Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

Jadilah jutawan dalam bab membaca Al-Quran


Kepentingan Ilmu

Menurut Abu Umamah ra bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : Maksudnya: “Siapa berpagi-pagi (atau berpetang-petang keluar) ke masjid, tiadalah dia bertujuan melainkan untuk mempelajari kebaikan (perkara Agama) atau mengajarkannya, maka dia akan memperoleh pahala haji yang sempurna hajinya.” (H.R. At-Tabaraani, Al-Hakim dan Al-Maqdisiy : Shahih menurut syarat Imam Muslim).

Nabi saw. Bersabda: “Barangsiapa pada waktu pagi dan pada waktu petang mengucapkan: (Kami Reda Allah sebagai Rabb kami, Islam sebagai agama kami, dan Muhammad saw. sebagai Rasul kami). Maka wajiblah bagi Allah swt untuk meredainya.” (Hr. Abu Dawud)

*Sesiapa yang membacanya dengan mulut dan hati, wajib masuk syurga. Jika mendapat keredaan Allah SWT, maka ia memperolehi segala-galanya kerana Allah SWT itu segala-galanya

Kuliah YB Ustaz Muhammad Mustafa dimulakan dengan membaca 3x ayat diatas. Minggu lepas diperjelaskan bacaan-bacaan yang besar yang mempunyai kesan dalam pembangunan diri kita. Kita membacanya bukan sekadar untuk mendapat pahala sahaja, ini Allah swt telah jamin, tetapi lebih daripada itu, ialah untuk mendidik jiwa dan roh yang memberi kesan dalam membangunkan diri kita, supaya menjadi sebagai hamba Allah swt. yang sempurna.

Bacaan yang mudah tetapi paling besar, paling utama, keramat dan agong ialah Kalam’mullah; Al-Quran. Kita kena bincang bagaimana kita dapat melaksanakan satu program di masjid ini. Ini peluang besar dan satu tuah Allah swt nak beri kepada kita, jangan ditolak tuah yang Allah swt hendak beri kepada kita. Oleh itu ambil beratlah dengan Al-Quran, amalan yang paling besar dan agong sekali. Amalan ini akan menjadi harta kita. Al-Quran ini lebih kaya dari lombong emas tetapi perlu diusahakan membacanya.

Pernah (dalam satu kitab), Ahmad Hambal mimpi berjumpa Allah swt Taala sendiri, ia bertanya Allah swt apakah amalan yang Allah swt suka sekali untuk mencapai keredaan-Nya. Jawab-Nya, dengan membaca kalam-Ku (Al-Quran). Tanyanya lagi, bacaan tu dengan faham atau tidak, jawab-Nya dengan faham atau tak faham pun Aku suka.

Tak faham pun dibayar 1 huruf dengan 10x kebaikan. Alif lam min itu bukan satu huruf, tetapi tiga, maka 30 kebajikan. Kalau baca dengan faham dapat pahala lebih tinggi dari 10 kebajikan. Bayangkan mereka yang sekali khatam, berapa banyak pahala yang boleh, jutawaan mereka. Pahala upah 700 kali ganda ialah orang yang berbelanja fisabilillah (untuk orang miskin, anak yatim, perjuangan Islam, orang susah) berbelanja satu ringgit samalah 700 ringgit. Benda inilah yang dinamakan harta kita, dari perbelanjaan yang tidak rugi dan mempunya nilai di akhirat nanti.

Ada pula bayaran yang tiada siapa yang tahu balasannya, tinggi sekali nilainya, Allah swt sahaja yang memberikan-Nya; amalan ini terlibat dengan puasa; puasa fardhu dan sunat, lebih tinggi dari memberi sedekah. Benda besar ini perlu dirasa besar dalam diri kita, kalau perkara kecil yang dirasa besar bermakna tanda kemusnahan dalam sistem nilai, jiwa sudah mati rasa, namanya. Al-Quran ini satu perkara yang besar tetapi tidak bermakna dan kita rasa kecil sahaja.

Dalam keadaan tertentu (eg.mata tak nampak) Allah swt memberi kemudahan kepada kita untuk mendapat pahala yang banyak dengan hanya membaca surah-surah kecil. Seperti membaca Surah Zalzalah sama nilai separuh Al-Quran. Surah Al-Kaafirun ¼ Al-Quran. Surah An-Nasr ¼ Al-Quran juga. Baca Surah Al-Ikhlash 1/3 Al-Quran. Ini boleh dibaca semasa berjalan, waktu memasak, membawa kereta, menyangkul dan waktu-waktu rihat. Yang mustahaknya untuk didaftarkan amalan itu oleh malaikat sebelah kanan kita (pendaftar resmi kerajaan Allah swt-Kiroman Katimin), bacaan kita itu untuk jadi hak milik dan harta kita yang abadi.

Harta ini dijaga oleh Allah swt dan ia berkembang bagaikan pelaburan yang berkembang besar mendapat dividen dari tahun ketahun (ada hadithnya). Apa yang kita baca hari ini tidak sama dengan yang dibaca 10 tahun duhulu. Juga untuk diperkembangkan lebih luas harta kita ini, kita boleh hadiahkan bacaan itu kepada ibubapa kita, saudara mara kita, hadiahkan kepada muslimin dan muslimat yang hidup dan yang mati. Allah swt bayar pula keatas hadiah itu, Allah swt beri ganjaran tak habis-habis diatas amalan kita. Lumayan ganjaran yang diterima dengan tidak kurang sedikitpun bahagian kita. Jangan kedekut dalam bab pahala. Pahala ini macam pelita, api tak mati tapi terus menerangi orang lain.

Jadilah jutawan dalam bab membaca Al-Quran.

Kalau susah sangat nak baca Al-Quran 30 juzuk, bacalah Kulhuwal’lah, seperti pengamal yang cukup setia, Tok Kenali dengan bacaan Kulhuwal’lah … dimana saja ruang yang ada padanya, dia berbuat demikian disebabkan dia memahami pahala yang besar nilai disebaliknya.

Ustaz Muhamad Mustafa ingin melancarkan projek baca ‘Kulhuwallah..’ (Surah Al-Ikhlash) hingga tercapai sejuta kali. Jadilah jutawan seperti projek tanam pisang menjadi jutawan. Dengan itu hendaklah dicatit dalam buku ‘pendapatan’, kalau sampai sejuta beritahu ustaz Muhamad, nanti diberinya hadiah.

Cerita dari kitab: Seorang anak bermimpi ibubapanya dalam keadaan cemas, diazab dalam alam barzah, anak ini sedih. Lalu ia berdoa memohon kepada Allah swt agar apa-apa ibadah yang sudah dibuatnya, dihadiahkan kepada ibubapa untuk menyelamatkan mereka. Kemudian ia bermimpi pula bahawa ibubapanya telah terselamat dari azab itu.

Orang kita tak bersungguh dalam banyak hal, kalau bersungguhpun tak lama; umpamanya dalam bulan puasa banyak membaca Al-Quran, lepas itu tinggal habis. Teruskan secara besar-besaran seperti nak cari harta. Al-Quran ada depan kita, hanya perlu pengurusan sedikit sahaja, dijadualkan pembacaannya.

Ustaz Muhamad bertanya; berapa kali kita semua khatam Al-Quran? Imam Abu Hanifah, dalam hayatnya khatam sebanyak seribu kali. Bermakna orang dahulu ada rekod, itu sebab mereka boleh nyatakan. Orang kita tiada rekod, rasa nak buat, buat, rasa tak nak, lepas begitu sahaja. Dengan tiadanya rekod, semangatpun kurang. Perlulah ada rekod ‘perniagaan’ kita dengan Allah Taala, pendapatan untung-rugi kita dengan Allah Taala. Umpamanya pendapatan kita hari ini berapa? Kita akan dapat menilai sebab apa kurang pendapatan kita hari ini jika kita ada rekod. Tanda berapa kita baca hari ini, kulhuwaallah hari ini berapa.

Firman Allah swt; “Hendakkah Aku tunjukkan satu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang teruk?”

Kalau berkehendak banyak lagi pendapatan, jadilah guru Al-Quran, ajarlah Al-Quran. Hadith: ”Orang yang terbaik dikalangan kamu ialah orang yang membaca Al-Quran dan yang mengajar Al-Quran”. Kita kalau hendak buat kelas Al-Quran, kita kena cari anak murid jangan tunggu anak murid cari kita. Sebab kita nak jadi orang terbaik dalam Islam. Nak jadi orang terbaik kena mengaji dan mengajar Al-Quran.

Cita-cita Ustaz Muhamad Mustafa untuk membuat kelas Perguruan Al-Quran, melatih guru-guru Al-Quran berbagai peringkat.

Kita semua boleh mengajar Al-Quran bermula dengan peringkat rendah seperti dengan mengajar alif …. ba… ta, ada titik, tak ada titik … walaupun basik, tapi dengan itu membolehkan murid khatam Al-Quran, dan membacanya ketika solat. Royaltinya tinggi kepada pengajar kerana anak muridnya khatam Al-Quran dan terus membaca Al-Quran.

Kesimpulannya untuk kita banyak membaca Al-Quran, hendaklah

1. Kita mengaji dan kita mengajar.

2. Kita membuat hafalan, dengan itu kita terpaksa banyak membaca dan mengulang.

3. Dibuat jadual untuk pastikan membaca e.g. hari ini baca surah ini, malam ini baca surah ini, lepas solat baca surah ini, bangun tahajud baca surah ini dsbgnya.

Hadith: “Umatku yang ‘ashraf ummati’, yang mulia sekali, kelas pertama ada dua golongon.

1. Pendokong Al-Quran, ‘hammalatul Quran’ (belajar, mengajar, hidup dengan Al-Quran, berjuang dengan Al-Quran sampai mati).

2. Orang yang beribadat di waktu malam. Yang ini kita berasa berat, kerana belum merasanya ia barang berharga. Umpamanya seorang jaga atau kontrak yang berkerja malam, sanggup berkerja malam kerana berzikir akhir bulan ada fulus. Kita kena tanamkan semangat yang amalan ini adalah harta kita yang berharga, tidak ada nilainya.

Perintah ‘ikrak’ (bacalah): Mereka ini adalah golongan pendokong Al-Quran, ‘hammalatul Quran’.

  1. Bacalah Al-Quran, kalau tak boleh baca, belajar lagi dan baca lagi.
  2. Bacalah Al-Quran sehinggalah betul. Selagi tak betul, baca lagi hingga sampai betul.
  3. Bacalah Al-Quran sehinggalah boleh difahami. Selagi tak boleh difahami, baca lagi.
  4. Bacalah Al-Quran sehinggalah boleh diamal. Selagi tak boleh diamal, baca lagi.
  5. bacalah Al-Quran sehinggalah boleh dihafal. Selagi tak boleh dihafal, baca lagi.
  6. Bacalah Al-Quran sehinggalah boleh ajar orang lain. Selagi tak boleh mengajar, baca lagi, belajar lagi.
  7. Bacalah Al-Quran sehinggalah dapat di masyarakatkan. Supaya masyarakat kita dapat membaca Al-Quran, difahami, diamalkan dan seterusnya. Selagi tak boleh di masyarakatkan, baca lagi.
  8. Bacalah Al-Quran sehinggalah dapat di daulatkan dan dipraktikkan dalam sebuah negara.

Hadith dalam kitab fikh’ sunnah diriwayatkan oleh Anas, Rasulullah saw bersabda, “Siapa yang solat di masjidil Al-Aqsar dua rakaat, pahala yang dibayar sama seperti 500 rokaat solat di masjid lain. Siapa yang solat di masjid ku (Medinah) ini sama seperti 1000 rokaat solat di masjid lain. Siapa yang solat di masjid Mekah sama seperti seratus ribu rakaat solat dimasjid lain. Siapa yang solat di medan perang dua rokaat, sama seperti sejuta rakaat solat di luar kawasan. Tetapi dua rokaat di akhir malam lebih besar dari semua itu”.

Bangunlah diwaktu sahur, solatlah walaupun dua rokaat.

Cerita-cerita awliak’illah dan solehin. Orang soleh zaman dulu dia solat fardhu subuh dengan wuduk solat isyak, ashabul’lail. Mereka boleh melakukannya kerana memahami betapa besarnya malam itu, merasa kelazatan dalam melakukannya. Walaupun mereka beribadat malam, mereka buat juga tugas lain. Mereka ahli ibadat diwaktu malam, pejuang diwaktu siang, ekonomi, politik dan kerja-kerja lain. Ustaz Muhamad berkata, kita manusia biasa inipun boleh melakukannya dan merasa kelazatan beribadat diakhir malam. Sama-samalah kita cuba, insyaAllah Allah swt memberi kekuatan kepada kita semua.

Dalam satu hadith, apabila Allah swt hendak menghisab manusia di padang masher nanti, Allah swt berfirman; “Siapakah dikalangan ramai ini yang renggang belakangnya dari tempat tidur (ahli malam), disuruh bangun (hanya sedikit sahaja jumlahnya) lalu Allah swt mempersilakan mereka masuk syurga tanpa hisab”. Allah! Alangkah seronoknya mereka.

Untuk mendapat ganjaran pahala berganda diatas, disarankan kita semua membuat projek-projek kebajikan ini secara jemaah.

Bersamalah kita membantu Badan Kebajikan dalam menjayakan projek amalnya. Diantara projek ialah seperti bantuan rumah orang miskin. Ini bahagian kita, sejarah kita, pahala untuk kita. Kalau ada pihak lain buat, itu bahagian dia. Kita boleh menderma dengan wang atau dengan bahan mentah, simen, kayu, atap dan besi. Daftarkan harta kita dengan pendaftar Allah swt dan janganlah merasa rugi dengan apa yang didermakan kejalan Allah swt..

Ada tiga jenis harta seseorang:

  1. harta benda.
  2. harta intelek- ilmu dan kepandaian.
  3. harta rohani- pahala dan kebajikan.

Carilah tiga jenis harta ini supaya kita kaya dan senang, bersabarlah dalam melakukannya. Lepas kita mati nanti senanglah kita.

Sesiapa yang senang dalam kubur, lepas dari kubur lebih senang lagi. Selain untuk mendapat pahala yang besar dengan membaca Al-Quran, usahakan kebajikan membantu orang miskin, anak yatim, armalah setakat yang kita mampu.

Iklan:

Badan Kebajikan Kenali (1458-08-KEL) baru ditubuhkan untuk menangani masalah kebajikan. Sesiapa yang berminat untuk memberikan sumbangan boleh bertemu dengan jawatankuasa:

Yang Dipertua – Tuan Haji Mustapha Dato Muhammad. Tel: 019-9592526

Naib Yang Dipertua – Dr.Haji Nurul Azman Ahmad Alias. Tel: 012-9831045

Setiausaha – Tuan Haji Abdul Hamid Yusoff. Tel: 019-9102096

Penolong Setiausaha – Tuan Haji Abdul Halim Hassan. Tel: 013-9805543

Bendahari – Tuan Haji Talib Ahmad. Tel: 012-9214445

Hadith Rasulullah saw, “Orang yang membantu menolong ibu tunggal (armalah) dan orang-orang miskin, pahala yang Allah swt berikan seperti pejuang Islam yang pergi ke medan perang dan juga seperti dia bersolat sepenuh malam dan puasa sepenuh hari”. *****

December 18, 2008 - Posted by | Amalan, Ilmu, Mengaji, pahala

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: