuat pelaburan. Simpanan dalam Tabung Haji, jelas halalnya. ASB, ASN dan amanah saham yang lain-lain, pelaburan saham dalam Bank Rakyat bagaimana pula? Adakah mereka menternak wang riba, pelaburan sahamnya ke dalam Bank beroperasi konventional, menjadi satu daripada aktivitinya, yang menjadikan wang halal bercampur dengan wang haram? JAKIM melihat dan memantau halal dan haram dari segi pemakanan, tetapi siapa pula yang berkewajipan dan membuat pemantaun dalam hal saham-saham dan operasi bank dan pinjam meminjam. Adakah siapa di luar sana, pihak kerajaan yang mengambil kira ini semua, yang menjadikan tugas fardhu kifayah untuk melihat supaya masyarakat hidup dalam keberkatan, bertakwa dan makfir’rah.

4. Al-Baqarah: 275. Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Dalam ayat 275, dinyatakan orang-orang yang bermuamalah dengan riba akan dibangkitkan di akhirat nanti seperti orang yang mabuk kerasukan syaitan [1]. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah di sebabkan mereka berkata (berpendapat), “Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, kedua-duanya halal dan membuat harta bertambah”. Kemudian Allah menerangkan kebohongan mereka dan menjelaskan bahawa Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Kerana dalam jual beli ada manfaatnya kepada individu dan masyarakat sedangkan riba terdapat exploitasi dan kebinasaan.

Barang siapa yang telah mendapat peringatan dan larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan) menjadi miliknya; dan urusannya (terserah) kepada Allah. Barang siapa bertaubat, Allah tidak akan mengsia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik.

Namun orang-orang yang kembali (mengambil riba), setelah sampai kepadanya larangan daripada Allah, patut menerima hukuman. Dalam hal ini, Allah swt berfirman; “Maka mereka itu adalah penghuni-penghuni neraka. Mereka akan kekal di dalamnya”.

5. Firman Allah swt; “Maka mereka itu adalah penghuni-penghuni neraka. Mereka akan kekal di dalamnya”. Satu statement yang amat menakutkan, kekal dalam neraka, jika engkar dengan perintah ini, walaupun telah mengetahui dan dijelaskan, seperti juga undang-undang Allah swt yang lain; hudud, perundangan Islam, tutup aurat; sudah jelas tetapi tetap engkar. Jika tetap menolak ketetapan Allah mengenai riba, maka menjadi penghuni neraka dan kekal di dalamnya.

Mungkin kebanyakkan kita terlibat dengan riba, terutama pinjaman rumah dan kereta; apa yang boleh dilakukan sekarang hendaklah bertaubat dan memberhentikannya serta merta, kerana ancaman untuk kekal dalam neraka amat menakutkan.

Riba itu ada dua jenis yang baru diterangkan. (Menurut hadis Abdullah bin Mas’ud, riba itu amat banyak hingga sampai kepada 73 jenis riba): Nasiah dan Fadhl. Riba Nasiah ialah pembayaran lebih yang disyaratkan oleh orang yang meminjam. Riba Fadhl ialah penukaran suatu barang dengan barang yang sejenis, tetapi lebih banyak jumlahnya karana orang yang menukarkan mensyaratkan demikian, seperti penukaran emas dengan emas, padi dengan padi, dan sebagainya. Riba yang dimaksud dalam ayat 275 ini riba Nasiah yang berlipat ganda yang umum terjadi dalam masyarakat Arab zaman jahiliyah.

[1]. Maksudnya: orang yang mengambil riba tidak tenteram jiwanya seperti orang dirasuk syaitan.

Hadis Rasulullah saw; “Sesungguhnya yang halal telah jelas, yang haram juga telah jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang diragukan. Barang siapa yang menjaga dirinya dari perkara yang diragukan, maka selamatlah agama dan kehormatannya. Barang siapa yang terjerumus ke dalam syubahat, bererti terjerumus ke dalam perkara haram. Seperti penggembala yang menggembalakan ternakannya ke dalam daerah terlarang, sehingga ia nyaris melanggarnya”. [HR Bukhari dan Muslim]

Hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Abu Hurairah; “Akan datang satu masa di mana manusia banyak memakan riba”. “Apakah seluruh manusia?”, ditanya oleh Abu Hurairah. Rasulullah saw menjawab; “Orang yang tidak memakannya pun akan terkena debunya”.

Waalah wuallam.

Bersambung . . . . .

Rujukkan:

  1. Tafsir Al-Azhar – Prof Dr.Hamka
  2. Syaamil Al-Quran, the Miracle 15 in 1
  3. Ringkasan Tafsir Ibnu Katsir – Muhammad Nasib Ar-Rifa’i

Doc Azman

April 11, 2010 - Posted by | Al-Quran, Riba

Sorry, the comment form is closed at this time.

%d bloggers like this: