Doc Azman51's Weblog

Lifelong Education

Kepentingan Ilmu


Petikan oleh penyunting dari kuliah oleh YB Ustaz Muhammad Mustafa disetiap pagi Sabtu di masjid Binjai Kota Bharu.

Kepentingan Ilmu

Menurut Abu Umamah ra bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : Maksudnya: “Siapa berpagi-pagi (atau berpetang-petang keluar) ke masjid, tiadalah dia bertujuan melainkan untuk mempelajari kebaikan (perkara Agama) atau mengajarkannya, maka dia akan memperoleh pahala haji yang sempurna hajinya.”

(H.R. At-Tabaraani, Al-Hakim dan Al-Maqdisiy : Shahih menurut syarat Imam Muslim).

Nabi saw bersabda: “Barangsiapa pada waktu pagi dan pada waktu petang mengucapkan: (Kami Reda Allah swt sebagai Rabb kami, Islam sebagai agama kami, dan Muhammad saw. sebagai Rasul kami). Maka wajiblah bagi Allah swt untuk meredainya”.* (Hr. Abu Dawud).

*Sesiapa yang membacanya dengan mulut dan hati, wajib masuk syurga. Jika mendapat keredaan Allah SWT, maka ia memperolehi segala-galanya kerana Allah SWT itu adalah segala-galanya.

Maksudnya tidak ada Tuhan melainkan Allah swt, yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Seluruh kerajaan adalah milik-Nya. Dialah yang menghidup dan mematikan. Segala puji adalah hak-Nya dan Ia Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Doa ini dapat merapatkan dan berkenalan dengan Allah swt. Bacaan amalan Rasulullah 100x pagi dan petang.

Kita hidup memerlukan insuran contoh insuran harta atau perlindungan daripada makhluk perosak. Itu merupakan keperluan dalam kehidupan. Bab Rohani pun ada insuran perlindungan tawaran oleh Allah swt, insuran perlindungan rohani daripada ganguan syaitan, mahluk pemusnah, pengkhianat seperti syaitan manusia yang merosakkan rohani. Insurannya bukan perlu bayaran duit tapi membaca zikir seperti diatas.

Istilah syaitan bermakna jauh dari Allah swt. Manusia atau Jin juga menjadi Syaitan bila dia menjauhkan diri daripada mengingati Allah swt atau dia membuat kerja yang menjauhkan orang mendekati Allah swt.

Empat perkara yang mengkhianati dan menjadi penghalang kita mengingati Allah swt: (kata-kata Imam Ghazali)

  1. Syaitan
  2. Manusia
  3. Nafsu – boleh menjadi syaitan, apabila nafsu bertindak menjauhkan diri daripada Allah swt.
  4. Dunia – boleh menjadi syaitan, apabila dunia yang kita kejar menjauhkan kita daripada Islam dan Allah swt.

Empat penghalang besar ini kita kena lawan. Kalau tidak lawan sampai bila kita tidak menjadi orang yang berjaya dan selamat dunia dan akhirat. Zikir menolong untuk mengatasi atau melindungi dari ganguannya. Kita mesti menang diatas ganguan syaitan, manusia, nafsu dan dunia. Membaca zikir ini bukan hanya mendapat pahala tapi kesannya mendapat perlindungan. Bacaan ini ialah amalan Rasulullah. Dibaca 100 kali pagi akan melindungi dari syaitan pagi hingga petang, 100 kali petang akan melindungi dari petang sampai esok pagi.

Jika disebut Allah swt, kita tidak nampak kuasa Maha Agung, Maha Kuasa atau kerajaan mutlak yang mempunyai authoriti tinggi sekali yang memerintah alam ini. Jadi tidak rasa takut kepada Allah swt. Manusia nampak kekuasaan jika disebut kerajaan atau pemerintah sahaja. Ini kerana ramai orang masuk Islam tapi Islam tidak masuk dalam dirinya. Jika nampak benda lain, makhluk itu lebih besar, lebih berkuasa dari Allah swt atau sama besar dari Allah swt, ini membawa kepada syirik.

Hakikat mengingati Allah swt.

Hakikatnya manusia ada roh. Malangnya manusia tidak berapa ambil berat hal ehwal roh. Roh dijaga macam anak tiri, tetapi jasadnya dilayan molek hinggakan gemok sihat. Ini menyebabkan roh kurus kering & papa kedana. Semuanya kita tiada kuasa nak buat. Oleh itu perkuatkanlah dengan zikir. Sesungguhnya dengan zikir itu kita dapat keredaan Allah swt.

Zikir itu peranannya besar iaitu untuk mengingati Allah swt. Keperluan zikir ialah untuk roh. Keperluan zikir dan roh macam ikan memerlukan air. Kalau tidak ada air, ikan akan tercunggap cunggap dan mati.

Tujuan solat mengingati Allah swt. Puasa juga untuk ingat Allah swt. Matlamat solat dan puasa untuk mengingati Allah swt.

Ingat akan Allah swt bermaknanya bertakwa. Solat dan puasa itu cuma alat. Matlamatnya untuk mengingati Allah swt.

Lawan zikir ialah lalai atau tidak sedar. Zikir adalah kerja hati mengingati Allah swt. Amalan sunat membantu hati supaya jangan lalai. Zikir boleh dilakukan dengan doa. Lalai memberi ruang kepada syaitan untuk masuk. Dengan kata lain zikir ialah apa saja yang membuat kita ingat kepada Allah swt, yang fardu – sembahyang, puasa, haji, zakat, mengaji semuanya mengingati Allah swt.

Majlis Ilmu juga majlis zikir kerana dengan menghadiri majlis ilmu, dari mula hingga akhir ingat pada Allah swt. Dalam Quran ada ayat yang bermaksud “kalau tidak tahu tanyalah ahli ilmu”. Boleh di simpulkan bahawa ahli ilmu ialah ahli zikir.

Perkara yang melalaikan dalam dunia ini banyak. Orang jahil adalah orang lalai, suka pada membazir umur dan masa. Umur itu mahal harganya dan tidak dapat menjana pahala. Jangan buang masa, gunakan untuk berzikir. Buang masa menyebabkan lalai.

Ahli tasawuf mengatakan bahawa lalai adalah satu kesalahan iaitu langgar rukun Allah swt. Kalau memandu kereta, lalai satu saat boleh mengakibatkan kemalangan. Inikan pula kita memandu satu kapal kehidupan, amat besar ertinya. Kalau ingat syariat atau rukun Tuhan iaitu harus, wajib, sunat, makruh, haram dan sah/batal, segala hidup kita ingat Allah swt atau sentiasa berzikir kepada Allah swt. Apa tidaknya, segala gerak geri, perbuatan, percakapan, penglihatan dan pendengaran kita ingat pada Allah swt. Sebanyak mana kita ingat pada Allah swt sebanyak itulah kita sayang pada-Nya.

Fatwa ulama, Allah swt layan kita mengikut sejauh mana kita mengingatkan-Nya. Allah swt jaga kita mengikut sejauh mana kita ingatkan-Nya. Kalau dalam solat pun tidak ingat Allah swt, ini dikatakan kurang adab dengan Allah swt kerana solat itu hak Allah swt. Adalah satu krisis besar jika mulut sebut Allah swt tapi tidak sampai kehati atau tidak berasa. Kita nak berbicara dengan Allah swt, berbisik dengan Allah swt – bacalah Al-Quran. Allah swt akan jaga Al-Quran, Allah swt jaga orang yang baca Al-Quran. Keselamatan kita ditangan Allah swt.

Zikir yang paling besar ialah membaca Al-Quran. Kita boleh menjadi ahli kelab Al-Quran untuk melayakkan kita menjadi ahli Kelab Allah swt Taala.

Ada diriwayatkan dalam hadith, ketika anak adam dimasukkan kedalam kubur, datanglah seorang yang cantik, wangi. Maka bertanyalah simati, “engkau siapa?” jawab orang itu “saya ialah Quran bacaan tuan di dunia duhulu, shafik– pembantu tuan”. Simati ini tergulung kepada umat Kelas pertama.

Dua jenis umat Kelas Pertama:

  1. Pendokong Al-Quran dengan membaca, ajar, perjuangkan dan mengamalkannya.
  2. Umat yang beribadat waktu malam. Saat yang paling dekat dengan Allah swt ialah ketika sujud dan waktu tengah malam. ***

wallah waalam.

Niat Ikhlas

Firman Allah swt bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah swt dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar“. (Al-Bayyinah:5)
Allah SWT memerintahkan supaya mengikhlaskan segala amal perbuatan kepada-Nya semata-mata. Ini dicerminkan diatas dalam bentuk ibadat khusus, solat dan zakat. Dalam segala aktiviti hidup dan amal kebajikan seorang Muslim mestilah dilakukannya mengikut yang disyariatkan dan ikhlas hanya kerana Allah Taala demi mengharapkan keredaan Allah swt dan ganjaran pahala daripada-Nya. Keuntungan dunia, kemegahan, pangkat atau kedudukan tinggi bukan matlamat yang dicari.

December 13, 2008 - Posted by | Amalan, Ilmu, Mengaji, pahala

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: