Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

* Amalan murah rezeki


20 Dis 2008 Masjid Binjai Kuliah oleh YB Ustaz Muhammad Mustafa

Minggu lepas kita belajar amalan besar dari segi kerohanian yang kita memohon kepada Allah supaya hidup kita ini jadi senang. Senang di dunia juga senang di akhirat. Manusia walau di mana sahaja mereka berada, mereka hendakkan hidup ini senang dan tidak mahu susah. Senang susah adalah milik Allah Taala, kerana Allah yang empunya hak dan Dia menentukannya melalui melalui sebab-musabab dan proses tertentu. Allah Taala bawa Islam untuk mengajar kita bagaimana hendak senang dan bagaimana hendak mengelakkan daripada kesusahan. Dengan itu kita boleh hidup senang dan menyenangkan orang lain dan kalau hidup susah, kita juga menyusahkan orang lain. Dunia ini tempat ujian dan hidup kita dalam peperiksaan sampai mati. Kita semacam duduk dalam dewan peperiksaan dan diminta jawapan dalam menyelesaikan masalah kehidupan kita. Bagi kitanya kena kabar (cakna) kita dalam peperiksaan dan kita diminta untuk lulus ujian ini, dalam semua bab-bab ujian Allah ini. Contohnya mesti lulus dalam bab hubungan dengan Allah, hubungan dengan Rasul, hubungan dengan manusia. Apabila kita lulus kita di panggil rodiaallah huan’hum, wa’ roduan. Allah Taala reda terhadap mereka itu dan mereka juga reda terhadap Allah. Keredaan Allah Taala ialah yang terbesar sekali. Jika mendapat keredaan Allah swt, maka ia memperolehi segala-galanya kerana Allah swt itu segala-galanya.

Apa saja ujian yang datang, yang menyusahkan atau yang menyenangkan, kita mesti lulus ujian tersebut, untuk mendapat keredaan-Nya.

Ott’la senapas, bersabarlah, kita hidup sekali seorang, ini sekali saja peluang yang ada. Umpamanya hari Sabtu ni datang sekali sahaja dalam umur kita dan dunia ni, jadi kalau amalan kita di hari Sabtu ini jadi molek, molek lah dia, kalau tidak maka sebaliknya. Jika hari Sabtu ini dipenuhi dengan amalan baik maka jadilah harta kita, yang akan membawa tuah dan kebahagian di akhirat nanti. Tetapi kalau disalah gunakan waktu-waktunya, dibazirkan atau dikhianati, dipenuhi dengan perkara yang tidak betul dan mungkar; maka hari Sabtu inilah yang akan menyusahkan kita sampai bila-bila.

Isu semasa masyarakat hari ini ialah susah dalam bab cari makan. Hidup ini bukan hanya pasal nak makan je. Kita kena cari lebih dari makan sebab kehidupan bukan sekadar nak makan sahaja. Kita kena cari ilmu, kita kena cari keredaan Allah, apa sahaja yang boleh menyelamatkan kita, menyenangkan kita di akhirat nanti. Dalam bab kehidupan cari makan ini kita kena berkira dengan Allah Taala, kerana Allah lah segala-galanya, semuanya di tangan-Nya. Kalau Allah luluskan permohonan kita, perkiraan dengan makhluk dibawah menjadi senang sebab telah ada kelulusan.

Rasulullah saw telah meninggalkan amalan-amalan murah rezeki dan menyenangkan hidup

Syarat-syarat untuk melayakkan dimurah rezeki.

  1. Beriman kepada Allah swt. Iman membawa kepada keamanan. Iman amat penting, kalau ada iman, akan amanlah dirinya, rumah-tangga dan keluarganya akan aman masyarakat akan amanlah negara. Disebaliknya kalau tidak ada iman, haru-hara, kacau-bilau semuanya, keluarga, masyarakat dan negara.

Iman ini ada tiga perkara & kena sama naik:

    1. Iman ini kena percaya dengan hati, meyakini dan membenar dengan hati.
    2. Mengaku dengan lidah.
    3. Mengikuti dengan amalan.

Kebiasaannya orang menterjemah hanya ‘percaya dengan hati’, ini tidak lengkap lagi. Itu hanya satu bahagian daripada iman. Kena buat ketiga sekali. Contohnya, manusia akan buat hanya perkara yang ia percaya, kalau dia tidak percaya dia tidak akan buat. Dia akan marah dan melawan benda yang dia tidak percaya. Percaya dengan apa yang diberitahu oleh Allah dan Rasul dinamakan iman. Bila seorang itu beriman, dia akan membuat tiga perkara diatas, iaitu membenar dengan hati, mengaku dengan lidah, mengikutinya dengan amalan.

Sebagai contoh, maksud hadith Nabi saw; “Sesiapa yang pergi ke masjid niatnya untuk mengaji atau mengajar, pahalanya sangat besar, dan pahala ini adalah harta (rohani) kita, maka pahalanya seperti orang yang mengerjakan haji dan sempurna hajinya”.

Maka apabila perkara ini diberitahu oleh Nabi saw, kita mesti yakin dan percaya, dan mengaku dengan lidah dan membenarkan dengan hati. Kalau berhenti setakat itu sahaja tidak diikuti dengan amalan, bermakna imannya masih tidak penuh lagi. Setelah kita yakin yang pahala pergi ke masjid mengaji atau mengajar itu besar bayaran pahalanya disisi Allah, maka dengan keyakinan itulah mengerakkan kita pergi mengaji. Inilah beriman yang betul, tidak dikira beriman jika orang mengatakan ‘dia tu walaupun tidak bertutup aurat, iman dia kuat tu.’ Ini tidak betul, ilmu salah. Jika seseorang itu beriman, iman itu akan bergerak terbit mengikuti mata, terbit mengikuti fikiran, terbit mengikuti mulut, terbit mengikuti lidah, kaki, pendengaran dan sebagainya. Macam sistem letrik yang mengerakkan kipas dan menyalakan lampu. Kita tidak boleh kata kipas tidak memusing tapi letrik ada. Mungkin kipas rosak atau switch tak buka, iman kena tiga selalu. Dengan berimannya kita kepada Allah Subhanahu wataala, insyaAllah Allah tidak akan mengsia-siakan kita. Dengan Allah Taala, kalau kita sudah percaya kepada-Nya, Dia akan jaga kita, Dia akan menguruskan kita. Itulah tuah keimanan. Rezeki bukan manusia yang pegang dan uruskan, bukan negara yang pegang, Allah yang mentadbirkannya. Sebab ada dikalangan masyarakat sebab hal rezekilah dia tak mari solat jemaah, tak boleh datang mengaji, tak boleh itu dan ini, sebab ‘tak dae sebab nak cari makan’. Dia tidak khabar mengajipun cari makan juga, makanan rohani. Kita haruslah yakin yang bab rezeki ini Allah yang menguruskannya, pandailah Allah mencari jalan sebab-musabab memberi kita rezeki, setelah Allah iktiraf keimanan kita.

  1. Takwa. Ia merupakan ibadat kepada Allah dan menghasilkan pahala besar. Kita cermat dalam hidup, mana yang Allah suruh kita buat, yang mana di larang, kita tinggalkan. Orang yang bertakwa, insyaAllah dipermudahkan hidupnya, cari makannya mudah, rezekinya murah. Banyak contoh manusia yang hidup bahagia kerana tuah takwanya itu. Ath Thalaaq 65:2. Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. 65:4. Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya. Segala masalah dalam hidupnya, Tuhan pandailah nak selesai, tidak kira masalah besar manapun. Ini kerana tuah takwa dalam dirinya.

  1. Istigfar. Ia juga membawa tuah kepada ekonomi, rezeki dan kehidupan kita. Ia ubat besar kepada penyakit diri. Rahmat Tuhan tak mari kerana tersumbat tak berlari dengan molek. Seperti saluran darah tersumbat dengan cholesterol (lemak) kerana pemakanan tak seimbang. Masa makan, sedap manis dan lemak terlajak sebab sedap, soalannya lepas makan, kena sakit jantung dan kencing manis. Hidup mesti sedap, bersuka-ria tapi lepas itu? Kalau penyakit rohani ni dipanggil dosa kerana maksiat. Dosa ini walaupun tidak nampak tetapi hakikatnya ia penyakit (rohani). Kalau orang berasa sakit dengan dosa mungkin orang tak buat dosa. Perkara yang salah sebetulnya satu kesakitan. Contohnya kalau salah makan, sakit perut hungga ke bilik air. Bayangkan kes salah makan saja, lembik-lotek. Setiap kesalahan seperti salah urat, salah cakap, sebagainya menyakitkan kita. Apatah lagi salah dengan Allah Taala membuat renggang hubungan dengan Allah, Rahmatpun kurang, rezekipun kurang, semuanya kurang, sumbat hubungan rohani dengan Allah, tersumbat macam perjalanan darah. Jalan penyelesaiannya ialah dengan istigfar. Nabi saw sendiri membaca 100 kali sehari, kita seharusnya lebih lagi kerana banyak dosa. Insyaallah dengan beristigfar boleh membuang penyakit rohani yang menyakiti kita, dipanggil dosa dan maksiat. Dengan tiadanya halangan ini insyaAllah dimurahkan rezeki.
  2. Al-tafarruk bil ibadah. Amalan rohani yang ke-empat ini ialah beribadat kepada Allah sepenuh masa. Sentiasa beribadat kepada Allah sepenuh masa yang menjadi matlamat hidup sebenar. Hadith kursi, Firman Allah; “Wahai anak adam, buatlah sepenuh masa beribadat kepada Ku, Aku akan penuh dada mu dengan kekayaan, dan Aku penuhi keperluan mu”. Maksudnya Allah Taala akan tutup kemiskinan dan penuhi keperluannya. “Kalau kamu tidak beribadat sepenuh masa nescaya aku akan penuh diri mu itu dengan kesibukan.” Sibuk dengan keduniaan, hungga sana-sini, tetapi tidak mendatangkan hasil, masih miskin juga. Ibadatnya, jemaahnya, mengajinya dan hubungannya dengan Allah ditinggalkan, sibuk dengan makhluk Allah untuk cari makan. “Kalau kamu tidak beribadat dengan Aku sepenuh masa, Aku tidak akan peduli keperluan mu”. Akhirnya mereka akan duduk dalam keadaan sesak, susah dan tidak cukup seomor. Kita dapat perhatikan dalam masyarakat kita, orang yang jauh dengan Tuhan, jauh dengan ilmu, jauh dengan masjid, jauh dengan Islam, sentiasa tidak cukup seomor walaupun berjuta hartanya. Orang sebegini menerima hukuman daripada Allah kerana sombong dengan Allah Taala.

Satu lagi Hadith kursi, Sabda Nabi saw, Tuhan Rabb (Rabb- memelihara; kita amat sayang dan percaya orang yang memelihara kita seperti ibu-bapa kita, sudah semestinya yang memelihara kita sejak zaman roh, bayi dan dewasa, sekarang dan akhirat nanti ialah Allah, dan Allah-lah yang paling kita sayangi, paling dikasihi dan percaya) yang memelihara kamu telah berfirman; “Wahai anak adam, beribadatlah kepada Ku sepenuh masa, Aku akan isi penuh hati mu dengan kekayaan rohani, dan Aku penuh tangan mu, kehidupan mu dengan rezeki.” Allah Taala yang membuat kenyataan ini, ‘orang besar sekali’, Tuan yang membuat rezeki, Dia yang ada authoriti untuk memberi rezeki kepada manusia ini. Sambung-Nya; “Wahai anak adam jangan kamu menjauhi diri daripada-Ku, kalau kau menjauhi diri daripada Aku, nanti Aku akan penuhi hatimu dengan kemiskinan, kefakiran (tak merasa cukup) dan Aku akan penuhkan kehidupan mu dengan kesibukan.”

Kesimpulannya kita buat kerja ibadat ini ada hubung-kait dengan rezeki dan ekonomi. Islam ini tidak boleh dipisahkan dengan dunia. Tidak bermakna jika kita rapat dengan Allah kita tinggal dunia, tinggal kemajuan.

Cara mana nak buat sepenuh masa beribadat kepada Allah ? supaya termasuk dalam golongan ‘mutafar’righun’ – orang yang beribadat sepenuh masa, setiap saat, setiap minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun, sentiasa beribadat kepada Allah, tidak putus.

Bagaimana untuk menjadikan seluruh hidup kita menjadi ibadat (diulang lagi kerana manusia ini pelupa)

  1. Beriman kepada Allah swt. Dengan beriman terus menerus, tidak berhenti, bermakna kita beribadat sepenuh masa untuk menghasilkan janji Allah dalam bab kehidupan dan rezeki ini. Rasulullah bersabda; “Dalam banyak-banyak amalan kerja hati ialah beriman dengan Allah swt yang besar sekali”. Bila seorang itu beriman, dia akan membuat tiga perkara iaitu membenar dengan hati, mengaku dengan lidah, mengikutinya dengan amalan.

  1. Jaga syariat. Jaga syariat ini dipanggil juga takwa. Bermula daripada hati kita, fikiran kita, perbuatan, kaki-tangan kita, hubungan kita dengan manusia, perkerjaan harian, perasaan, penglihatan pastikan ianya; harus, sunat dan wajib. Makruh dan haram ditinggalkan. Dalam urusan kita seharian seperti makan-minum, tidur, bercakap, mendengar, melihat pastikan ia halal, tidak haram. Kalau hendak dijadikan Ibadat, sekurang-kurangnya perkara itu harus dilakukan, contohnya dalam perbualan, apa yang dikatakan adalah harus, tidak haram. Paling baik wajib. Tidak bermakna ibadat itu kena duduk di masjid. Bermula bangun tidur dan tidur kembali kita sentiasa berjaga dan beringat tidak melangar perintah Allah swt; ini yang dipanggil takwa.
  2. Niat. Membuat perancangan, bercita-cita nak buat perkara baik, berazam nak beribadat pada Allah sepenuh masa. Kalau bulan puasa, niat nak puasa sebulan. Untuk kehidupan, kita berniat nak beribadat seumur hayat dan sepenuh masa. Kita catitlah molek-molek dalam buku, berazam betul-betul apa yang kita nak buat seluruh hayat ini. Contohnya hari ini selepas bangun tidur hingga tidur semula, berapa perkara yang kita niat untuk dibuat, kita tulis memolek dalam buku harian kita. Kita kena ada buku catitan, (buku yang mudah dibawa kemana saja, ditulis bermacam catitan hidup kita, peringatan, jumlah zikir dan catitan ilmu ketika mengaji – penyunting), untuk dibuat catitan niat/ rancangan kita nak dibuat, umpamanya subuh jemaah dah, sunat subuh, solat sunat dhuha, tahajud, witr, zikir, kulhuawalah, baca Quran dan sebagainya sampailah tidur. Buat catitan hari ini nak buat apa, minggu ini apa pula, bulan ini, tahun ini nak buat apa pula. Lepas itu kita amalkanlah. Jangan dibiarkan umur kita ini tiris kot sae, tanpa merancang. Bagi orang Islam hari ini mesti lebih baik dari hari kemarin, minggu ini mesti lebih baik dari minggu lepas, bulan ini mesti lebih baik dari bulan lepas, ada peningkatan. Ini semua kena ada perancangan. Kalau kita gagal merancang, bermakna kita merancang untuk gagal. Kalau kita gagal dalam hidup ini kerana kita rancang untuk gagal. Perkayakanlah diri dengan niat. Tok Guru ustaz Muhammad berpesan, kalau kamu nak beribadat sepenuh masa, perbanyakkan niat dalam hidup kamu. Niat untuk buat kebaikan itu dan ini, ditulis supaya tidak terlupa. Kena niat dahulu sebelum membuat pekerjaan, seperti Rasulullah saw seorang yang banyak berniat untuk membuat kebaikan. Hadith Nabi saw; “Apabila seseorang memasang niat, tiba-tiba dia tidak kesempatan untuk membuatnya, Tuhan swt masih membayar penuh perkara yang diniatkan itu”. Seperti seorang yang hendak solat berjemaah, tiba-tiba di masjid orang habis beri salam, mungkin imam baca surah pendik (biasanya subuh dibaca surah panjang). Amalan orang mukmin, kena bangun awal sebelum subuh lagi. Said bin al-musaid berkata, aku semenjak beriman dengan Rasulullah aku berada dalam masjid sebelum waktu azan, sudah 30 tahun begitu. (Hadith menunggu sembahyang: “Sesiapa yang menunggu sembahyang seperti ia sudah sembahyang ….. ). Niat memolek kerana Tuhan akan tolong kita diatas niat kita yang molek itu. Yakinlah! Allah akan tolong; umpamanya sebelum tidur berdoa dan berniat; “Ya Allah bangunkan aku di waktu saat mustajab berdoa”.Ya Allah janganlah berikan hamba ini membazirkan masa umurnya, tidak ada masa lagi untuk hamba ini, tolonglah hamba untuk beribadat sebaik mungkin dengan umur yang ada”. Bertapa besarnya niat dalam Islam dan kesannya kepada kita. Hendak buat apapun kerana Allah swt. Semua berpusat kepada Allah swt. Maka berniatlah kita untuk setiap masa apa yang kita hendak buat hari ni, minggu ini, bulan ini dan tahun ini, dan 10-20 tahun akan datang; di rancang dan catit dalam buka catitan harian.
  3. Ikhlas. Segala perbuatan hendaklah ikhlas kerana Allah, tidak terikat dengan sesiapa. Jangan syirik dengan mempunyai dua niat, contoh satu kerana Allah dan lagi satu kerana manusia. Orang yang keramat diatas dunia ialah orang yang paling ikhlas. Dibuat kerana Allah swt, bukan sebab dunia, atau keranamu Malaysia, Allah swt tidak tahu hendak letak dimana. Puak nationalis menghidapi penyakit akidah. Mereka tidak sedari pegangan mereka bercanggah dengan akidah Islam. Bertafakur di tugu negara juga haram, difatwakan oleh Majlis Fatwa. Kita kena KERANA MU YA ALLAH, lepas itu negara, anak, lain-lain. Meninggalkan yang buruk pun ikhlas kerana Allah Taala.
  4. Ikut tertib. Mana-mana hak Allah SWT di utamakan, kerja untuk Allah SWT didahulukan. Hak Ketuanan Allah, Ketuhanan Allah, hak Kerajaan Allah, hak hak Kehakiman Allah, hukum-hukum, undang-undang dan peraturan Allah perlu di utamakan. Sekarang ini ada pihak yang tak ambil beratpun hak Allah swt, tak tahupun Allah ada hak. Kalau sampai waktu sembahyang, kena sembahyang dahulu, jangan dibuat kerja lain, seperti makan dahulu. Kedua yang berhak keatas kita ialah, hak Nabi saw. Ketiga, hak ibu, keempat, hak ayah dan seterusnya yang lain. Orang ziarah rumah, ketika kita solat dhuha, tetapi kita terus juga solat, lama tetamu menunggu. Dari segi tertib tak kena (faekul al-la’wi’yat) , solat itu sunat, menghormati tamu itu wajib, hak-hak tetamu. Sama juga dengan berhutang, lapuk tak lapuknya, tiba-tiba buat umrah yang sunat, bayar hutang yang wajib, tidak dibayar. Ketika sedang berhibur, azan berkumandang, ‘Allah huakbar, Allah huakbar’ Allah besar sekali, Allah mustahak sekali, hak penting sekali, hak nak tumpang, maka ditinggalkanlah hiburan itu dan buatlah suruhan Allah itu lebih awal. Berhibur jangan melampau, kerana ianya menghabiskan masa, umur kita yang sedikit ini mahal harganya. Kita biasa terasa membazir jika paip air mengalir, kipas atau lampu terus dipasang, walaupun tiada siap menggunakannya. Cuba kita lihat pula seseorang yang ambil jam dia, di buangkannya, atau gelang emas dia, dibuangnya, wang dia buang. Kita kata orang ini ‘kurang sihat’ (gila). Mengapa kita kata dia gila, kerana dia membuang benda yang mahal dalam hidupnya. Bandingkan pula dengan masa kita, umur kita; mana lebih mahal? Umur dan masa yang habis tidak boleh diganti, emas dan harta boleh lagi dicari. Orang yang membuang masa, membazir umur dia, bermakna dia telah membuang satu perkara yang amat mahal dalam hidupnya.

Masalah main haji: Main haji dan hiburan lain itu pada dasarnya boleh, tetapi jangan ia menjadi alat kepada kuasa iblis. Mainan ini memperalatkan kita supaya kita lalai. Cuba kita kaji permainan haji ini dari segi pengajaran dan tabiatnya yang tidak baik. Kalau tabiat tidak baik ini diikuti masuk dalam panduan hidup kita, sungguh malang kita. Tabiatnya: (i). setiap-tiap buah haji hanya sibuk nak makan saja. (ii) setiap-tiap buah haji hanya sibuk nak naik haji, hajinya pula bukanlah ikhlas sangat. Naik haji kerana hendak dapat kuasa, sebelum haji dia boleh makan depan saja. Setelah haji dia boleh makan belakang depan. (iii). Dia sanggup bunuh saeng dia (sahabat) kerana kes hendak dapat kuasa. Dia hulur saeng dia supaya musuh makan dengan tujuan dia dapat makan lebih dan dapat laluan untuk cepat naik haji. Inilah antara tabiat-tabiat tidak baik yang perlu dielakkan dalam hidup kita, disamping masa yang dibazirkan diatas umur kita yang sedikit ini. Alangkah baiknya masa kita digunakan dengan berzikir kepada Allah swt. Hadith Nabi saw maksudnya: “Apabila kamu hendak sembahyang anggapkanlah ianya buat terakhir buat mu”. Umpamanya hari ini, anggaplah hari ini hari terakhir dalam hidup kita, esoknya nak mati dah. Maka hari ini kita perbuatlah sebanyak mungkin ibadah dan berzikir dengan Allah swt, sebab hari ini kita ada.

  1. Buat yang Allah SWT suruh dan tinggalkan yang dilarang. Sebagai panduan, buat yang disuruh, tinggalkan perkara yang berlawanan dengannya. Contohnya dirikan sembahyang dilarang tinggalkan sembahyang.
  2. Jaga diri dari perkara yang membatalkan ibadat. Syirik dengan Allah menghancurkan amalan kebaikan seseorang juga berdosa besar. Perkara utama ialah batal iman, batal Islam maka batallah amalan ibadat yang dibuat. Ibadah seperti sedekah atau kebaikan yang telah dibuat akan batal dengan riak – ingin pujian orang, ujub, sama’ah, kecek dengan orang. Tolong orang, jangan dibatal dengan mengungkit sedekah atau perbuatan yang dibuat, atau ungkit walhal kita sudah boleh pahala. Dengan hasad dengki juga membatalkan amalan kebaikan seperti api yang membakar kayu yang kering.
  3. Buat Amalan Berganda. Contoh 1. Hadith Nabi saw: “Siapa dia solat isyak berjemaah, selain pahala jemaah 27x ganda, Tuhan bayar lagi seperti beribadat separuh malam. Siapa dia solat subuh berjemaah, selain pahala jemaah 27x ganda, Tuhan bayar lagi seperti beribadat sepenuh malam.” 2. Baca Al-Quran; satu huruf yang dibaca dibayar 10x ganda kebajikan. ‘Kulhu’wallah” dibayar seperti membaca Quran 10 juzuk. Sama juga jika kita tolong anak yatim, ibu tunggal, pahalanya sama dengan orang yang pergi berjihad dijalan Allah dan dianya berpuasa diwaktu siang dan beribadat sepenuh malam. Bayangkan amalan ini boleh menghasilkan berapa banyaknya pendapatan harta pahala kita. Kita tolong orang sakit, susah dan ziarah orang sakit, hadith Nabi; “Perjalanan kamu membantu saudaranya, lebih baik dari ia beriktikaf di masjid ku ini selama sebulan”. Banyak lagi amalan berganda ini, kita cuba ikhtiarkan agar boleh dibuat, kita akan buat senarai amalan berganda, daripada Quran dan hadith. Ini tawaran Allah Taala kepada kita yang mesti diterima. Ini adalah tawaran dari Allah. Kalau kita tolak tawaran, rugilah kita.

Syariat Ini Kulit, Hakikat Itu Isi ?

Ada orang yang berkata syariat-syariat ini kulit, hakikat itu isinya. Mereka nak isinya sahaja, kulit tak sae. Ini merupakan satu penyakit Melayu yang senang ditipu. Ada yang mengajar hanya ilmu hakikat, syariatnya tidak diindahkan sebab pada mereka syariat hanya kulit, bermakna halal-haramnya tidak diambil penting, dijaga, tidak ambil kisah, bercampur-gaul, meratib sekali lelaki perempuan dalam gelap. Adakah ini yang dimaksudkan dengan hakikat? Kepada mereka yang toho, jahil, sohor le ni. Istilah hakikat itu gapo, menyehor sangat? Jangan tertipu. Apa yang dimaksudkan dengan hakikat? Allah menamakan diri-Nya Al-Hak. Allah-lah yang benar, tidak pernah bohong, tipu dan tidak ada palsu bagi Allah. Dari Al-Hak inilah keluarnya perkataan hakikat. Hak sebenar itu ialah daripada Allah swt. Kalau apa yang dibawa itu bercanggah dengan syariat apa yang diajar oleh Allah dan Rasul saw, itu tidak dinamakan hakikat, itu palsu, penipu, khianat, penyelewengan dan sesat namanya. Mengapa dinamakannya dengan hakikat? Hakikat ini adalah perkara yang sebenar. Syariat adalah hakikat, iman hakikat, sembahyang adalah hakikat, semua yang datang daripada Allah itu adalah hakikat. Mengapa pula pandai-pandai dok bahagikan kepada isi dan kulitnya, semuanya hakikat, benda yang benar. Hambo nak royak hakikat sebenar, jadi kalau tolak syariat, tidak sebenar lagi, sudah menyeleweng.

Ambil contoh hujah akal pula; nak makan durian nak isi saja, tak mahu kulit. Durian itu boleh hadir tanpa kulit ke? Punah isi durian. Kelapa tanpa kulit, boleh berdiri dengan sendiri ke isinya? Syariat itu adalah juga hakikat, Al-Hak, yang datangnya daripada Allah swt. Mengapa nak pecah belah Islam? Timbullah solat padan dengan niat saja. Ini perkara mungkar yang mengeluarkan manusia daripada Islam dan menggekalkan manusia dalam neraka. Jenayah akidah adalah lebih bahaya dari jenayah biasa. Beritahu pihak berkuasa, jangan jadi syaitan bisu dan bersengkokol dengan jenayah akidah itu. Jangan mudah tertipu, mengaji molek. Syariat ini dijaga dengan molek, sesiapa menolak walaupun sedikit daripada syariat, maka terkeluarlah ia daripada Islam, walaupun 99.9% di terima.

Solat Jemaah

Sembahyang jemaah adalah fardhu, yang ada khilaf diantara mazhab Syafie dan mazhab lain. Mazhab Syafie kata ianya fardhu kifayah, mazhab lain kata fardhu ain. Walau bagaimanapun kita kena lihat sebagaimana Nabi buat; “Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu tengok aku sembahyang.” Nabi saw kalau sembahyang fardhu tidak pernah tidak berjemaah. Setiap kerja diatas kita, kita jadualkan lebih awal yang kita nak berjemaah, kita buat persediaan awal. Dalam kes terpencil, orang makan makanan yang sedia terhidang, lalu tak berjemaah. Sepatutnya makan dulu lepas itu berjemaah lah. Kita kena insaf yang solat jemaah dan pahala ini harta kita, selagi mana kita tidak berasa ianya harta kita selama itulah kita tidak ambik berat. Setengah orang dia nak faham, setengah tak nak faham. Kalau ia nak faham, Allah akan buka supaya ia faham.

January 2, 2009 - Posted by | Amalan, harta rohani, Ilmu, pahala

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: